PERASAN atau tidak, apabila seseorang itu diijab kabul sebagai pasangan suami isteri yang sah, ada lafaz taklik yang terdapat pada sijil nikah mereka.

Ia menjadi perkara wajib yang menjadi kebiasaan dalam perkahwinan yang dilangsungkan di negara kita. Lafaz taklik berkenaanlah yang mengikat pihak suami dan isteri.

Rupa-rupanyanya, ada sebab kenapa lafaz taklik berkenaan dibuat. Apa tidaknya, ia merupakan perjanjian yang mengikat antara suami dan isteri.

Mudah kata, lafaz taklik adalah pengakuan gugurnya talak apabila perjanjian itu tidak dipenuhi.

Namun begitu, bukan sewenang-wenangnya lafaz taklik berkenaan boleh ‘jatuh’ dengan sendirinya. Ada prosedur tertentu yang perlu dilakukan.

Demikian penjelasan Peguam Syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Amir Hamzah menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

NURAIN AKMAL KHAIRUNNISA

Pengamal undang-undang itu menjelaskan, taklik itu tujuannya untuk menghindari daripada berlakunya kemudaratan kepada pihak baik suami atau isteri dalam perkahwinan tersebut.

Antara contoh taklik dalam sijil nikah yang lazim digunakan adalah: “Saya (nama suami) dengan ini bertaklik bahawa apabila saya meninggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan”; atau

“Jika saya atau wakil saya tidak memberikan nafkah kepada isteri saya selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih sedangkan dia taat kepada saya”; atau

“Jika saya menyebabkan mudarat terhadap tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, atau menyebabkan penganiayaan atau sebarang dharar syarie dan kemudian dia mengadu kepada Hakim Syarie dan jika sabit aduannya di sisi Hakim Syarie, dan dia memberikan kepada Hakim Syarie yang menerima RM1 bagi pihak saya, maka pada ketika itu tertalaklah dia dengan talak khulu’.”

(Artikel berkaitan: Nikah ketika PKPB lebih mudah, ringkas dan menjimatkan kos)

Seandainya pihak suami melanggar taklik berkenaan, peguam syarie itu menjelaskan, pihak isteri boleh membuat tuntutan perceraian secara taklik bagi membolehkan perkahwinan itu dibubarkan oleh mahkamah.

“Namun begitu, pihak isteri perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa suaminya telah melanggar taklik sijil nikah tersebut dengan pembuktian yang sewajarnya sama ada melalui dokumen-dokumen dan saksi-saksi yang perlu dikemukakan di mahkamah semasa perbicaraan.

Lafaz taklik

Iklan

“(Ia) Bukannya apabila suami tidak melaksanakan apa yang dilafazkan dalam taklik sijil nikah tersebut, maka automatik telah jatuh talak. Bukan begitu,” jelasnya.

Nurain Akmal Khairunnisa berkata, ayat yang berbunyi “kemudian dia mengadu kepada Hakim Syarie dan jika sabit aduannya di sisi Hakim Syarie” itu bermaksud mahkamah perlu mensabitkan bahawa suami telah melanggar taklik yang telah dilafazkan olehnya semasa akad nikah perkahwinan tersebut.

“Kes perceraian taklik ini adalah salah satu contoh untuk membubarkan perkahwinan ya. Ia berbeza dengan lafaz cerai taklik itu ya,” jelas beliau.

Iklan

Kepada mereka yang sudah berumah tangga atau bakal menjadi suami isteri, jangan ambil mudah dengan perkara ini.

Sekurang-kurangnya ambil tahulah demi kebaikan bersama.

Sumber: Facebook Peguam Syarie Nurain

Foto: 123rf  & Bernama