SIAPA yang tak kenal Mahsuri? Jenama sos dan kicap yang semakin menjadi kegemaran rakyat Malaysia.

Perkembangan positif itu kini telah membawa Mahsuri Food Sdn Bhd ke fasa baharu apabila membuka satu kilang pembuatan baharunya di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

Dengan pelaburan sebanyak RM250 juta, premis berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2025.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, kilang tersebut adalah satu langkah jenama itu dalam merancakkan lagi pasaran tempatan dan luar negara terutamanya dalam industri halal.

PELUANG PEKERJAAN

Menurut Mohd Roslan, dengan adanya kilang tersebut, Mahsuri secara tidak langsung dapat menyumbang kepada ekonomi setempat dan meningkatkan taraf hidup selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri.

Di samping itu, ia dapat membuka lebih banyak peluang pada masa akan datang.

“Dengan keluasan sebesar 24,000 meter persegi, tapak baharu ini akan membolehkan Mahsuri Food meningkatkan lagi kapasiti pengeluarannya dan menyediakan produk halal berkualiti tinggi untuk pelanggan-pelanggan kami.

“Kami percaya bahawa dengan adanya kilang ini, bukan sahaja dapat kami tingkatkan jenama Mahsuri di Malaysia, malah menjadi tumpuan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pecah Tanah Tapak Perusahaan Syarikat Mahsuri Food di Halal Park Bandar Enstek yang disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini.

DILENGKAPI TEKNOLOGI MODEN

Menariknya lagi, ujar Mohd Roslan, kilang yang dibina tersebut bakal dilengkapi dengan inovasi moden seperti mesin Rotary-type Koji Making.

Peralatan itu antara lain akan menjadikan Mahsuri Food syarikat pertama yang menggunakan teknologi canggih itu di rantau ASEAN.

“Bukan itu sahaja, kilang ini turut mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial.

“Bagi melaksanakan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus, Mahsuri Food akan mendirikan kemudahan yang sesuai untuk meningkatkan penjimatan sumber termasuk menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui agar dapat meminimumkan penggunaan tenaga konvensional,” katanya.

Baca juga: Mudahkan proses memasak, jimat masa kaum ibu, Mahsuri kekal unggul bersaing di pasaran lebih tiga dekad

Baca juga: Mahsuri Sos Berperisa Tiram pilihan terbaik untuk masakan anda

Sehubungan itu, Mahsuri Food berhasrat untuk mencapai pensijilan Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) yang membolehkan kilang tersebut dapat berfungsi dengan efisien, jimat kos dan baik untuk alam sekitar.

Pensijilan LEED yang bertaraf antarabangsa itu dikeluarkan oleh United States Green Building Council.

Iklan

Ia diiktiraf di seluruh dunia dan merupakan penanda aras kepada kelestarian sesebuah bangunan.

SEJARAH MAHSURI

Dalam pada itu, Mohd Roslan turut berkongsi perjalanan Mahsuri Food yang mula ditubuhkan lewat tahun 1990-an ketika Malaysia sedang melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Perjalanan mereka bermula apabila seorang pelabur antarabangsa tertarik dengan makanan Malaysia semasa lawatan ke Langkawi, Kedah bersama kumpulan usahawan Malaysia yang inovatif dan berpengalaman dalam industri makanan.

Bermula dari detik itu, dengan kolaboratif kepakaran dan bantuan teknologi moden, Mahsuri berganding bahu dalam mencipta resipi kicap yang halal untuk dipasarkan kepada rakyat Malaysia.

Iklan

Sejak dari itu, Mahsuri telah terus berusaha untuk memperkasakan R&D dalam bidang penghasilan makanan.

Sehingga kini jenama tersebut telah berjaya mempelbagaikan produk-produk yang sedia ada untuk dijadikan bahan asas masakan rakyat Malaysia.

Tambahnya, daripada hanya sebuah syarikat kecil, Mahsuri Food telah berjaya meluaskan empayarnya dan menghasilkan pelbagai variasi produk halal di bawah rangkaian Mahsuri.

Jenama tersebut juga telah menembusi pasaran di Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, India dan Timur Tengah.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.