Kanak-kanak menangis, asyik nak balik awal persekolahan, 10 perkara ini ibu bapa, guru perlu tahu

A
A
A

WALAUPUN sudah memasuki minggu kedua sesi persekolahan 2022, mungkin masih ada ibu bapa yang masih berhadapan anak yang masih dalam peringkat menyesuaikan diri.

Pelbagai ragam anak-anak kecil seawal pagi di rumah sehingga ke dalam kelas di sekolah atau tadika. Menangis, merengek, merajuk dan mengamuk adalah antara perkara perlu didepani ibu bapa dan guru.

Baca juga: Waspada! Kanak-kanak jadi sasaran varian Omicron, kemasukan PICU meningkat 94%

 

Perkara ini berlarutan hingga mungkin ada yang bertanya kepada diri, adakah yang berlaku itu normal? SinarPlus mendapatkan perkongsian daripada Pakar Keibubapaan Positif, Parent Connect, Noor Afidah Abu Bakar mengenai psikologi kanak-kanak yang perlu difahami terutama dalam menghadapi minggu-minggu awal persekolahan.

Menurut Noor Afidah, terdapat 10 perkara yang perlu difahami ibu bapa dan guru berkaitan psikologi si kecil dalam mengharungi fasa mencabar ini.

1. Kanak-kanak lahir ke dunia ini dengan kesedaran semula jadi yang sangat tinggi untuk belajar. Mereka tidak perlu disuruh atau dipaksa.

2.Kesedaran semula jadi ini mendorong kanak-kanak untuk bermain, suka meneroka, menyiasat, bergerak, melakukan eksperimen, bertanya, menyentuh, melihat kesan dan akibat sesuatu perbuatan dan suka membina persahabatan. Dari pengalaman-pengalaman inilah kanak-kanak membina konsep, teori dan idea tentang dunia di sekitar mereka. Itulah erti belajar bagi kanak-kanak.

3. Mereka sentiasa bersedia untuk belajar kerana mereka ingin memahami persekitaran dan mengetahui bagaimana sesuatu yang berada di persekitaran mereka berfungsi. Belajar bukan bermaksud duduk diam di meja bagi menyiapkan sesuatu tugasan standard yang telah ditetapkan sehingga melebihi had tumpuan atau 'attention span' kanak-kanak. Jika duduk di meja menyiapkan sesuatu, itu bukan belajar namanya, ia dinamakan indoktrinasi atau ‘Pedagogy of the Oppressed’ menurut Freire.

4. Kesedaran untuk belajar tidak boleh ditanam dalam diri kanak-kanak tanpa persekitaran yang sesuai dan menyeronokkan, tidak kiralah di rumah mahupun di sekolah. Pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna akan menaikkan lagi semangat kanak-kanak untuk belajar.

5. Kanak-kanak akan hilang motivasi untuk belajar apabila berada dalam situasi persekitaran seperti berikut;

-Persekitaran yang tidak sesuai perkembangan dan keperluan.

-Persekitaran yang tidak selesa dan tidak selamat.

-Persekitaran yang menekan.

-Persekitaran yang menghukum.

-Persekitaran yang tidak menghargai usaha.

-Persekitaran yang tidak meraikan kepelbagaian.

-Paling teruk, ersekitaran yang mengabaikan emosi.

6. Perkembangan emosi yang sihat pada kanak-kanak akan menyokong perkembangan kognitif mereka dan membantu untuk belajar. Jika emosi mereka terabai, tidak difahami, tidak dibimbing malah dianggap sebagai bebanan oleh orang dewasa (sama ada guru mahupun ibu bapa), ia secara tidak langsung akan mempengaruhi motivasi mereka untuk belajar.

 

7. Kanak-kanak menangis pada awal persekolahan BUKAN kerana mereka tidak bersedia untuk belajar. Tetapi disebabkan oleh 'SEPARATION ANXIETY' atau kegelisahan kerana berpisah dengan individu yang dipercayai selama ini sama ada ibu atau ayah. Ini merupakan fasa yang normal pada kanak-kanak. Orang dewasa juga mengalami 'separation anxiety'. Setiap kanak-kanak bertindak balas kepada perpisahan dengan cara dan jangka masa yang berbeza-beza mengikut pembawaan dan perkembangan kanak-kanak tersebut.

8. Guru harus memiliki skil untuk menguruskan 'separation anxiety' pada kanak-kanak di bawah jagaannya. Kemahiran ini harus dipelajari dan dilengkapkan melalui latihan. Kanak-kanak yang mengalami ‘separation anxiety’ tidak seharusnya dihukum secara dipinggirkan atau menambah lagi kegelisahan dengan menyalahkan emosi mereka.

Baca juga: Kanak-kanak 3 tahun miliki tabiat aneh, makan selipar lima pasang sebulan, kertas, 'styrofoam'

9.Ibu bapa harus menyediakan fizikal, mental dan emosi anak sebelum anak melalui fasa perpisahan agar mereka dapat menjangkakan apa yang akan berlaku. Ini akan membantu proses transisi dari rumah ke tadika. Pada usia awal, persediaan mental dan emosi lebih penting dari persediaan membaca, menulis dan mengira. Kanak-kanak mempunyai banyak masa untuk belajar 3M (membaca menulis dan mengira) tetapi perkembangan emosi mereka sangat pesat ketika usia awal baru lahir hingga lima tahun.

10.Ibu bapa mempunyai pelbagai pilihan dalam pemilihan tadika untuk anak-anak. Pastikan melawat tadika yang menjadi pilihan terlebih dahulu sebelum mendaftar untuk mengetahui falsafah, misi, visi, amalan dan jangkaan tadika tersebut. Pilihlah tadika yang dapat memenuhi keperluan individu anak bukannya tadika yang ‘popular’ atau ‘glamour’, dekat dengan rumah atau tempat kerja dan murah semata-mata.

Perkongsian Noor Afidah adalah bagi menjawab persoalan berkaitan keadaan anak yang sedang menyesuaikan diri di tadika pada awal sesi persekolahan baru-baru ini.

Tidak lama dulu, tular rakam layar perbualan antara guru tadika dan ibu seorang murid berusia lima tahun yang menangis pada hari keempat persekolahan.

Menurut guru tersebut, murid berkenaan merengek hendak pulang ke rumah sehingga disalah tafsir sebagai tidak berminat ke sekolah dan tiada kesedaran untuk belajar.

Semoga kita sebagai ibu bapa dan guru memahami situasi awal ini dan mempersiapkan diri menghadapi pelbagai keadaan.

Ingatlah bahawa kanak-kanak bukan robot. Dengan memahami psikologi awal peringkat usia mereka memudahkan ibu bapa dan guru mengendalikan jangkaan masing-masing.

Baca juga: Kanak-kanak alami sindrom ‘rare’ rambut tidak boleh disikat, hanya dihidapi 100 orang di dunia

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca