HAMPIR setahun setengah kita menjalani penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai peringkat bagi mengekang penularan Covid-19.

Pandemik bukan sahaja menjejaskan pergerakan aktiviti harian, bahkan secara tidak langsung ‘melenyapkan’ nikmat dan kemeriahan musim perayaan antaranya Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tidak lama lagi.

Impian umat Islam menyambut lebaran bersama insan tersayang di kampung halaman punah apabila aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan.

Tambah lagi, baru-baru ini diumumkan pula beberapa negeri dikenakan PKP dan merentas daerah turut tidak dibenarkan.

Oleh itu, demi memastikan tiada individu yang merentas negeri pulang ke kampung, Polis Perak tampil menempatkan penguat kuasa di setiap kaunter tiket plaza tol.

Perkara itu adalah bertujuan untuk memeriksa baki tambah nilai bagi memastikan tiada individu merentas negeri pulang ke kampung pada Aidilfitri.

Patuhi SOP Raya, rentas daerah bukan 'tiket' bebas

Memetik laporan portal tempatan, menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, ia antara strategi yang akan digunakan bagi menyemak kadar bayaran tol terhadap individu yang cuba mengambil kesempatan merentas negeri.

“Kita akan menyemak kadar bayaran tol, kadang-kadang bagi mengelak dikesan mereka akan masuk tol ini dan keluar tol yang ini.

“Jika kita tengok kadar bayaran tol, contohnya dari Jalan Duta jika tiada surat kebenaran merentas negeri, kita akan mengambil tindakan kompaun dan mengarahkan mereka berpatah balik,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak dapat membuat tindakan lebih ketat di jalan raya ketika perayaan kerana ia akan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Iklan

Artikel berkaitan: Hasrat beraya di kampung punah, tahun kedua tidak boleh rentas…

Perkara yang anda perlu tahu jika ingin rentas negeri

Beliau turut menasihati setiap individu bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memerangi kes Covid-19.

Iklan

Sementara itu, beliau berkata, polis Perak juga berusaha meningkatkan penguatkuasaan SOP yang ditetapkan kerajaan supaya pergerakan keluar masuk ke daerah dapat dikekang terutama musim cuti sekolah dan perayaan.

Justeru, bagi mereka yang sedang merancang untuk mencuba merentas negeri, bolehlah melupakan hasrat tersebut.

Moga kita tabah dan sabar mengharungi dugaan Aildilfitri di rantauan.