TIDAK semua ibu mengandung dapat merasai pengalaman berpuasa di bulan Ramadan.

Buat pertama kalinya pelakon, Mira Filzah bakal menjalai puasa sebagai ibu mengandung dengan kandungan sudah melebihi usia lapan bulan.

Isteri kepada Wan Emir Astar itu yang dikhabarkan bakal melahirkan bayi sulung sekitar pertengahan bulan April.

Hampir setiap tahun, isu ibu mengandung yang ingin berpuasa bakal dibahaskan.

Tidak mudah bagi si ibu mengandung untuk berpuasa penuh pada bulan mulia ini. Namun apabila memikirkan kesukaran untuk menggantikan puasa pada bulan lain, kebanyakan mereka memilih untuk berpuasa.

Benar, bulan Ramadan merupakan bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk berpuasa akan tetapi buat para ibu hamil, mereka perlu kenali tubuh dan kandungan mereka sebelum menjalani ibadah berpuasa.

Merujuk perkongsian di laman Facebook Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita dan Kehamilan, Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, terdapat beberapa keadaan yang tidak mengizinkan ibu mengandung untuk berpuasa.

Menurutnya, berikut adalah keadaan ibu mengandung yang tidak digalakkan berpuasa.

Baca juga: Dr Amalina, Mira Filzah Seru Wanita Jangan Lemah, Yakin Diri Sendiri

1. Mengalami masalah Gestational Diabetes Melitus (GDM)

GDM merupakan satu keadaan buat para ibu mengandung yang sebelum ini tidak mempunyai sejarah kencing manis tetapi selepas kehamilan, paras glukosa dalam darah tinggi berbanding wanita yang hamil normal.

Kesan insulin terhadap tubuh badan ibu mengandung akan sedikit terganggu disebabkan oleh rintangan iaitu hormon yang dihasilkan oleh plasenta.

Semakin besar kandungan semakin banyak hormon yang dihasilkan dan ini akan menyebabkan lebih banyak rintangan untuk keberkesanan insulin.

Sekiranya ibu mengandung gagal untuk mengawal GDM, ia akan menyebabkan bayi di dalam kandungan menerima lebihan glukosa dan turut mengalami paras glukosa darah yang tinggi.
Hal ini akan menjadikan si bayi lahir dalam keadaan makrosomia iaitu lahir dengan berat badan melebihi empat kilogram.

2. Berisiko tinggi untuk mendapat Venous thromboembolism (DVT)

Penyakit DVT atau darah beku sering terjadi kepada ibu hamil ia boleh mengakibatkan darah beku tersebut merebak ke organ pernafasan, paru-paru.

Ia mengakibatkan paru-paru ibu mengandung terjejas dan sukar untuk menyerap oksigen.

Hal ini akan menyebabkan ibu mengandung mengalami sakit dada, sesak nafas, degupan jantung laju, batuk berdarah dan paling berbahaya ia akan mengakibatkan kematian secara mengejut.

3. Ibu hamil yang menghidapi Ovarian Hyperstimulation Syndrome (OHSS)

Ibu hamil yang menerima rawatan kesuburan berkemungkinan menghidapi OHSS. Ia mengakibatkan kilang ovari membesar dan membengkak.

Rentetan itu, kesan daripada rawatan kesuburan akan menyebabkan berlakunya pengaliran cecair keluar dari dalam salur darah ke luar.

Komplikasi yang sering berlaku kepada penerima rawatan kesuburan adalah kepekatan darah, kekurangan cecair dalam salur darah, pembekuan di dalam salur darah terutamanya pada bahagian kaki dan paling teruk akan mengakibatkan kematian.

4. Kandungan mempunyai masalah tumbesaran (IUGR)

Wanita hamil amat tidak digalakkan berpuasa sekiranya kandungan mengalami masalah IUGR
kerana ia akan membantutkan lagi pertumbuhan bayi.

IUGR adalah satu keadaan di mana bayi di dalam kandungan tidak menerima oksigen serta nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran.

Amat berbahaya sekiranya si ibu tetap berkeras untuk berpuasa tanpa memikirkan keadaan si bayi di dalam kandungan.

5. Ibu yang tidak sihat atau dijangkiti Covid-19

Ibu mengandung yang dijangkiti Covid-19 dan mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan obesiti berisikog tinggi.

Kebanyakan ibu hamil yang dijangkiti Covid-19 tidak akan melahirkan bayi secara normal atas faktor keselamatan ibu dan bayi.

Iklan

Bagi si ibu yang mempunyai gejala seperti demam dan kekurangan oksigen akan berhadapan risiko kelahiran bayi pramatang, pecah air ketuban sebelum bersalin serta degupan jantung bayi tidak normal.

6. Ibu yang mengalami pendarahan

Sekiranya ibu mengandung mengalami kekejangan perut dan pendarahan ia merupakan petanda bahawa kandungan itu gugur.

Ketika pendarahan, ibu mengandung akan berasa sangat letih, hendak pitam dan loya.

Oleh yang demikian, sekiranya si ibu tetap ingin berpuasa ia akan memudaratkan kesihatan tubuh badan mereka.

7. Ibu yang mengalami muntah teruk sama ada di awal atau suku ketiga kehamilan

Ibu mengandung yang mengalami simptom muntah yang teruk sepanjang kehamilan akan memberi risiko kepada si bayi.

Bayi berkemungkinan akan lahir dengan berat badan yang lebih rendah daripada jangkaan disebabkan hal ini.

Ia juga mengakibatkan tubuh badan mereka lemah dan tidak berupaya untuk membekalkan tenaga kepada janin.

Iklan

8. Ibu yang mengandung kembar

Buat para ibu yang mengandung, mereka berisiko menghidap anemia sewaktu kehamilan. Risiko bertambah sekiranya ibu yang hamil kembar.

Hal ini kerana sewaktu kehamilan kembar si ibu memerlukan lebih banyak zat besi.

Sekiranya ibu mengandung kekurangan zat besi dan nutrien, ia juga boleh mengakibatkan bayi menghidap IUGR.

Oleh yang demikian, ibu mengandung hendaklah menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang bernutrien tinggi untuk tumbesaran bayi.

Para ibu mengandung diingatkan agar membuat pemeriksaan kesihatan dan berjumpa doktor untuk menentukan sama ada tubuh badan dan kandungan berada dalam keadaan sihat untuk berpuasa.

Baca juga: Mengandung Lagi Selepas Lima Hari Hamil, Wanita Lahirkan Dua Bayi Bukan Kembar Serentak

Baca juga: Mengandung Luar Rahim, Shima Anuar Hampir Hilang Nyawa

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI