Rupanya harga set pakaian masyarakat Iban boleh cecah RM10,000 ke atas. Ini bukan level 'kain buruk'

A
A
A

MALAYSIA mempunyai pakaian tradisional yang hadir dalam pelbagai rekaan, warna, perincian dan material daripada tengkolok bulu burung, baju kulit kayu hingga kain songket diraja.

Setiap kaum di negara ini memiliki pakaian tradisional mewakili falsafah dan adat.

Baru-baru ini seorang pemilik akaun Facebook dikenali Aliff Leav berkongsi keunikan dan keistimewaan pakaian tradisional wanita etnik Iban.

Perkongsian tersebut susulan daripada tindakan influncer Ryzal 'Duriankimchi' yang melawak melabel pakaian Iban ibarat kain buruk dan alas televisyen.

Situasi itu benar-benar mengguris hati pelbagai pihak khususnya masyarakat Iban meskipun permohonan maaf telah dibuat secara terbuka.

Rentetan itu juga majoriti masyarakat Iban berkongsi info mengenai pakaian yang dinamakan Ngepan Iban.

Baca juga “Tiada Niat Menghina, Cetus Perbalahan.” Ryzal DurianKimchi Mohon Maaf Isu Gurauan Pakaian Tradisional Iban

“Dilabel 'kain buruk' oleh budak duriankimchi. Tahukah korang satu set pakaian ini harganya boleh mencecah RM10,000 atau belasan ribu ringgit? Itu belum lagi jenis yang diperbuat dari perak dan tembaga. Bayangkan berapa harganya?

“Duit siling yang korang tengok tu, duit dulu-dulu biasanya menggunakan siling perak. Berbeza bangsa atau suku kaum yang lain pakaian tradisional kaum Iban agak berat. Setiap sepasang beratnya boleh mencecah antara 10 kilogram (kg) hingga 30kg,” tulis Aliff.

Menurut anak kelahiran Sarawak itu, tidak semua masyarakat Iban berkemampuan untuk memiliki pakaian tradisi berkenaan.

“Jangan katakan untuk memiliki yang ada pun belum tentu akan berani atau berbaik hati memberi pinjam. Sepersalinan yang lengkap seperti ini jarang sekali untuk dipamerkan kepada umum.

“Nak sewa? Biasanya seawaan adalah RM1,000 hingga RM3,000 untuk satu majlis.

Aliff turut menceritakan tentang keistimewaan kain tenun yang digunakan.

“Mitos menceritakan setiap corak tenunan itu bukan semua orang boleh buat. Jika tersalah, nyawa menjadi taruhan tukang tenun. Setiap ukiran itu ada maknanya yang tersendiri.

“Setiap etnik di Sarawak kaya dengan adat tradisi, duit perak, duit tembaga dan turut dijadikan sebagai pakaian zaman dulu-kala. Kain buruk yang dikatakan budak duriankimchi, sebenarnya kain kayangan tenunan tangan yang tiada dijual di Nilai 3,” tulis pengguna Facebook, Aliff Leav.

Sementara itu, bagi pengguna Twitter Misiah Taib turut berkongsi nilai sebenar pakaian tradisional wanita Iban yang mana setiap satu aksesori dan helaian busana boleh mencecah ratusan hingga ribuan ringgit.

Bagi setiap pemakaian Ngepan Iban, ia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Bidang, Kalambi dan Bedong.

 

Bidang ialah kain sarung yang dipakai wanita Iban dalam busana ini. Kain sarung sempit dan panjangnya cuma lebih kurang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kain berukuran 110sm x 60sm dan terdiri daripada dua bidang kain yang dicantumkan.

Bidang yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya. Kebiasaan bidang itu dihias oleh reka corak jalur-jaluran bewarna-warni.

Bidang yang dipakai ketika upacara tertentu atau sebarang perayaan pula dihiasi pelbagai reka corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kuning-kuningan.

Malah, ada antara bidang tersebut dihiasi dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar berwarna merah.

 

Sementelah, bahagian kedua ialah Kalambi. Terdapat dua jenis Kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Potongan kalambi sangat ringkas iaitu terdiri daripada sebidang kain segi empat bujur yang dilipat dua. Sisinya dicantumkan dan ditinggalkan ruang untuk lubang lengan atau ambungan lengan.

Bahagian terakhir ialah Bedong iaitu kain selendang panjang dan sempit. Kain selempang itu dihiasi reka corak tenunan yang sangat halus.

Panjang bedung hampir sama dengan sirat. Bedong dipakai pada bahu sebagai selendang atau diselempang pada badan seperti pangkahan di dada dalam upacara-upacara rasmi.

Aksesori yang akan dipakai wanita Iban semasa menggayakan Ngepan Iban ialah Sugu Tinggi, Tango, Tamulung, Rawai, Selampai, Sementing Ringgit, Tumpa Bentuk, Lampit, Sementing Buchai, Buah Pauh dan gelang kaki dipanggil Gerunchung.

 

 

Tidak sangka begitu indah setiap inci Ngepan Iban ini. Halus dan cantik buatan warisan nenek moyang yang kaya dengan adat dan budaya.

Semoga pakaian tradisional seindah ini tidak ditelan zaman dan terus diwarisi generasi muda.

Dalam perkembangan berkaitan, gara-gara gurauan Ryzal Ibrahim (Ryzal Duriankimchi) terbabit dua persatuan kebudayaan dan kesenian masyarakat Iban bertindak membuat laporan polis.

Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai (TAJAI) Sarawak dan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Sibu (KEMADA) masing-masing membuat laporan di Balai Polis Sentral dan Balai Polis Lanang, Sibu, Sarawak.

Sumber dan foto: fifyfathia.blogspot.com, Twitter, Facebook Aliff Leav  dan Michael Ajang

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca