PENULISAN buku novel berunsur lucah atau dewasa semakin meluas dan kian menjadi-jadi.

Bahkan, ia terang-terangan dijual kepada golongan muda yang segelintir tampak teruja sekali gus menimbulkan kebimbangan andai dibiarkan boleh mengundang kesan negatif kepada pelapis muda.

Sebenarnya isu ini bukanlah perkara baharu dalam masyarakat kita. Namun, jika tidak dibendung ia boleh merosakkan minda malah memberi risiko tinggi untuk berlaku jenayah seksual.

Pempengaruh, Haanim Mustafa tatkala ditemui baru-baru ini menegaskan novel tersebut boleh dikekang jika pihak terlibat tidak melayan permintaan untuk menerbitkannya.

“Bagi saya tidak perlu wujud (buku dewasa) kerana memberi kesan negatif terutama pelajar sekolah.

“Sekarang ini semua benda mudah viral, tak elok untuk minda dan hati,” katanya kepada Sinar Plus.

Tambah Haanim yang merupakan TikTokers yang kini memiliki lebih 28,000 pengikut, penulis sekarang lebih menumpukan jualan dan keuntungan berbanding kualiti dan mesej yang disampaikan.

“Semua nak kejar untung tetapi tidak memberi sumbangan kepada anak muda.

“Jangan normalisasikan kerana hakikatnya unsur lucah ini sememang tidak boleh dan patut dielakkan,” ujarnya.

Elemen seks

Iklan

Sebelum itu, media melaporkan terdapat sebuah novel karya tempatan laris dijual walaupun secara terang-terangan mengandungi elemen seks.

Bahkan, tindakan penulis itu dilihat tanpa segan silu menyelitkan elemen agama dalam novel tersebut walaupun kandungannya tidak selaras dengan apa yang ingin disampaikan.

Paling menakutkan, apabila didakwa ada pembaca cilik berusia 11 tahun yang pernah membaca novel tersebut di aplikasi dalam talian iaitu Wattpad.

Iklan

Mengulas mengenai isu tersebut daripada sudut penulis novel, Amalina Aini berkata, seorang pengkarya mempunyai ‘kuasa’ dalam setiap bait kata-kata maka menjadi tanggungjawab mereka dalam menyampaikan sesuatu perkara yang berfaedah.

“(Penulis) perlu tanya diri sendiri dulu, apa yang nak disampaikan dalam novel. Sebab apa yang kita tulis sekali ia dibukukan akan sentiasa ada dan kekal selamanya.

“Jadi menulis perkara yang tidak mendatangkan manfaat menambahkan lagi dosa kepada kita dan pembaca jika terpengaruh bimbang akan melakukan perkara di luar batasan,” katanya.