Mengandungi toksin berbahaya, KKM tak benarkan jualan ikan buntal, 5 info berkaitan

buntal
buntal
A
A
A

Mengandungi toksin berbahaya, KKM tak benarkan jualan ikan buntal, 5 info berkaitan

SEDIH dan menyayat hati! Itu kejadian makan hidangan ikan buntal oleh sepasang suami isteri yang tinggal di Kampung Chamek, Paloh, Johor baru-baru ini.

Pasangan itu mengalami keracunan akibat memakan ikan buntal ketika pertama kali memakannya.

Si isteri terlebih dahulu mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada jam 3 petang dan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) oleh anaknya.

Kira-kira sejam kemudian suaminya pula mengalami gejala sama. Si isteri meninggal dunia pada jam 7 malam manakala suaminya masih dirawat di ICU.

Baca juga Ikan buntal goreng santapan terakhir, wanita maut, suami di ICU, 10 perkara perlu waspada bahaya racunnya

Kredit foto: Pusat Racun Negara

Dalam perkembangan terbaru berkaitan ikan buntal, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini tidak membenarkan penjualan ikan buntal untuk tujuan hidangan kerana mengandungi toksin berbahaya.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berikut info berkaitan;

1. Sebanyak 58 kes keracunan ikan buntal telah dilaporkan membabitkan 18 kematian sejak 1985 hingga Mac tahun ini.

2. Seksyen 13 Akta Makanan 1983 turut menerangkan dengan jelas larangan dalam penjualan mana-mana makanan yang mengandungi apa-apa bahan beracun, berbahaya termasuk memudaratkan kesihatan. Pindaan ini telah dihentikan memandangkan kawalan dalam penjualan ikan buntal kini ditetapkan di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

3. Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) KKM telah menghasilkan bahan pendidikan sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung toksin berbahaya dalam ikan buntal.

Baca juga Arapaima, ikan air tawar terbesar di dunia ganggu ekosistem ikan tempatan, berikut 23 spesies ikan ‘alien’ lain

4. KKM akan terus mendidik orang ramai tentang keselamatan makanan termasuk bahaya memakan ikan buntal.

5. Dalam injauan yang dijalankan oleh FSQD, KKM pada tahun 2019 menunjukkan 86 peratus responden terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang bahaya pengambilan ikan buntal.

INFO IKAN BUNTAL;

1) Terdapat lebih daripada 100 spesies ikan buntal

Ikan buntal adalah spesies yang tergolong dalam keluarga Tetraodontidae. Ikan ini boleh didapati di kedua-dua air masin dan air tawar seperti Lautan Pasifik, Laut Merah, Sungai Mekong dan Sungai Amazon.

Ciri-ciri ikan beracun ini ia mempunyai badan yang panjang, meruncing, kepala bulat, bibir yang menonjol dan perut besar.

Ikan buntal mempunyai keupayaan untuk menukar arah apabila berenang dan berenang ke belakang.

2) Boleh membesar sehingga empat kaki

Ikan buntal terbesar diketahui sehingga empat kaki panjang atau kira-kira 47 inci. Panjangnya juga melebihi buaya bayi. Ikan ini terdapat di Australia, Jepun dan Afrika.

Saiz terkecil ikan buntal ini kurang daripada satu inci dan terdapat di sekitar India Barat Daya. Walaupun kerdil tetapi mereka mempunyai keupayaan menonjol iaitu boleh memilih untuk menjadi ikan jantan atau ikan betina.

3) Mengembung badannya sehingga tiga kali saiz biasa

Oleh kerana ikan buntal bergerak perlahan dan berwarna terang, ia menjadikan pemangsa lain dapat memakannya dengan mudah.

Untuk mengatasi masalah ini, ikan buntal akan mengembung dirinya dengan mengambil udara dari perut tiga kali lebih besar daripada saiz badannya dan menyerlahkan tulang belakang supaya mereka tidak menjadi makanan pemangsa.

Inilah sebabnya mengapa ikan buntal dipanggil ikan puffer, blowfish, baloonfish, globefish atau toadfish.

4) Salah satu haiwan yang paling beracun di dunia

Ikan buntal adalah haiwan beracun. Apabila dalam keadaan terancam, ikan puffer mengembung diri dan melepaskan toksin dari kulit yang dikenali sebagai Tetrodotoxin atau TTX iaitu bahan kimia yang 100 kali lebih toksik daripada sianida.

Di samping itu, ikan puffer juga boleh mengeluarkan toksin yang boleh membunuh 30 orang dewasa. Sesiapa yang terdedah kepada racun ini boleh mengalami kebas, lumpuh otot, pening, kegagalan jantung dan kematian.

Kredit foto: Bernama

5) Ikan buntal boleh bina sarang

Ikan buntal berwarna putih ternyata mempunyai tabiat yang unik iaitu membina sarang. Ikan buntal jantan membuat sarang dalam bentuk sfera pasir dan diameter enam kaki.

Tujuan mereka membuat sarang untuk menarik perhatian ikan betina. Di samping itu, ikan buntal jantan lain juga membuat sarang dengan tujuan yang berbeza. Mereka membuat sarang sperma untuk melindungi diri daripada pemangsa.

6) Gigi ikan buntal terus tumbuh

Ikan buntal sebenarnya mempunyai empat gigi. Dua di bahagian atas dan dua di bawah. Kedua-duanya bersatu agar kelihatan seperti satu gigi besar seperti tikus.

Gigi ikan buntal sentiasa berkembang jadi untuk memastikan ia pendek, mereka menggunakan gigi untuk membuka cengkerang, makan alga dan ikan-ikan di dasar lautan.

7) Ikan buntal adalah hidangan yang lazat di Jepun

Walaupun ia merupakan ikan beracun, ikan buntal adalah salah satu hidangan lazat di Jepun. Namun begitu, hidangan ini hanya boleh dimasak oleh chef terlatih yang mempunyai banyak pengalaman kerana mereka perlu mengeluarkan organ-organ beracun dan memasaknya dengan betul supaya tidak meracuni pelanggan.

Justeru, orang ramai berhati-hatilah ketika membeli bahan lauk, pastikan ikan yang dibeli selamat untuk dimakan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca