Isu riba dalam menukar duit raya, awas jika ada unsur riba, 7 perkara wanita perlu berhati-hati

PEMBERIAN duit raya sudah menjadi budaya dalam masyarakat kita. Kanak-kanaklah yang paling happy mengumpul duit raya untuk disimpan.

Mungkin ramai di antara kita yang tidak berkesempatan ke bank dan beratur panjang untuk menukar duit raya kepada not yang lebih kecil sebaliknya menggunakan khidmat runner.

Menurut Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam, Ustaz Lokmanulhakim Hussain, menukar duit raya boleh membawa kepada isu riba dan jatuh haram mengikut hukumnya.

Baca juga: Hukum beri duit raya dalam Islam sebagai sedekah, tidak menyerupai angpau

“Tukar duit raya, dengan maksud kita bagi RM500 duit terpakai, dan kita dapat duit baharu RM500 dalam denominasi tertentu seperti RM10, atau RM20, adalah tertakluk kepada hukum hakam al-sarf,” kongsinya.

Katanya, oleh sebab tukar duit raya melibatkan item ribawi iaitu wang kertas dan melibatkan dua item yang sama iaitu ringgit ditukar dengan ringgit, maka proses tersebut perlu menepati dua syarat:

1. Penyerahan duit terpakai dengan duit baharu berlaku dalam satu sesi/majlis tanpa penangguhan. Jika ada penangguhan maka berlaku riba nasa’

2. Pertukaran hendaklah dengan kadar yang sama, tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan maka berlaku riba fadhl.

Baca juga: Jalan mudah untuk kumpul duit raya dengan hanya satu langkah mudah

Mari kita aplikasikan dua syarat di atas pada senario-senario di bawah:

SENARIO 1
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1,000 daripada B.
A serahkan duit terpakai kepada B pada hari ini, kemudian B serahkan duit baharu pada keesokan harinya.
Hukum: Haram kerana berlaku riba nasa’.

SENARIO 2
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1,000 daripada B.
B bersetuju dan mengenakan caj RM10 ke atas A.
Lalu A membayar RM1010 duit terpakai, dan B menyerahkan RM1000 duit baharu.
Hukum: Haram kerana berlaku riba fadhl.

SENARIO 3
A mahu menukar duit raya sejumlah RM1000 daripada B.
A mewakilkan C untuk menukarkan duit dengan B.
C sebagai wakil mengenakan caj sebanyak RM10 ke atas A.
A menyerahkan RM1010 kepada C, dan keesokannya C mambayar RM1000 kepada B, dan B membayar RM1000 duit baharu kepada C.
C kemudian menyerahkan RM1000 duit baharu itu kepada A.

Hukum: Harus, kerana tidak berlaku riba. Kelewatan antara A dan C adalah kelewatan dalam bab wakalah.
Manakala transaksi al-sarf berlaku antara B dan C tanpa penangguhan.
Lebihan RM10 juga adalah berlaku dalam bab wakalah sebagai upah wakil. Manakala dalam akad al-sarf tidak berlaku sebarang lebihan.

Baca juga: ‘Terbaik punya majikan’, Khairul Aming beri bonus & belanja staf baju raya buat ramai kagum

Iklan

SENARIO 4
Maslan ingin menukar duit raya sejumlah RM1,000 daripada Bank XYZ.
Maslan mempunyai seorang kawan, bermama Awang yang bekerja di Bank XYZ tersebut.
Maslan menyerahkan duit RM1,000 kepada Awang pada waktu pagi sebelum Awang pergi kerja.
Di Bank XYZ, Awang menukarkan duit Maslan di kaunter tukar duit raya.
Pada sebelah petang, Awang menyerahkan duit raya kepada kawannya Maslan.

Hukum: Tidak ada masalah sekiranya pertukaran duit raya oleh Awang di Bank berlaku secara spot.Ini kerana ketika Maslan menyerahkan duit kepada Awang, Awang bukan di atas kapasiti pegawai bank kerana tukaran duit raya di bank hanya berlaku di kaunter. Jadi ketika Maslan serah duit kepada Awang, ia adalah wakalah.

SENARIO 5
A ingin menukar duit raya sejumlah RM1,000 daripada B.
A meminta B datang ke tempatnya untuk membuat pertukaran.
B bersetuju dan meminta A membayar kos dia datang ke tempat A.
B lalu menaiki Grab dengan caj RM5.50 dan sampai ke tempat A, lalu berlaku pertukaran RM1,000 duit terpakai dengan RM1000 duit baharu.
A membayar caj Grab sebanyak RM5.50 kepada B.

Hukum: Diharuskan, kerana bayaran caj Grab adalah kos sebenar yang dibayar oleh B untuk datang ke tempat A atas permintaan A.

Justeru, berhati-hatilah dalam urusan pertukaran duit raya ini. Awas kerana ia mungkin boleh terpalit dengan riba. Menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan setiap jual beli yang dilakukan tidak terjerumus dalam kancah riba yang diharamkan oleh ALLAH dan Rasulnya.

Iklan

Baca juga: ‘Terbaik punya majikan’, Khairul Aming beri bonus & belanja staf baju raya buat ramai kagum

Sumber: Ustaz Lokmanulhakim Hussain, Ustaz Lariba

Kredit foto utama: Pexels

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi