Lailatulqadar: Mengapa ALLAH SWT menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia?

May 9, 2021
Oleh Lynn Mazlina

Oleh  RAFIUDDIN BIN MOHD YUSOF

SEDAR atau tidak, kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan beberapa hari lagi.

Iklan

Apa yang menanti bagi mereka yang benar-benar memanfaatkan kehadiran dan kemuliaan Ramadan ini adalah kehadiran satu malam yang cukup istimewa kepada umat manusia.

Malam tersebut hanya wujud dalam bulan Ramadan seiring dengan keistimewaan bulan ini berbanding bulan-bulan lain.

Bagi golongan yang lalai dan leka dengan permainan dunia pasti tidak akan merasai apa-apa meskipun Ramadan semakin menuju ke titik penamat.

Iklan

Ramadan juga merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan di sisi Allah SWT kerana setiap amalan kita akan dilipat gandakan oleh-NYA.

Sudah tentu bagi orang-orang yang soleh, bulan Ramadan memberi kegembiraan yang tidak terhingga selagi mana dipenuhi dengan perkara-perkara yang membawa kepada keredaan ALLAH SWT.

Iklan

Oleh sebab itu, salah satu keistimewaan bulan Ramadan yang di dalamnya terdapat satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman iaitu lailatulqadar.

Malam ini disebut malam yang cukup istimewa kerana ianya dinamakan sendiri oleh ALLAH SWT di dalam Al-Quran dengan mengkhususkan satu surah yang dinamakan surah Al-Qadr bagi menjelaskan kepada manusia akan kewujudan malam yang cukup indah ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu malam. (Pada malam tersebut) para Malaikat dan Al-Rub (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)

Para Ulama berbeza pendapat bagi menentukan tarikh yang tepat berkaitan dengan lailatulqadar ini.

Rahsia tarikh

Namun mereka bersepakat bahawa lailatulqadar berlaku dalam bulan Ramadan iaitu pada 10 malam terakhir. Sudah tentu ALLAH SWT mempunyai sebab untuk menyembunyikan rahsia malam tersebut daripada pengetahuan manusia.

Salah satu daripada sebabnya adalah bagi menggalakkan setiap manusia untuk bersungguh-sungguh beribadah sepanjang masa dalam bulan Ramadan tanpa mengira hari-hari atau waktu-waktu tertentu dengan harapan agar dipertemukan dengan malam yang teragung itu.

Jika malam  lailatulqadar telah ditetapkan lebih awal, sudah tentu setiap umat Islam itu hanya memberi penumpuan beribadah pada waktu itu sahaja.

Sedangkan setiap saat, minit dan jam dalam bulan ini haruslah digunakan oleh kita dengan sebaiknya dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT dan meningkatkan amalan kebaikan dari semasa ke semasa.

Malam Al-Qadr ini dikaitkan dengan 10 malam terakhir di dalam bulan Ramadan yang penuh dengan kesitimewaannya.

Pada 10 malam terakhir inilah, Rasulullah SAW akan meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarganya untuk bangun bersama-sama bagi menghidupkan malam-malam tersebut dengan amal ibadah yang semaksimumnya.

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:”Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadhan) baginda menghidupkan malamnya. Baginda mengemaskan kainnya dan mengejutkan isterinya dan uzlah daripada isterinya (yakni tidak bersama dengan isterinya). ”

Antara amalan yang boleh sama-sama kita laksanakan ketika berada di dalam bagi menghidupkan 10 malam terkahir adalah menghidupkan malam hari dengan solat malam iaitu solat-solat sunat seperti tahajjud, taubat, hajat dan sebagainya.

Kita juga disrankan untuk memperbanyakkan berzikir kepada Allah SWT dengan jumlah yang kita mampu tanpa memudaratkan diri.

Selain itu juga, digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga yang lain untuk bersama-sama menyemarakkan malam dengan amal ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengejutkan dan mengajak anak-anak khususnya yang telah dewasa dengan berqiamullail agar dapat menghidupkan malam-malam tersebut.

Insya-ALLAH, keberkatan dan keredaan ALLAH SWT akan hadir dalam sesebuah keluarga yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadah dengan niat ikhlas semata-mata kerana-NYA.

Secara tidak langsung, akan terhasilnya keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah.

Pencarian malam yang teragung itu juga harus berlandaskan kepada niat yang ikhlas dan tidak hanya untuk mendapat pujian daripada manusia semata-mata.

Tidak juga hanya menumpukan segala ibadah pada malam-malam tertentu, sebaliknya Istiqamah bermula dari awal Ramadan lagi.

Sebab

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah SWT menurunkan malam Al-Qadr untuk umat Nabi Muhammad SAW.

Menurut Imam Malik, Rasulullah SAW melihat umur umatnya tidak sepanjang umat terdahulu.

Justeru, baginda bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar memberikan peluang kepada umatnya kesempatan yang baik untuk beramal agar memperoleh nilainya yang sama dengan amalan umat-umat sebelum mereka.

Namun begitu, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW akan berjaya memanfaatkan kewujudan malam lailatulqadar ini?

Sesungguhnya, jelaslah bahawa salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kehebatan bulan Ramadab adalah wujudnya malam penuh kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatulqadar

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Ramadan sudah tiba kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan 1000 bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT.” (Hadith Riwayat Ibnu Majah)

Beruntunglah kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana memperolehi peluang yang sebesar ini dalam kehidupan kita.

Manakala amat rugi pula bagi sesiapa yang sedikit pun tidak berusaha untuk memperolehi ganjaran malam lailatulqadar sebagaimana dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam bulan yang mulia ini.

Sehinggakan Nabi Musa a.s ketika hayatnya pernah bermunajat dan memohon kepada ALLAH SWT agar menempatkan dirinya di dalam golongan umat Nabi Muhammad SAW kerana mengetahui kelebihan dan ganjaran menanti kepada umat baginda yang mengabdikan sepenuh dirinya kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian, sebagai hamba Allah SWT yang beriman, marilah kita bersama-sama meningkatkan amal ibadah dan berusaha bersungguh-sungguh di penghujung bulan Ramadan Al-Mubarak ini dengan memperbanyakkan amalan kita, sekali gus mengharapkan akan menemui lailatulqadar
dengan sebaiknya.

Ini kerana kita belum pasti, apakah kita masih diberi kesempatan berjumpa dengan bulan Ramadan ini pada tahun hadapan?

Adakah kita juga diberikan peluang sekali lagi oleh ALLAH SWT untuk berjumpa dengan malam lailatulqadar  kelak? Jika ya, alhamdulillah.

Jika sebaliknya, sudah pasti kita tidak mengetahui nasib kita pada masa akan datang.

Justeru, usahlah menoleh ke belakang lagi, sebaliknya penuhilah segala masa dan ruang yang telah diberikan oleh Allah SWT ini agar pada pengakhirannya kita akan menjadi insan yang tergolong dalam golongan orang-orang yang bertakwa.

 

Foto: 123rf, Freepik, Unsplash

Iklan

About Lynn Mazlina

Biodata Penulis
Iklan