SEMEMANGNYA kita sukakan rumah yang cantik. Baik rumah dibina atas tanah sendiri, dibeli mahupun disewa pasti kita ingin menghiasnya dengan pelbagai kreativiti .

Kediaman indah yang tersusun kemas menyuntik mood mendamaikan tatkala bersantai bersama keluarga tercinta.

Selain mengecat panel dinding dengan warna kegemaran, ada yang meletakkan pokok hijau ataupun variasi pasu di sudut bersesuaian.

Tidak kurang juga menggantung gambar yang kononnya membantu menaikkan lagi seri rumah kita.

Namun begitu, ramai yang tidak mengetahui amalan menggantung gambar kahwin, konvokesyen ataupun keluarga adalah tidak dibenarkan di dalam Islam.

Berikut penjelasan daripada Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara berkenaan.

Apakah hukum menggantung gambar makhluk hidup di dinding rumah atau gambar manusia pada kulit buku?

Benarkah jika gambar tersebut tidak cukup sifat seperti tiada kaki atau separuh dibenarkan untuk digantung di dinding dan kulit buku?

Jawapan Mufti, disarankan supaya tidak melakukan amalan menggantung gambar makhluk hidup di dinding rumah, sekalipun separuh badannya dihilangkan kerana keluar daripada khilaf. Adapun di kulit buku, maka kami berpendapat itu tidak mengapa. Wallahua`lam.

Kenapa dilarang menggantung gambar kahwin, anak dan keluarga sebagai perhiasan di dalam rumah?

Seeloknya, jika ada menggantung gambar-gambar berkenaan sebaiknya, turunkanlah. Tanggalkan ia simpan di tempat tertutup dan jangan pamerkan untuk tatapan di dalam rumah.

Ini disebabkan dalam sebuah hadith diriwayatkan Imam Bukhari bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Daripada Ibnu ‘Abbas, “Abu Talha, seorang sahabat Rasulullah dan seorang sahabat yang pernah bersama dalam Peperangan Badar memberitahu kepadaku bahawa Rasulullah berkata:

“Malaikat (pembawa rahmat) tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar. Yang dimaksudkan adalah gambar yang menyerupai makhluk bernyawa.” – Hadis Riwayat al-Bukhari, kitab ekspedisi peperangan bersama nabi (5/59), No 338.

Iklan

Malaikat Rahmat terhalang untuk masuk ke dalam rumah jika mempunyai gambar mahkluk bernyawa. Akibatnya hilanglah kasih sayang sesama ahli keluarga di dalam rumah tersebut.

Bukan itu sahaja, perselisihan faham, rumah tangga selalu ‘panas’, tidak bahagia, rezeki sempit dan ada sahaja masalah berlaku kerana tiada lagi rahmat dan keberkatan.

Sedangkan malaikat rahmat jika ada di sisi kita ia membawa 1,000 rahmat dengan izin ALLAH iaitu hati menjadi lebih tenang, jiwa rasa cinta pada ALLAH SWT, rezeki juga sentiasa dipermudahkan ALLAH.

Dosa ketika PKP

Malah, malaikat rahmat juga bertugas menjaga keselamatan diri jika kita banyak membaca al-Quran, zikir dan berdoa.

Iklan

Panduan menyimpan gambar sebagai kenangan;

1. Malaikat yang dimaksudkan dalam hadis ialah malaikat rahmat manakala gambar merujuk foto makhluk bernyawa seperti manusia dan haiwan.

2. Dilarang menggantung atau mempamerkan gambar makhluk bernyawa di dinding atau dibingkaikan untuk hiasan di dalam kabinet seperti gambar bersanding, menerima ijazah sekalipun gambar keluarga.

Baca juga Tempoh solat jamak dan qasar apabila kita dibenarkan balik kampung

3. Seeloknya gambar yang ingin dijadikan kenangan disimpan di dalam album, telefon bimbit atau komputer.

4. Gambar seperti keindahan alam semula jadi, tulisan kaligrafi, gambar pemandangan, bunga-bungaan, kereta bangunan dan sebagainya yang BUKAN berunsur makhluk bernyawa adalah dibenarkan untuk dijadikan perhiasan di dalam rumah.

5. Patung permainan anak seperti Barbie dan patung beruang boleh digunakan untuk permainan, tetapi selepas bermain perlu disimpan di dalam kotak mainan. Jangan diletakkan di almari perhiasan atau dijadikan koleksi.

Bersama-sama kita mengubah kebiasaan ini untuk menjemput malaikat rahmat hadir ke rumah, sekaligus memperoleh keberkatan dan kasih sayang dalam keluarga.

Justeru, eloklah kiranya kita menyimpan semua gambar konvo, kahwin dan sebagainya tertutup. Mudah mudahan malaikat pembawa rahmat sentiasa bersama kita.

Sumber: Mufti Wilayah