SETIAP orang ingin bertemu pasangan hidup yang tepat untuk meneruskan sebuah hubungan hingga ke alam pernikahan.

Sebaik kita dilahirkan, Allah telah tetapkan siapa jodoh kita. Cuma kita tidak tahu adakah pasangan ini jodoh yang ditakdirkan atau tidak.

Justeru baik atau sebaliknya, kita haruslah menerima pasangan seadanya andai telah memasuki alam rumah tangga.

Berikut perkongsian seorang pemuda dikenali Mohd Fadli Salleh perihal pasangan hidup perlu dipilih.

“Hari ini, aku bertemu dengan dua orang anak yatim piatu. Kami duduk dan berborak tentang kehidupan mereka, dan apa pula yang kami boleh bantu.

“Punyalah mereka bersyukur bila aku bagitahu akan bantu mereka yang dalam kesempitan. Tiba-tiba, gadis itu berkata, “Cikgu. Dekat rumah saya ada seorang akak ni susah sangat. Boleh tak cikgu bantu dia?”

“Boleh. InsyaAllah. Suruh dia datang kedai cikgu ambil barang dapur. Wanita itu datang bersama dua orang anaknya. Kami berborak seketika, sebelum mereka berlalu pergi dengan set barang dapur dengan senyuman.

Suami, mungkin ini tanggungjawab yang terlepas pandang...

“Daripada pemakaian dia dan anak-anak, daripada raut wajah dan sinar matanya, aku tahu wanita itu sangat struggle dalam menguruskan kehidupan dan anak-anaknya. Jelas dapat dilihat walau tidak diungkap.

“Wanita dua anak itu rupanya isteri kedua. Suami kerja biasa sahaja. Nafkah keluarga liat sangat-sangat. Semua diserah 100% pada si isteri. “Pandai-pandai kau la nak hidup”.

“Begitulah lebih kurang ayat si suami pada si isteri. Maka isteri yang tidak berpendidikan tinggi, gigih berusaha dijalanan demi membesarkan anak-anak kecilnya.

“Anak-anak dibawa bersama untuk berniaga di jalanan. Siapa nak jaga kalau tinggal kat rumah? Nak hantar ke pengasuh, duit tak cukup. Duit nak makan pun semput, apa lagi untuk bayar pengasuh,” tulisnya di Facebook.

Pesan Mohd Fadli kepada yang ingin berkahwin, carilah pasangan betul-betul.

Iklan

“Adik-adik yang belum kahwin. Carilah pasangan betul-betul untuk dijadikan suami atau isteri kita.

“Pasangan hidup ini, kalau boleh sepanjang hayat kita akan bersama. Membesar anak-anak dalam suasana aman dan bahagia.

“Jika tersilap pilih, dapat yang tidak bertanggungjawab, sepanjang hidup makan hati dan hidup dalam kesusahan.

“Benar, harta bukan pengukur bahagia. Bukan aku nak nasihat supaya cari yang berharta dan kaya untuk dijadikan pasangan.

“Tak semestinya cari calon yang kaya raya. Tidak. Tapi carilah yang bertanggungjawab.

“Yang tahu erti amanah seorang suami dan ayah. Yang memberi nafkah dan berusaha sebaik mungkin untuk keluarganya. Yang solatnya dijaga. Yang boleh membimbing kita.

“Hidup jika pun tidak mewah, namun jika ketua keluarga seorang yang ada asas agama, bertanggungjawab dan rajin usaha, pasti hidup dalam aman dan bahagia.

“Jika pun jodoh dengan suami orang, carilah yang boleh bertanggungjawab dan mampu untuk memberi nafkah zahir dan batin.

Baca juga Jangan biarkan rumah kita dipenuhi kuman, bakteria. Ini cara alternatif untuk mencegahnya

Iklan

Rezeki suami

“Jika kasih pun terpaksa dikongsi, tanggungjawab pula tidak dilaksanakan dengan baik, adilnya entah ke mana, nafkah buat tak tahu saja, sebenarnya kita sendiri yang mencampakkan diri dalam lembah kesusahan.

“Benarlah jodoh itu rahsia Tuhan. Namun kita masih boleh membuat pilihan. Pilih elok-elok. Kenali peribadi betul-betul sebelum menerima lamaran seseorang.

“Sekali lafaz perkahwinan dilafaz, selamanya akan terikat. Lebih baik sendirian dari silap dalam memilih pasangan,” pesannya.

Justeru buat pasangan yang bakal berkahwin, kenali peribadi dia sebaiknya.