SAAT orang lain meluahkan masalahnya kepada kita, pelbagai reaksi yang diberikan.

Ada yang lebih selesa untuk mendiamkan diri dan menjadi pendengar yang baik. Segelintir orang pula akan melontarkan kata-kata semangat kepada kenalannya tadi.

“Fikir positif je!”

“Yakin boleh!”

“Benda kecik je ni…jangan mengalah!”

“Jangan fikir negatif sangat”

“Aku boleh, takkan kau tak boleh?”

“Orang lain lagi teruk.”

“Be happy.”

Itu antara beberapa contoh kata-kata semangat yang sering kali diungkapkan. Namun, ia tidak sesuai digunakan dalam semua keadaan.

Demikian kongsi seorang pengguna Twitter @akif_basri di laman sosial miliknya baru-baru ini.

Sebagai pensyarah psikologi dan ahli psikologi klinikal berpengalaman, beliau berkata, hanya dalam keadaan tertentu sahaja seseorang itu mungkin boleh menggunakan kata-kata semangat berkenaan.

“Kalau orang yang cakap tu orang yang rapat, dipercayai, memang kenal, faham masalah sepenuhnya, kata-katanya memang bermakna.

“Satu lagi situasi adalah kalau dalam pertandingan sukan untuk beri motivasi jangka pendek,” kongsi beliau.

Dalam banyak keadaan, jelas @akif_basri lagi, kata-kata tadi boleh membuatkan seseorang rasa dirinya tidak didengari dan difahami.

“Segelintir orang pula rasa masalahnya diperkecilkan, suppress emosi negatif dan rasa malu untuk meluah,” katanya.

Malah apabila kata-kata semangat itu diberikan pada waktu yang tidak sesuai, ia boleh menjadi toxic positivity, terang beliau.

“Maksudnya, pukul rata yang semua orang kena positif sahaja setiap masa dan menafikan emosi negatif yang ada dalam diri manusia.

“Hakikatnya, dalam banyak keadaan, manusia perlukan seseorang untuk mendengar, memahami, berada bersamanya sepenuh jiwa dan menerima dirinya seadanya – walau apa pun yang dirasai atau difikirkan pada waktu itu.

“Orang putih kata unconditional love & acceptance,” kongsi beliau.

Kata-kata semangat
BERIKAN kata-kata semangat sesuai pada masanya dan berhati-hatilah ketika menuturkannya kepada orang yang berkongsi masalah pada kita.

Perkongsian beliau diulang kicau lebih 4,000 kali dan menerima lebih 5,000 tanda suka.

Ramai yang memberikan maklum balas tentang perkongsian berkenaan.

Iklan

Kata pemilik akaun Twitter @az_zahar, tiada gunanya jika berkongsi masalah bila sudah ada skema jawapan.

“Paling best, bila orang cakap ‘ada hikmah tu’, ‘dugaan yang hebat untuk orang yang hebat’ dan ‘nanti adalah tu’. Now you know why I don’t share masalah kalau skema jawapan dah ada?,” balasnya.

Bagi seorang lagi warganet, @silmohd, perkara itu bergantung kepada orang yang menerima kata-kata semangat berkenaan.

“Kalau dia positif, dia terima walaupun tu hanya simple gesture, tapi kalau dia negative, dia akan nampa benda itu toxic,” komennya.

Iklan

Justeru, berhati-hatilah jika ingin menuturkan kata-kata jika ada orang yang meluahkan masalah kepada kita.

Jangan pula apa yang kita perkatakan itu menambah luka atau masalah yang ditanggung kenalan kita tadi.

Sumber: Twitter @akif_basri