Hayati peristiwa Nuzul al-Quran, rebut ganjaran ganda amalan persiapan memburu Lailatul Qadar

NUZUL al-Quran tahun ini jatuh pada 8 April 2023M bersamaan 17 Ramadan 1444H.

Bagi umat islam, peristiwa Nuzul al-Quran merupakan satu peristiwa besar yang bersejarah yang sangat penting hingga ke akhir zaman untuk diingati.

Itu kerana pada peristiwa ini ALLAH SWT telah menurunkan ayat pertama al-Quran kepada Baginda Rasulullah SAW menerusi perantaraan malaikat Jibril.

Ia berterusan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini.

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun iaitu pada malam Jumaat 17 Ramadan, bersamaan dengan tarikh 6 Ogos 610M, sewaktu Baginda sedang beribadat di dalam Gua Hira’.

Pengertian Nuzul al-Quran dari segi bahasa, perkataan ‘Nuzul’ itu bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang tinggi. Kata perbuatannya ‘nazala’ (نزل) membawa maksud ‘dia telah turun’ atau ‘dia menjadi tetamu’.

Baca juga Subhanallah! 7 waktu doa mustajab di bulan Ramadan, rugi lepaskan

Al-Quran penawar penyakit

Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz atau (simbolik) sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk menunjukkan ketinggian al-Quran.

Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi ALLAH yang terakhir.

Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh:

وَأَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً

Maksudnya: “Dia yang telah menurunkan hujan.”

(Surah al-Baqarah:22)

نَزَّلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan Taurat Dan Injil.”

(Surah Ali-Imran:3)

Rujukan: Mufti Wilayah Persekutuan

Tujuan al-Quran diturunkan;

Antara tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk tadabbur kandugannya sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah As-Sad: 29)

Syeikh Sya’rawi Rahimuhullah ketika mentafsirkan ayat di atas menghuraikan makna kalimah ‘Mubarak’ iaitu benda yang sedikit tetapi manfaat dan kebaikannya jauh melebihi apa yang digambarkan.

Seumpama orang yang bergaji sedikit tetapi kehidupan keluarganya mencukupi. Segala perbelanjaannya dihalakan kepada perkara yang bermanfaat dan berfaedah. Seakan hidup sebagai orang yang kaya.

Baca juga Awas! Kesilapan yang mungkin tak sedar kita buat ketika memburu malam lailatulqadar

Mencium al-Quran

Ayat al-Quran yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW;

Ayat al-Quran yang mula-mula sekali diturunkan ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril yang berlaku pada peristiwa Nuzul al-Quran ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

بِسْمِ ٱللَّـهِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ﴿١﴾ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ﴿٢﴾ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ﴿٣﴾ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ﴿٤﴾ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ ﴿٥

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, – (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, – (4) Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5).” [Surah Al-Alaq (96): Ayat 1-5].

Amalan ketika Nuzul Al-Quran;

Iklan

Tiada amalan khusus ketika Nuzul al-Quran. Namun adalah digalakkan untuk memperbanyakkan dan mengandakan amalan-amalan sunnah yang biasa dilakukan kerana hadirnya Nuzul al-Quran juga bermakna umat Islam kini dalam pusingan akhir Ramadan bagi memburu Lailatul Qadar.

Antaranya ;

1. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran pada bulan Ramadan tidak sama dengan membacanya pada bulan lain kerana hukum membaca al-Quran bukan wajib, tetapi sunat.

Namun, apabila dibaca pada bukan Ramadan, ganjarannya ibarat melakukan amalan wajib pada bulan lain.

Baginda Nabi Muhammad SAW apabila masuk bulan Ramadan, Baginda memperbanyakkan membaca al-Quran bahkan khatam dalam bulan Ramadan.

Baca juga Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

al-quran

2. Iktikaf

Hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ia disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ia lebih dituntut.

Iklan

Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi SAW dan mencari Lailatul Qadar. Rujukan: Raudhah al-Thalibin, al-Nawawi (2/389)

3. Ceramah Nuzul Quran

Kebiasanya masjid-masjid dan surau-surau mengambil peluang ini untuk mengadakan ceramah sempena Nuzul al-Quran.

Majlis-majlis ilmu juga merupakan satu majlis yang sangat dituntut oleh agama.

Bagi umat Islam di Malaysia, terdapat negeri yang mengistiharkan hari Nuzul al-Quran sebagai cuti umum.

Antara negeri-negeri yang mengistiharkan cuti umum sempena Nuzul al-Quran ialah ;

  • Selangor
  • Kuala Lumpur
  • Putrajaya
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Pahang
  • Perak
  • Perlis
  • Pulau Pinang
  • Wilayah Persekutuan
  • Labuan

Sempena sambutan Nuzul al-Quran 2023 ini marilah kita mengambil ibrah dan pedoman untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran dan memperbaiki bacaannya di bulan Ramadan yang mulia ini, moga-moga ia dapat meningkatkan amal dan keimanan kita kepada ALLAH SWT.

Semoga bermanfaat!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.