MI adalah menu makanan ruji dalam masakan orang Asia, di samping nasi yang menjadi kelaziman orang ramai.

Di Asia khususnya, terdapat beberapa jenis mi bergantung pada teksturnya. Hal itu tidak menjadi masalah, nipis atau tebal, asalkan halal, sedap dan perut kenyang, sudah cukup.

Pun demikian, ia menimbulkan satu isu mengenai kegusaran yang berlaku apabila tukang masak di warung, restoran termasuklah ibu-ibu yang memasak mi, namun tiba-tiba mi tersebut bertukar warna.

Hal itu memang kecoh dan menjadi bualan ramai di alam maya.

Ia bermula apabila seorang pelayar Facebook, Faridah Akir telah memuat naik status tentang pengalamannya memasak mi kuning yang dibelinya kemudian bertukar menjadi hijau setelah dicampur bersama ubi keledek.

Status itu menerima pelbagai reaksi. Pelbagai andaian timbul. Macam biasa, ramai yang mengusulkan pandangan masing-masing.

Bagaimanapun, SinarPlus ingin mengetengahkan pandangan seorang ahli kimia bertauliah, Dr Fatimah Salim.

DR Fatimah Salim. Foto: Facebook Dr Fatimah Salim

Menerusi Facebooknya, Dr Fatimah berkata, apa-apapun mi tersebut selamat dimakan.

Berikut adalah penjelasannya: “Sebenarnya bahan kimia punca warna dalam ubi keledek itu adalah jenis anthocyanin.

“Ia adalah sejenis molekul semula jadi yang sangat sensitif kepada perubahan pH (asid atau alkali).

Dalam keadaan neutral ubi keledek itu berwarna ungu.”

Iklan

Artikel berkaitan: Minyak menggoreng, menumis jadi terlalu berbuih apabila guna senduk silikon. Selamatkah ia digunakan? Para ibu wajib tahu ni…

Ujar ahli kimia itu lagi, sebenarnya, mi kuning mengandungi bahan bersifat alkali iaitu serbuk penaik (natrium bikarbonat NaHCO3) yang bertujuan sebagai bahan pengawet dalam mi.

“Kehadiran bahan beralkali berkenaan dalam mi kuning akan menyebabkan pH persekitaran anthocyanin menjadi tinggi.

Iklan

“Tindak balas anthocyanin daripada ubi keledek dengan serbuk penaik (alkali) adalah sebab berubahnya warna mi itu menjadi hijau,” terangnya mengelak kekeliruan.

Kata Dr Fatimah lagi, kelainan warna yang boleh dilihat dengan mata kasar berkenaan adalah disebabkan oleh perubahan kumpulan elektron dalam struktur molekul anthocyanin yang akan menyerap spektrum tenaga yang berlainan.

Penjelasan Dr Fatimah nampaknya sedikit sebanyak melegakan ramai pihak.

Justeru, kepada ibu-ibu atau cef-cef di luar sana, jangan panik ya! Ahli kimia sudah memberi pencerahan jelas. Makanlah dengan selamat.