KEMALANGAN yang membabitkan perlanggaran haiwan ternakan di jalan raya semakin meningkat.

Haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau mendatangkan pelbagai masalah termasuk mengundang risiko kepada keselamatan pengguna jalan raya.

Tidak sampai sebulan, kini ada lagi kes kenderaan melanggar lembu di jalan raya yang mengakibatkan kecelakaan.

Video rakaman kamera papan pemuka (dash cam) kejadian yang dipercayai berlaku di Kota Tinggi,Johor tular di laman sosial.

Baca juga: 6 tip penunggang motosikal semasa hujan elak kemalangan

Dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, kelihatan sekumpulan lembu berada di atas jalan raya dan menghalang laluan kenderaan.

Keadaan gelap tanpa pencahayaan daripada lampu jalan menyebabkan kehadiran kumpulan haiwan itu tidak disedari pemandu.

Mac lalu, dua pegawai tentera cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar seekor lembu dalam kejadian di Kilometer 249.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Senawang.

Kedua-dua kejadian itu dirakam menerusi dash cam. Bagaimana pula bagi mangsa yang tidak memiliki dash cam dan motosikal?

Kemalangan seumpama ini sentiasa berulang bagaikan penghujungnya. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), pemilik haiwan yang membiarkan ternakan mereka berkeliaran di jalanan boleh dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak melebihi RM500 bagi setiap seekor.

Malah agensi tersebut turut menguatkuasakan Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu sebagai pencegahan elemen kacau ganggu dan keselamatan awam.

Baca juga: Bahaya basikal lajak, 10 faktor ini jadi punca kemalangan, kecederaan

Dalam pada itu, warga maya turut memberikan pelbagai reaksi dan pandangan berkaitan isu kenderaan melanggar haiwan ternakan di jalan raya.

Ada dalam kalangan mereka yang mencadangkan agar pemandu menggunakan lampu tinggi apabila tiada kenderaan di hadapan dan menegur sikap pemilik haiwan yang lepas tangan.

Namun ramai juga yang mahu pemilik haiwan dipertanggungjawabkan.

-“Sebagai salah seorang mangsa yang pernah terlibat perlanggaran dengan lembu, saya sarankan agar amalkan zikir pagi dan petang, baca doa keluar rumah dan doa naik kenderaan. Spend juga sedikit duit beli dash cam untuk rakam bukti. Semoga perjalanan kita pulang ke kampung halaman di musim perayaan ini selamat dan diberkati.”

Iklan

-“Mohon kerajaan pertimbangkan akta kawalan keselamatan haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya supaya. Ada akta untuk mendakwa tuan lembu. Ini hanya satu daripada beratus-ratus kes yang berlaku setiap tahun.”

-“Harap kerajaan buat sistem tagging untuk haiwan bagi memastikan penternak bertanggungjawab atas kecuaian mereka membiarkan ternakan berkeliaran di laluan awam.”

-“Cara paling selamat ialah berjaga-jaga. Apabila memandu malam dan kawasan tiada lampu jalan, seeloknya keraplah menggunakan lampu tinggi.”

-“Pihak penguatkuasa perbandaran sila sita lembu lembu yang berkeliaran.”

INFO: Lampu tinggi hanya mampu menerangi sejauh 100 meter hingga 150 meter. Jika anda memandu pada kelajuan 100 kilometer/ sejam (km/j) anda memerlukan jarak lebih dari 60 meter untuk berhenti. Justeru, usah memandu laju!

DASH CAM PENTING!

Iklan

Dash cam adalah kamera yang penting pada ketika ini. Public Health Malaysia mencadangkan pemilik kenderaan melaburkan sedikit wang untuk memasang sekurang-kurangnya satu atau atau dua (depan dan belakang) untuk setiap kenderaan.

“Ia boleh menyelamatkan anda daripada pelbagai perkara. Malah ia juga boleh menolong orang lain dengan merekod bukti dan saksi sesuatu kemalangan,” katanya.

Dash cam penting dan berguna untuk merekod pembuli jalan raya, individu ‘scam’ melanggar kenderaan, merekod bukti mahkamah dan perjalanan ahli keluarga.

Semoga ia menjadi panduan yang bermanfaat untuk kita semua. Hati-hati di jalan raya, pandu cermat.

Baca juga: Tragedi 2 Ramadan, kemalangan ragut nyawa 4 juruteknik, berikut kronologi kejadian

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI