SUATU ketika lalu, bas mini pernah menghiasi jalan-jalan di sekitar Lembah Klang dan bandar-bandar seluruh negara pada era 1990-an sebelum kerajaan menamatkan perkhidmatannya pada tahun 1998 lalu.

Walaupun tiada lagi perkhidmatannya kini, siapa sangka hasil kreativiti seorang pemuda membuat transformasi bas mini lama menjadi surau bergerak di Terengganu mencetuskan bualan ramai.

Pernah tular ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu di mana surau bergerak itu memudahkan para peniaga dan pengunjung menunaikan solat fardu terutamanya ketika waktu Asar, Maghrib dan Isyak di kawasan Jambatan Angkat Terengganu, Kuala Terengganu.

Terbaharu, bas itu juga berjaya didaftarkan di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak secara sah oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.

Pemiliknya, Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai, 41, begitu teruja apabila hasratnya mewakafkan sebuah bas sekolah mini untuk dijadikan surau bergerak tercapai dengan bantuan JPJ Terengganu yang memberi khidmat pelesenan dan undang-undang.

Mudah orang ramai solat, Bas Mini Surau Bergerak di Terengganu diberi lesen, diiktiraf JPJ

Baca juga Kreatif! Ubah suai bas mini jadi surau bergerak mudahkan solat

Menurut laporan Bernama, Yusuf Hadi yang juga Pengerusi Terengganu Food Truck berkata, dia membeli kenderaan terpakai itu pada harga RM8,000 daripada seorang kawan untuk diubah suai menjadi kendera saji namun pelaksanaan PKP pada Mac 2020 menyebabkan aktiviti perniagaannya terhenti.

Ujarnya, selepas berbincang bersama rakan peniaga lain, akhirnya dia memutuskan mahu mengubah suai bas sekolah mini itu menjadi surau bergerak.

Bicaranya lanjut, hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai dengan kos hampir RM40,000 itu berjaya direalisasikan dan dia berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan.

Surau bergerak tersebut dilengkapi pendingin hawa, tempat wuduk, ruang imam, lampu, jam waktu solat serta bumbung bagi ruangan solat pada bahagian luar kenderaan yang mampu menampung 19 jemaah dalam satu masa.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim, pihaknya sedia membantu mana-mana pihak atau individu untuk mengubah suai kenderaan menjadi surau bergerak seperti mana dilakukan Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Terengganu sebagai tanggungjawab sosial mereka.

“Tidak semestinya umat Islam sahaja, apa-apa bangsa dan agama yang berhasrat melakukan ubah suai kenderaan untuk sesuatu yang bermanfaat kepada orang ramai pun akan dibantu agar ia mematuhi spesifikasi dan peraturan ditetapkan JPJ.

“Surau bergerak ini yang diletakkan di dataran jambatan angkat diharap mampu melonjakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu kerana kewujudannya dapat memberi kemudahan solat yang selesa kepada umat Islam yang berkunjung ke kawasan tersebut,” katanya.

Iklan

Mudah orang ramai solat, Bas Mini Surau Bergerak di Terengganu diberi lesen, diiktiraf JPJ

Sedikit info berkaitan Bas Mini Surau Bergerak;

1. Lokasi surau bergerak ini adalah di tapak perniagaan kendera saji atau food truck di parkir kenderaan jambatan angkat (drawbridge), Kuala Terengganu.

2. Surau bergerak ini memberikan kemudahan buat pekerja dan pengunjung untuk mendirikan solat dengan lebih mudah.

3. Surau bergerak diubah suai daripada bas mini model Mercedes 309d Motorhome yang pernah menjadi pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di negara ini.

Iklan

4. Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan secara bergotong-royong oleh para peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu.

5. Proses ubah suai mengambil masa selama tiga bulan dan mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2020 sehingga kini.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI