Suami isteri tunjuk bahagia di media sosial, ini jawapan dua agamawan. 'Boleh tapi bersyarat, bukan semua orang suka lihat...'
MEMPAMERKAN kebahagiaan kepada umum menjadi norma biasa masyarakat hari ini. Dengan ledakan pelbagai platform laman sosial, tidak dinafikan ramai yang memanfaatkannya untuk mengabadikan momen-momen manis bersama.
Namun, adakah ia dibolehkan di dalam agama? Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi sebuah video tular menyatakan perkara tersebut dibolehkan di alam Islam.
"Suami isteri bergambar dan tunjuk mereka bahagia dalam media sosial, boleh atau tidak? "Jawapannya boleh namun ia ada syarat.
"Semua benda boleh dilakukan kecuali datangnya dalil tidak boleh. Asalnya boleh cuma dalam Islam ada batasnya.
"Jawapannya boleh namun ia ada syarat, jangan berlebih-lebihan dalam mempamerkan kemesraan dalam media sosial.
"Kalau hendak sekadar-kadar patut dibolehkan sahaja. Jika berlebihan ALLAH tidak suka. ALLAH membenci orang yang berlebihan.
"Sedikit sahaja sudah memadai, kerana orang beriman tidak berlebih-lebih," katanya.
Tiga perkara elak muat naik di laman sosial
Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali sebagai Syamsul Debat pula memberi peringatan agar tidak menghidangkan tiga perkembangan kehidupan di laman sosial atas beberapa sebab.
Antaranya ialah kebahagiaan bersama pasangan.
“Tunjuk gambar pegang tangan dekat handbrake (kereta) dengan (kapsyen) ‘imamku’. Jangan kongsi kebahagiaan sebab bukan semua orang bahagia melihat kebahagiaan kita,” katanya.
Jelas Syamsul, ia tidak tertumpu kepada pasangan sahaja, malah merangkumi sikap kalangan ibu bapa yang suka mempamerkan keputusan peperiksaan anak yang cemerlang. Perkara berkenaan dibimbangi menimbulkan iri hati.
Menurut Syamsul, perkara kedua dilarang kongsi ialah tentang harta benda.
“Ada yang tengok tu, dia tak dapat macam yang kita ada dan mendoakan perkara buruk.
“Pernahkan anda menunaikan umrah atau haji dan melihat kereta dan teksi dia buruk betul, bengkok remuk sebab apa? Kadang kala pemiliknya sendiri yang remukkan sebab takut ada orang sakit mata tengok kereta berkilat. Sampai macam tu sekali nak jaga (mata orang),” jelas Syamsul.
Perkara ketiga yang tidak digalakkan perkongsian di laman sosial ialah mengenai keluarga.
Misalnya, memuat naik tentang suami tercinta atau bayi yang baru dilahirkan kerana bimbang penyakit ain.
“Di Yaman, anak yang lahir dia akan ditulis pada dahinya tulisan ‘ALLAH’ atau ‘Subhanallah’ menggunakan celak supaya orang nak puji anak tu ingat ALLAH dulu,” tambahnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang