SUATU ketika lalu, bas mini pernah menghiasi jalan-jalan di sekitar Lembah Klang sekitar tahun 1990-an sebelum kerajaan menamatkan perkhidmatannya pada 1 Julai 1998.

Bas-bas berkenaan dicat dengan warna asas merah jambu berserta jalur putih pada bahagian tepi, serta mempunyai muatan sekitar 20-30 penumpang, berikutan saiznya yang kecil.

Perkhidmatan bas mini ini dihentikan dan digantikan dengan perkhidmatan bas Intrakota dan kemudiannya, Bas rapidKL pada tahun 2005.

Namun, sedikit berbeza di Terengganu ini apabila bas mini lama ditransformasikan menjadi surau bergerak yang sangat unik dan kreatif!

Idea pembinaan surau bergerak itu diilhamkan oleh salah seorang peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu pada Mac tahun lalu.

Kewujudan surau berkenaan sedikit sebanyak memudahkan para peniaga dan pengunjung menunaikan solat fardu terutamanya ketika waktu Asar, Maghrib dan Isyak.

Walaupun dinamakan surau bergerak, bas mini berkenaan masih berfungsi dan boleh bergerak ke sana sini, namun buat masa ini boleh ditemui di dua kawasan perniagaan trak makanan di Kuala Terengganu.

Ini fakta yang korang perlu tahu tentang surau bergerak;

1. Surau bergerak diubah suai daripada bas mini model Mercedes 309d Motorhome yang pernah menjadi pengangkutan bas awam tertua dan paling popular di negara ini.

2. Kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan secara bergotong-royong oleh para peniaga trak makanan di Jambatan Angkat Terengganu.

3. Kos membeli dan mengubah suai bas mini berjumlah RM35,000 itu diperoleh daripada derma yang dihulurkan oleh para pengunjung dan para peniaga di tapak perniagaan trak makanan berkenaan.

Kreatif! Ubah suai bas mini jadi surau bergerak mudahkan solat

4. Proses ubah suai mengambil masa selama tiga bulan dan mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2020 sehingga kini.

5. Surau ini beroperasi di Jambatan Angkat Terengganu pada setiap Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad dan selebihnya akan beroperasi di tapak Foodtruck Panoramik Kuala Terengganun di Dataran Shahbandar.

6. Keadaan sangat selesa kerana dilengkapi pelbagai kemudahan seperti surau konvensional. Antara kemudahan yang ada ialah sejadah, pendingin hawa, al-Quran, tempat berwuduk, ruang imam, lampu dan kalendar takwim.

7. Ruang dalam surau bergerak itu mampu menampung seramai 10 jemaah pada satu-satu masa termasuk seorang imam. Selain itu, bahagian luar bas boleh memuatkan seramai 10 orang lagi jemaah.

Iklan

8. Secara keseluruhan surau berkenaan boleh menampung jumlah jemaah seramai lebih 300 orang pada setiap hari.

Sementara itu, Penyelaras Persatuan Pengusaha Trak Makanan dan Perkhidmatan Negeri Terengganu (T-TRAK), Yusufhadi Alhafidz Saba’i, 39, memaklumkan, pada mulanya bas mini berkenaan dibeli untuk diubah suai menjadi sebuah trak makanan yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk dapur.

Baca juga Mak baru meninggal, motosikal pula kena curi, Ebit Lew tampil bantu ganti yang baharu

Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac tahun lalu telah mendorong dia dan rakan-rakan peniaga lain mengubah hasrat tersebut, sebaliknya memilih menjadikannya surau bergerak.

Menurutnya, ketika PKP, semua peniaga tidak dapat berniaga. Jadi, daripada bas mini ini dibiarkan begitu saja, timbul idea mengubah suainya menjadi surau bergerak. Kebetulan pula, kemudahan surau sangat diperlukan oleh para peniaga dan pengunjung di situ untuk menunaikan solat.

Iklan

Katanya, bas mini itu dibeli daripada anak salah seorang pemandu atau pemilik bas mini di ibu kota sekitar awal 1990-an. Anak pemandu tersebut sebelum ini telah mengubah suai bas mini itu menjadi bas sekolah untuk mengambil dan menghantar pelajar.

Bagaimanapun, disebabkan PKP, pelajar tidak dapat ke sekolah sekali gus menjejaskan pendapatannya sebagai pemandu bas sekolah. Disebabkan itu, dia bertindak menjual bas mini berkenaan dengan harga serendah RM10,000.

Jadi, mereka sepakat membeli bas mini ini dalam usaha membantunya yang berada dalam kesempitan.

Surau bergerak itu semakin dikenali selain menjadi salah satu daya tarikan pelancong di Terengganu.

Jadi, selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara nanti jika ada yang berhasrat untuk berjalan-jalan melawat Jambatan Angkat atau Drawbridge di Kuala Terengganu, jangan lupa cari sebuah bas mini lama di sekitar kawasan untuk korang bersolat.