JIKA kesuntukan masa atau sekadar mahu alas perut, sardin biasanya menjadi pilihan utama.

Namun, ramai yang menyatakan sardin yang ditinkan tidak elok dimakan.

Buktinya, ada suara-suara nakal yang menyatakan di dalam tin sardin kononnya mengandungi lendir siput babi, pengawet berbahaya dan bahan yang haram.

Sejauh manakah kebenarannya?

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi Facebook rasminya terlebih dahulu menjelaskan, ilmu sains dan teknologi makanan merupakan perkara yang penting pada masa kini bagi membolehkan manusia mendapat makanan yang lebih selamat dan bersih.

Ujar mereka, retort antara teknologi makanan yang terbaik bagi penghasilan makanan selamat yang membunuh bakteria patogen dan juga tidak menggunakan bahan pengawet.

Jadi, bagaimana ikan sardin atau makarel di dalam tin diproses?

Berikut cara-caranya seperti yang dikongsi oleh  Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia:

i) Ikan segar yang baru ditangkap di laut dalam akan disejuk beku kurang daripada -18 darjah Celsius dan dihantar ke kilang pemprosesan.

ii) Sebelum aktiviti pemprosesan dijalankan, ikan tersebut akan dinyah beku terlebih dahulu sebelum dipotong dan dibersihkan mengikut standard yang ditetapkan.

iii) Kemudian, ikan akan dimasukkan ke dalam tin atau dalam bungkusan tertentu mengikut berat yang telah ditetapkan.

iv) Ikan tadi akan distimkan untuk mendapatkan suhu tertentu sebelum proses penutupan tin atau ‘seaming’. Suhu tersebut perlu bagi memastikan tiada ruang udara (oksigen di dalam tin) yang boleh menyebabkan bakteria membiak dan memendekkan jangka hayat ikan tersebut.

Iklan

v) Setelah itu, proses ‘seaming’ atau penutupan tin secara kedap dilaksanakan sebaik-baiknya.

vi) Proses akhir adalah ‘retorting’ atau sterilisasi iaitu proses nyahkuman dengan menggunakan suhu dan tekanan yang tinggi. Proses ini menjadikan makanan dalam tin selamat untuk dimakan dan boleh tahan lama selagi tidak dibuka.

Dalam pada itu, ramuan bagi ikan dalam sos pula merangkumi ikan, sos tomato dan bahan pemekat berasaskan tumbuhan.

Iklan

Oleh itu, kita jangan terlalu percaya ‘dakyah’ atau kenyataan daripada bukan pakar yang menjadikan pengguna takut menikmati makanan terproses.

“Dapatkanlah maklumat daripada sumber yang betul,” pesan mereka.

Baca juga: Jika kreatif, sardin dalam tin pun boleh jadi pelbagai menu

Jadi, sudah terjawab. Namun, nasihat SinarPlus lebih elok kita melebihkan makanan yang fresh dan yang mengandungi nutrien dan serat yang tinggi seperti sayur-sayuran. Itu lagi bagus untuk kesihatan kita.