SEPERTI yang kita sedia maklum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah salah satu cara pihak kerajaan untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

Justeru, baru-baru ini tularnya khabar angin mengatakan PKP bakal dikuatkuasakan kembali di Selangor ekoran jumlah kes positif yang naik mendadak. Tambahan pula, sejak kebelakangan ini negeri tersebut mencatatkan kes lebih daripada 1,000 sehari dengan kadar kebolehjangkitan yang agak tinggi iaitu 1.18 (3 Mei 2021).

Enggan membiarkan teka-teki terus menjadi buah mulut rakyat, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor membantu ‘meredakan’ kegusaran menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook SUK Selangor.

Poster yang ditularkan kembali ini adalah palsu. Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum mengeluarkan apa-apa kenyataan…

Posted by Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor on Sunday, May 2, 2021

Direkodkan, PKP sebelum ini pernah dikuatkuasakan di Selangor sebanyak dua kali yang mana PKP 1.0 melibatkan empat fasa selama 47 hari bermula 18 Mac hingga 3 Mei 2020. Sementara itu, PKP 2.0 pula pada 13 Januari hingga 4 Mac 2021.

Sehubungan itu, sebagai ingatan semua jom kita menyemak kembali beberapa pematuhan operasi standard (SOP) penting bagi PKP Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan buat masa ini.

Sama-sama kita mematuhi SOP yang ditetapkan, sekali gus mempraktikkan konsep #kitajagakita.

KAWALAN PERGERAKAN

Pergerakan di dalam kawasan PKPB adalah dibenarkan. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor dianggap satu zon dan pergerakan rentas dibenarkan.

• Pergerakan ke kawasan PKPB lain, kawasan PKP, PKPP dan PKPD tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran pihak PDRM.

• Bilangan penumpang di dalam kenderaan persendirian adalah mengikut kapasiti kenderaan. Namun individu yang berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

• Bilangan orang yang dibenarkan di dalam kenderaan membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

• Pergerakan kenderaan persendirian, jabatan kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan adalah bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan tersebut.

• Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi.

• Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, LRT/ MRT/ ERL/ monorel, feri, kapal terbang, teksi/ e-hailing dan lain-lain pengangkutan awam dibenarkan beroperasi (waktu operasi mengikut syarat lesen) berdasarkan kapasiti kenderaan.

• Perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh PKPB.

• Kebenaran rentas negeri dibenarkan bagi pasangan suami isteri jarak jauh dengan mendapatkan kebenaran PDRM.

Baca juga Berterusan Hingga Lepas Aidilfitri! Rentas Negeri Hujung Minggu Hanya Untuk Kecemasan, Kematian Dan PJJ

Iklan

AKTIVITI DALAM KAWASAN PKPB

Perniagaan / ekonomi/ industri dibenarkan beroperasi seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

• Pasar raya, pusat beli-belah dan retail store dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan antara pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

• Restoran, kedai / gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera / pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 12 tengah malam (tertakluk syarat lesen) dengan pematuhan kepada SOP Sektor Makanan.

• Restoran, kedai / gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera / pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk dan kedai makanan segera serta perkhidmatan penghantar makanan yang menyediakan juadah sahur dibenarkan melanjutkan operasi hingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan sahaja.

• Restoran dan kedai makan dibenarkan beroperasi secara dine-in (dengan penjarakan satu meter antara pelanggan mengikut saiz meja), bawa pulang (take away), penghantaran (delivery) atau pandu lalu dengan pematuhan kepada SOP Sektor Makanan. Waktu operasi yang dibenarkan ialah daripada pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam, tertakluk syarat lesen.

Iklan

• Operasi pasar harian, pasar borong, pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam (uptown, downtown dan seumpamanya) adalah mengikut waktu mula operasi mengikut lesen/permit hingga 12 tengah malam dengan pematuhan SOP dan pengawasan pihak berkuasa serta anggota RELA/PBT.

• Bazar Ramadan dibenarkan beroperasi antara 3 petang hingga 8 malam dengan pematuhan SOP dan pengawasan pihak berkuasa serta anggota RELA/PBT.

• Bazar Aidilfitri dibenarkan beroperasi antara 10 pagi hingga 2 pagi dengan pematuhan SOP Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

Diharapkan korang semua mematuhi dengan SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara demi kebaikan bersama.

Elakkan 3C iaitu jauhi kawasan sesak (crowded place), elakkan kawasan sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak dekat (close conversation).

Sumber: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor & Covid-19 Malaysia