BARU-baru ini negara dikejutkan dengan berita pelumba basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menjalani pembedahan jantung terbuka susulan disahkan mengalami masalah jantung jarang ditemui.

Penyakit itu dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ ganjil (AAORCA) hampir sahaja meragut pelumba kesayangan ramai berusia 34 tahun itu.

Baca juga: Azizulhasni kini bergelar Datuk. 5 fakta menarik The Pocket Rocketman

Beliau menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April lalu untuk penyakit itu, yang membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

Dalam perkembangan terbaru, Azizulhasni dilaporkan menjalani pemulihan di Melbourne dan berkemungkinan hanya kembali menjalani latihan tahun depan.

Pemenang pingat Sukan Olimpik dua kali itu turut berkongsi tentang simptom yang dialaminya setelah usia meningkat. Situasi dialami bagaikan bom jangka, boleh meletup pada bila-bila masa!

“Bercakap fasal simptom ni agak panjang ceritanya, tapi jika dipendekkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini ianya semakin kuat dan jelas lagi-lagi ketika saya membuat persiapan ke Sukan Olimpik.

“Ketika itu saya ingat semua tu adalah disebab oleh proses umur yang semakin meningkat. Semuanya bermula apabila saya kembali berlatih selepas tamat Sukan Olimpik,” kata anak kelahiran Kampung Nibong Stesen, Dungun, Terengganu itu.

Baca juga: 16 minggu berjauhan, Azizulhasni selamat pulang ke pangkuan keluarga di Australia

Azizulhasni turut menceritakan kesakitan dialaminya lebih kuat daripada biasa selepas pulang dari latihan. Malah dia dipaksa isteri, Datin Athiah Ilyana Abd Samat ke hospital kerana kesakitan dialami hampir menyamai serangan jantung.

“Selepas pulang dari satu sesi latihan tu, saya rasa sakit dada yang teramat dan tidak pernah saya alami situasi seperti itu. Saya tahu kali ini bukan biasa-biasa kerana simptom dia adalah lain daripada yang lain.

“Isteri saya kerisauan dan memaksa untuk terus ke hospital kerana tanda-tanda itu sedikit seperti serangan jantung. Saya boleh pula memilih untuk pergi selepas selesai solat Isyak atas alasan nak selesaikan kewajipan dahulu,” katanya yang sudah menjangka bakal ditahan lama di wad.

“Saya berada di wad kecemasan hampir lima jam. Mereka melakukan pelbagai ujian namun ia menunjukkan yang saya telah mendapat serangan jantung.

“Tidak ada peningkatan Troponin dalam darah yang menjadi salah satu tanda kalau mendapat serangan jantung. Akan tetapi doktor di wad kecemasan telah mengesan sesuatu yang agak berlainan sedikit pada graf keputusan ECG saya,” kata pelumba yang dijoloki nama Pocket Rocketman.

Baca juga: Patutlah laju berdesup, Azizulhasni guna basikal WX-R Vorteq RM300,000 di Olimpik Tokyo

Iklan

Katanya, doktor keluarga merungkai permasalahan dan kesakitan yang dialami.

“Masa pertama kali mengetahui yang saya ada kondisi ni, doktor pakar jantung terkejut dan kata ‘someone look after you and you’re so so lucky’. Ini bukan kali pertama saya terima kenyataan seperti ini.Waktu pertama kali dahulu adalah ketika kaki saya tertusuk kayu di Manchester.

“Doktor kata kalau saya seorang manusia biasa yang tidak aktif pun risiko sudah tinggi, apatah lagi apabila rutin harian saya sentiasa berlatih di tahap intensiti tinggi dan berlumba di peringkat dunia termasuklah Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini. Tidak ada mustahil jika ALLAH mengkehendakinya ujar saya,” katanya.

Azizulhasni pasrah dengan situasi kesihatan dikatakan seperti di hujung tanduk, boleh pergi pada bila-bila masa! Malah dia juga dilarang berlatih buat masa ini.

“Keadaan saya ini ibarat bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Doktor juga bagi perumpaan yang melintas jalan raya, kemungkinannya untuk selamat adalah lebih tinggi dari situasi kondisi jantung saya ini.

“Yang mana faham, mereka fahamlah. Saya memang pasrah waktu tu. Saya boleh mati pada bila-bila masa, bayangkan kalau korang dapat berita macam tu.

Doktor nasihatkan saya untuk berhenti berlatih dahulu buat seketika waktu sebelum membuat diagnosis kedua untuk ‘double check’.

Iklan

“Akan tetapi saya sedikit degil, masih teruskan latihan seperti biasa sebab memikirkan Sukan Komanwel tinggal berapa bulan je lagi. Waktu itu juga hemat saya, kalau akan mati ‘anytime’ pun, saya nak buat apa yang saya nak buat dulu.

“Saya nak manfaatkan Ramadan sepenuhnya, teruskan aktiviti kegemaran saya iaitu berkayuh dan setiap hari saya luangkan masa sepenuhnya dengan isteri dan anak-anak seperti tiada hari esok.Tanpa anak-anak tahu yang abi nya mungkin akan pergi pada bila-bila masa,” katanya.

Azizulhasni menasihatkan orang ramai agar saringan penuh (full screening) jika mempunyai simptom atau masalah berkaitan jantung kerana ianya adalah ‘life threatening situation’.

“Kalau anda dinasihatkan untuk berehat maka berehatlah dan janganlah memilih untuk memperjudikan nyawa,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI