TULAR beberapa hari lalu mengenai sebuah sekolah yang melakukan pemeriksaan ‘datang bulan’ terhadap pelajar perempuan bagi mengelakkan mereka ponteng solat.

Perkara itu menjadi hangat diperkatakan di laman sosial kerana ia melibatkan pelajar perempuan ‘diraba’ oleh guru bagi menjalani pemeriksaan sama ada memakai tuala wanita atau sebaliknya.

Selain itu, terdapat juga beberapa pendedahan di laman Twitter menyatakan amalan ini dilakukan terhadap pelajar perempuan hanya semasa bulan Ramadan di sekolah.

Dakwaan tersebut termasuklah pelajar diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Malah, terdapat sebuah portal yang melaporkan pelajar di beberapa buah sekolah yang tidak dinamakan mendakwa amalan memeriksa pelajar perempuan secara fizikal untuk membuktikan mereka datang bulan dikatakan berlaku sejak 20 tahun lalu.

Sehubungan itu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin semalam mengatakan pihaknya sedang berusaha mengesan kes seumpama itu di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan setakat ini tiada sebarang maklumat amalan itu wujud.

Tegasnya KPM akan mengambil tindakan susulan jika maklumat yang disebarkan disertakan maklumat lengkap seperti kes-kes lain sebelum ini.

“Jika ia berlaku, beritahu saya di sekolah mana, supaya tindakan boleh diambil.

“Tapi bagi isu itu (pemeriksaan haid), kami sedang periksa sehingga sekarang, kami ‘check’ satu-satu, semua bahagian kami tanya dan jawapannya, tiada,” katanya.

Pemeriksaan 'datang bulan', hormati hak kanak-kanak!

Sementara itu, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), perkara tersebut adalah melanggar hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujud unsur gangguan atau penderaan seksual.

“Malaysia wajib memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

“Ini selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 1995.

“Perkara 16,29 dan 36 pula menjamin hak kanak-kanak untuk privasi, perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan dan pengabaian, perlindungan dari eksploitasi lain termasuk gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan.

Baca juga Ibu ayah siap sedia. KPM bakal laksana PdPR 2 minggu lepas cuti raya bendung jangkitan di sekolah

Iklan

Menurutnya, peranan KPM adalah;

1. Bertanggungjawab melindungi pelajar daripada segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual seperti dalam Perkara 34.

Iklan

2. Perlu tindakan tegas terhadap guru dan pihak sekolah yang melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

3. Memperkenalkan garis panduan mendisiplin pelajar yang lebih jelas untuk memastikan penyalahgunaan kuasa tidak berulang.

Apa-apa pun, semoga isu ini dapat dipertengahkan dan mendapat pencerahan daripada sudut pandangan agama Islam.