PEMBUKAAN sekolah menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh ibu bapa dan warga pendidik.

Setelah menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah berjalan di rumah, pembelajaran secara bersemuka ditetapkan bakal berlangsung tidak lama lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub pada 22 September 2021 lalu mengumumkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 24 September 2021.

Justeru, Kementerian Pendidikan Malaysia merujuk kenyataan Perdana Menteri telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

Perkara ini mendapat perhatian ibu bapa dan guru yang menzahirkan pelbagai reaksi berhubung isu tersebut.

– “ Semoga anak-anak kita dilindungi Allah sentiasa dan berjaya di dalam hidup di dunia mahupun akhirat aminn.”

– “Elok sekolah dibuka lama anak-anak dah rindu nak jumpa guru.”

– “Maknanya anak yang sekolah di Johor dan Negeri Sembilan boleh start packing la ni…”

– “Saya risaukan anak-anak umur bawah 12 tahun yang masih belum divaksin.”

– “Pembukaan sekolah rasanya kena semak balik. Sebeb banyak sekolah kena buat membaik pulih semula. Banyak alat-alatan sekolah lusuh dan tidak dalam keadaan baik. Kerja-kerja pemulihan memerlukan masa yang banyak.”

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya memaklumkan beberapa info seperti berikut:

1-Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor akan bermula pada 10 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

2-Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Pahang pula kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN.

Memandangkan negeri Pahang akan beralih ke Fasa 3 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada 11 Oktober 2021.

3-Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN. Memandangkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 4 pada 24 September 2021, maka pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.

4-Majlis Keselamatan Negara telah memberi kelulusan untuk murid kelas Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

5-Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober 2021 adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN.

6-Bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September 2021.

 

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan SOP Pembukaan / Pengoperasian Sekolah Mengikut Fasa 1,2,3 dan 4 PPN.

KPM akan melaksanakan sistem baharu yang melibatkan hanya 50% kehadiran murid ke sekolah daripada enrolmen keseluruhan secara penggiliran minggu.

Setiap kelas persekolahan akan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu secara PdP bersemuka dan PdPR yang bergilir setiap minggu.

Iklan

Bagaimanapun, murid berkeperluan khas, berasrama penuh, peperiksaan antarabangsa, sekolah kurang murid antara tidak terlibat dengan sistem penggiliran kelas.

FASA 1

Sekolah tidak dibuka, murid akan meneruskan PdPR.

FASA 2

Hanya kelas peperiksaan yang akan dibenarkan ke sekolah.

FASA 3

Semua institusi pendidikan dibuka secara berperingkat dengan ketetapan dan penilaian risiko yang ditetapkan oleh KPM.

FASA 4

Iklan

Semua institusi pendidikan dibuka sepenuhnya dengan ketetapan dan penilaian risiko yang ditetapkan oleh KPM.

Baca juga Fakta Pilu, 1,517 Murid Sekolah Hilang Kasih Sayang Ibu Bapa Angkara Covid-19

Dalam pada itu, sistem penggiliran murid juga akan dilaksanakan dengan kehadiran murid ke sekolah 50% daripada enrolmen keseluruhan kelas.

Kedua-dua kumpulan ini akan bergilir-gilir untuk hadir ke sekolah mengikut minggu yang ditetapkan bagi memastikan pembelajaran secara bersemuka dapat diteruskan dalam kapasiti yang lebih selamat untuk murid.

Radzi juga turut memaklumkan bahawa sesi persekolahan 2021 akan dilanjutkan sehingga ke Mac 2022.

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan berkenaan adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru. Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

KPM juga menyarankan agar ketetapan berkenaan juga turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri.

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram! 

Sumber: KPM