TOTAL lockdown fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021 telah diumumkan pada 29 Mei lalu.

Pada awalnya, sepanjang tempoh tersebut semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) disenaraikan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Keputusan itu diambil selepas mengambil kira situasi terkini penularan Covid-19 di Malaysia yang mana jumlah jangkitan harian melebihi 8,000 kes dan kes aktif pula cecah 70,000 kes.

Ketika itu seramai 2,552 pesakit Covid-19 meninggal dunia akibat wabak berkenaan.

Bagaimana pun, pada 30 Mei lalu diumumkan hanya beberapa sektor ekonomi dan sosial akan dibenarkan terus beroperasi, selebihnya ditutup sepanjang pelaksanaan tersebut.

Antara sektor yang dibenarkan ialah:
– perkhidmatan makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
– penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk pakar veterinar
– air dan tenaga
– keselamatan
– pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan

Turut dibenarkan pengangkutan darat, air dan udara, perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang juga sektor komunikasi seperti internet, pos, kurier dan penyiaran bagi tujuan penyampaian berita.

Ini termasuklah perbankan,insuran, takaful dan pasaran modal, kredit komuniti, e-dagang dan teknologi maklumat, serta pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir.

 

Selain itu, kebenaran beroperasi juga diberikan kepada hotel dan penginapan hanya tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan, pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.

Perkhidmatan perhutanan yang terhad kepada penguatkuasaan dan hidupan liar serta logistik kepada penyampaian perkhidmatan antara dibenarkan beroperasi.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub bahawa kesemua sektor berkenaan hanya dibenarkan beroperasi pada pukul 8 pagi hingga 8 malam dengan kapasiti bekerja 60 peratus.

Ketika itu, Ismail Sabri turut menjelaskan semua surat kebenaran perjalanan bekerja yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah terbatal mulai 1 Jun. Surat kebenaran perlu diperoleh daripada kementerian dengan bidang industri.

Baca juga “Saya Dah Tutup Pintu Depan, Tapi …”- Luahan Ismail Sabri Bersama Emoji Raih Perhatian Warganet

 

 

Bagaimanapun, pada 31 Mei, MKN mengumumkan surat kebenaran beroperasi bagi tempoh total lockdown fasa pertama akan dikeluarkan menerusi sebuah pusat sehenti yang diselaraskan oleh MITI.

Pun begitu, surat tersebut hanya dikeluarkan setelah disahkan kementerian-kementerian berkenaan.

Pada hari pertama penguatkusaan total lockdown pada 1 Jun, SinarPlus turut melaporkan tahap ketelusan MITI dalam hal tersebut yang mana 95,142 syarikat dibenarkan beroperasi.

Baca juga Benarkan 95,142 Syarikat Beroperasi Total Lockdown, Ditapis Sepenuhnya Atau Bergantung Sistem Semata? Ketelusan MITI Dipersoal

Iklan

Pada hari ini (3 Jun), dimaklumkan sebanyak 586,308 syarikat dengan 10.2 juta tenaga kerja mendaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 setakat pukul 7.30 pagi.

 

Sementara itu, sejumlah 128,150 syarikat pula melibatkan 1.57 juta pekerja memperoleh kelulusan untuk beroperasi.

MITI bekerjasama dgn CyberSecurity Malaysia dan beberapa pakar teknologi maklumat bagi memperkasa portal CIMS sekali gus mengelakkan kebolosan sistem itu kata Menteri, Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“MITI juga ambil maklum tentang aduan beberapa pihak yang mendakwa bahawa CIMS 3.0 telah dibolosi dan mendapat kelulusan walaupun berada di bawah sektor tidak dibenarkan beroperasi.

“MITI terbuka kepada sebarang bentuk aduan mahupun kritikan mengenai sistem CIMS 3.0 demi menjamin ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan sistem ini.

“MITI melalui unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain akan terus memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0,” kata Azmin dalam kenyataannya.

Selain itu, beliau turut menyeru semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam memastikan Covid-19 diperangi dan dalam masa yang sama membela nafkah kehidupan.

“Kita harus jelas dan memiliki keyakinan untuk mendepani apa jua rintangan. Kita semua kini berada di medan perang untuk berhadapan dengan musuh yang tidak kelihatan.

“This is not a zero-sum game. Kita bertanggungjawab untuk melindungi nyawa dan membela nafkah kehidupan. Nyawa dan kehidupan adalah keutamaan yang tiada tara bandingnya,” katanya.

Hal ini turut mendapat pelbagai respon daripada warganet yang rata-rata mempersoalkan total lockdown.

Iklan

“Kasihanlah peniaga-peniaga lain. Mereka mengharapkan sektor-sektor besar berhenti seketika supaya kes kembali terkawal. Dia orang sanggup tutup tapi ade pula yang pandai pergi buka mana yang tak perlu. Memang tak patut betul la,” kata pengguna Facebook Ajip Zainudin.

“Baik buka balik tak payah lockdown kalau semua banyak sektor kasi buka. Aduh ‘naya’ lah kes hari ini 8K,” kata pengguna Facebook Amirul Redzuan.

“Dato Seri, tolong luluskan kilang yang benar-benar untuk keperluan sahaja. Biar total lockdown ini kita serang habis habisan untuk landaikan lengkuk Covid-19 ,” kata pengguna Facebook Wan Mohd Azmi.

“Nama saja ‘otal lockdown. Tapi pelaksanaan dia serupa PKP2.0 ‘separuh masak.’ Baik buka sahaja semua,” kata pengguna Facebook Erid Malinkid.

Diharapkan pihak kerajaan meneliti kembali pelaksanaan total lockdown seperti yang dirancang sebelum ini agar objektif asal mengurangkan kadar jangkitan dalam komuniti di negara ini terlaksana.

Sumber: Facebook Azmin Ali