SOLAT berjemaah baik di masjid mahupun surau antara momen paling dirindu dalam kalangan umat Islam.

Bagaimanapun, kerinduan itu terpaksa dipendam berikutan aktiviti keagamaan tidak dibenarkan susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Ia bertujuan mengekang penularan Covid-19 dan bagi mengelakkan masjid dan surau menjadi lokasi berisiko pencetus kluster.

Pun begitu, berita baik buat rakyat Perlis apabila hasrat untuk berjemaah di masjid tercapai memandangkan aktiviti itu mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri.

Semua masjid di seluruh Perlis dibenarkan solat berjemaah mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Foto: Netty Royal, MAIPs

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kebenaran itu mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Keputusan berkenaan diambil berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang dilihat semakin terkawal.

“Oleh hal demikian, kehadiran jemaah di masjid seluruh Perlis dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesuatu masjid bermula solat Subuh esok sehingga tempoh baharu arahan terkini mungkin dikeluarkan.

“Namun begitu, kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan.

“Sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar untuk mengelakkan penularan wabak, pematuhan SOP diperketatkan dan semua jemaah yang hadir hendaklah mematuhi antaranya memakai pelitup muka digalakkan double face masks beserta pelindung muka (face shield),” titah baginda dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Tuanku Syed Faizuddinjuga bertitah, jemaah digalakkan membawa uncang pembungkus kasut bagi mengelakkan kesesakan ketika keluar dan masuk masjid.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, jemaah juga hendaklah terdiri dalam kalangan anak kariah sahaja berusia antara 12 hingga 59 tahun.

“Bagi jemaah yang berusia 60 tahun dan ke atas dibenarkan dengan syarat lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Selain itu, baginda menitahkan beberapa syarat lain termasuk golongan yang terlibat merentas sempadan negeri.

Iklan

“Sebagai langkah kawalan, mereka yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan dan negeri sama ada kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk berulang-alik bekerja setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

“Demikian juga ahli keluarga yang tinggal bersama mereka tidak dibenarkan hadir melainkan telah lengkap dua dos suntikan vaksin,” titahnya.

Baca juga Video Tular Jemaah Solat Jumaat Dari Hentian Bas, Ini Penjelasan Mufti

 

Iklan

 

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah, tempoh masa solat fardu yang dibenarkan adalah selama 10 minit manakala khutbah dan solat Jumaat selama 15 minit sahaja.

“Laungan azan kembali dilaungkan dengan lafaz dan kaedah seperti biasa,” titah baginda.

Selain itu, baginda dalam titahnya memaklumkan aktiviti berkumpulan sama ada kuliah, kelas, pengajian dan sebagainya selain solat Jumaat dan solat fardu buat masa ini masih tidak dibenarkan.

Sumber: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)