WALAU penat sekali pun, jika arahan daripada mulut suami akan segera diikuti seorang wanita bernama isteri demi memenuhi tugas bergelar mithali.

Namun sejauh mana seorang isteri itu sanggup bertahan jika melakukan kerja menguruskan rumahtangga dilakukan tanpa henti dan rehat yang cukup.

Pastinya lelah dek tiada masa untuk diri sendiri. Dalam hal ini para suami perlulah memahami dan sedar jika isteri cepat hilang sabar.

Itu tandanya mereka sudah terlalu penat dalam mental dan fizikal.

Seperti perkongsian seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Fadli Salleh ini.

Kadang kala isteri atau ibu berleter, meninggi suara berkasar kepada anak dan suami. Kebanyakannya berlaku tanpa niat. Hanya kerana terlepas cakap dan terlalu penat. Tambah lagi pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Kita masuk dapur, hidangan penuh meja. Suami dan anak-anak menyerbu hidangan. Sebaik azan berkumandang, terus menyuap makan. Isteri yang penat memasak pula makan dengan anak diriba.

“Sesuap ke mulut, tiga suap kepada anak-anak. Begitulah pengorbanan seorang ibu dan isteri. Bukan sekali dua. Bukan sebulan dua. Sepanjang masa.

“Usai makan, bergegas pergi solat. Kadang berjemaah bersama suami dan anak-anak. Siap solat masuk dapur lagi. Mengemas, membasuh dan membersihkan sisa-sisa.

“Masuk Isyak, terus solat dan buat tarawih. Masa sujud si kecil pula naik atas belakang buat kuda. Masa rukuk anak yang itu menangis. Masa duduk tahiyat si abang sulung dan angah bergaduh.

“Setiap kali selepas salam solat dua rakaat, kena berhenti sejenak nasihat dan marahkan anak-anak. Bagi apa yang mereka nak, dan teruskan semula.

“Suami pulang tarawih, dihidang kuih dan air panas pula. Kemas buku anak-anak untuk ke sekolah esok, baru dia merebahkan badan. Itu pun isteri sudah set jam untuk bangkit sediakan juadah sahur pula,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, wanita adalah manusia yang luar biasa. Tidak tertulis jasa mereka.

“Baru terlelap setengah jam, si kecil merengek susah nak tidur. Abang dia pula minta susu lagi. Dengan mata terpejam boleh dodoi anak. Boleh diamkan rengekan anak hanya dengan belaian. Anak kembali nyenyak. Benarlah mereka ini bukan makhluk bumi.

“Ah. Tidak tertulis sebenarnya jasa seorang isteri dan ibu ini.

“Jika air lautan itu merupakan dakwat dan seluruh kayu kayan atas dunia ini dijadikan kertas, nescaya masih tidak tertulis banyaknya jasa seorang isteri merangkap ibu.

“Kekurangan yang ada sedikit sebanyak, itu biasa. Mereka juga manusia. Bukan malaikat bebas dari dosa.

“Kadang mereka berleter, meninggi suara berkasar pada anak, pada suami. Kebanyakannya bukan kerana niat. Kerana terlepas cakap. Kerana terlalu penat,” ujarnya.

Suami isteri nak murah rezeki, amalkan 5 petua kasih sayang ini

Baca juga Ibarat bom jangka. Perokok dan penghisap vape berisiko tinggi dijangkiti Covid-19

Kata Mohd Fadli, golongan isteri atau ibu ini kekadang tidak terkawal apa yang diungkap akibat terlampau penat.

Iklan

“Setiap kali marah anak, setiap kali terkasar jawab, setiap kali terbebel panjang, ramainya mereka menyesal atas perbuatan.

“Kadang lepas marah anak, si ibu yang menangis melihat anak tidur dengan kecil hati.

“Tiada niat. Cuma penat. Kadang tidak terkawal apa yang diungkap.

“Kita (lelaki merangkap suami) mungkin tidak kaya. Atau mungkin juga berada. Hargai isteri dan ibu kita semampu kita.

Iklan

“Gembirakan mereka. Bahagiakan mereka. Buat apa saja dalam kemampuan kita untuk menghargai insan ini,” pesannya.

Selain itu, menurut Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad, seorang isteri perlukan masa untuk bersendiri untuk pulihkan emosi mereka sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

Biarkan mereka berehat sebentar untuk meredakan segala tekanan yang mereka hadapi.

Biarkan mereka berehat sebentar untuk meredakan segala tekanan yang mereka hadapi.

Sumber: Mohd Fadli Salleh