'Kena cermin diri sendiri dulu...' Ibu bapa jangan terlepas pandang, ini 7 hak anak yang perlu dipenuhi

No Image Caption
A
A
A

Bila sudah berumah tangga dan memiliki anak, pastinya ibu ayah mahukan yang terbaik buat mereka. Sanggup mengeluarkan kos yang tinggi untuk pendidikan anak-anak, ada yang sanggup berjauhan kerana anak-anak sambung belajar luar negara dan ada juga yang pentingkan ilmu dunia dari akhirat.

Akhirnya membawa kepada masalah kepada ‘tumbesaran’ anak-anak itu. Di saat itu, ibu ayah mula mencari salah pada anak-anak sedangkan nasi sudah menjadi bubur. Sebab itu mendidik anak bermula dari kecil lagi. Melalui perkongsian seorang penceramah bebas, Ustaz Izzhar Nazri di laman Instagram miliknya, beliau kongsikan tujuh hak anak yang wajib ibu ayah penuhi jika tak mahu menyesal di kemudian hari.

1) Pendidikan akidah

No Image Caption

Anak-anak perlu kenal Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu. Sebagai contoh, ceritakan kepada anak-anak tentang kejadian tumbuh-tumbuhan, binatang dan kemudian beralih kepada alam semesta. Bagi contoh yang mudah dan dekat dengan anak supaya mereka faham tentang kewujudan Allah Yang Maha Esa. Jika anak-anak mengenal ibu ayah lebih dari mengenal Allah dan Rasul-Nya maka sudah kelihatan kegagalan dalam pendidikan awal.

2) Ajaran akhlak

Perkara ini nampak mudah tetapi ramai ibu ayah terlepas pandang. Tunjukkan kepada anak contoh yang baik. Adab ketika bercakap dengan orang yang lebih tua, adab ketika makan, adab ketika bermain, adab ketika berada di rumah orang dan adab ketika menggunakan tandas. Rutin yang remeh ini perlu dititik beratkan bukannya hanya mengharapkan pendidikan di sekolah sahaja.

3) Keperluan ibadah

No Image Caption

Hak anak yang ketiga ini seringkali ibu ayah lepas tangan. Hantar anak ke kelas mengaji dan sekolah agama tetapi tidak memberikan bimbingan sewajarnya. Ada juga ibu ayah yang tidak solat dan mengaji di rumah serta culas berpuasa. Ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada anak-anak. Pendidikan fardu ain perlu bermula dari rumah. Jadi, kena ambil peduli tentang hal ibadah mereka kerana anak-anak yang akan menjadi ‘bekalan’ akhirat ibu ayah.

4) Kemahiran hidup

No Image Caption

Bukan hanya bergantung harap pada ilmu yang diperolehi di sekolah tetapi ibu ayah perlu bekalkan juga anak-anak dengan kemahiran dalam meneruskan kehidupan mengikut peredaran zaman. Sebagai contoh di era yang serba canggih ini boleh masukkan anak ke kelas coding, AI mahu pun seni mempertahanan diri.

5) Pendidikan disiplin

No Image Caption

Peraturan dan undang-undang perlu dimulakan dari rumah. Walaupun nampak remeh tetapi ajaran disiplin ini mampu memberi impak positif kepada masa depan anak-anak. Contohnya, ibu ayah berikan masa dua jam sahaja setiap hari kepada mereka untuk bermain game di telefon bimbit kemudian jam 5 petang perlu bermain di luar rumah sehingga jam 7 petang. Selepas solat isyak, anak-anak perlu ulangkaji pelajaran sehingga jam 10 malam. Bukannya biarkan anak-anak dengan dunia mereka sendiri tanpa pantauan.

6) Ilmu sosial

No Image Caption

Pendidikan yang jarang diambil berat oleh ibu ayah kepada anak-anak dengan alasan tiada keperluan di situ. Tahukah anda, mewujudkan perasaan empati, bertolak ansur, bantu membantu dan menghormati antara satu sama lain tergolong dalam ilmu sosial?

Anda boleh membawa anak-anak ziarah rumah anak-anak yatim, rumah penjagaan warga emas mahu pun membantu orang-orang miskin. Semua ini ajaran yang tidak ada di sekolah tetapi jika diterapkan dalam kehidupan anak-anak pastinya ia memberi nilai tambah dalam membentuk keperibadian murni anak-anak ibu ayah semua.

7) Contoh terbaik

Di antara semua pengisian ini, perkara paling utama yang akan meresap dalam pemikiran dan jiwa anak-anak sudah tentu contoh terbaik yang ada di depan mata mereka iaitu ibu ayah. Tinggal sebumbung pastinya anak-anak menyaksikan semua perkara yang ibu ayah lakukan setiap hari. Ibu ayah tidak perlu menjadi sempurna tapi cukup memberikan hak sewajarnya dalam pendidikan anak-anak. Jika masalah timbul di kemudian hari, ibu ayah sendiri tidak mahu dituduh ‘tak tahu mendidik anak’. Maka fikir-fikirkanlah. Selagi masih ada nafas dan peluang, usahalah sebaiknya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang