SETIAP individu sepatutnya mendapatkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kalori harian daripada protein.

Sumber protein perlu dipelbagaikan daripada pelbagai jenis makanan. Yogurt rendah lemak, dada ayam, semangkuk kacang dan pelbagai lagi makanan yang kaya dengan protein.

Protein penting untuk membantu mengekalkan berat badan ideal, membantu mengawal lapar dan membuat rasa kenyang.

Ia juga membantu membakar lebih banyak kalori di samping penting untuk penjagaan tulang dan membantu melawan penuaan.

Justeru, bagaimana kita boleh mengetahui badan kita mengalami masalah kekurangan protein? Berikut tanda-tanda yang boleh dilihat pada individu yang kekurangan zat ini yang dikongsikan Public Health Malaysia.

1. Bengkak
Ini adalah gejala yang paling kerap jika anda tidak mempunyai protein yang mencukupi.

Biasanya bengkak ini berlaku di kaki, perut dan tangan. Ini adalah disebabkan, albumin (protein) yang ada dalam salur darah mencegah air di dalam darah daripada keluar dan berkumpul di tisu. Namun, terdapat pelbagai punca kaki bengkak. Justeru, dapatkan nasihat doktor.

2. Perubahan emosi
Otak memerlukan bahan kimia yang dipanggil neurotransmitter untuk memindahkan informasi antara sel saraf. Ianya diperbuat daripada asid amino atau protein. Kekurangan protein boleh menyebabkan kekurangan neurotransmitter dan mengganggu fungsi otak yang juga mengawal emosi.

Baca juga: 1 dari 5 kanak-kanak Malaysia bantut. Buka sekolah anak masih muat baju lama, kurang membesar masa pandemik

3. Masalah rambut, kuku dan kulit
Rambut, kuku dan kulit terdiri daripada elastin, kolagen dan keratin yang diperbuat daripada protein. Jika badan anda tidak mampu menghasilkan bahan tersebut, anda akan mengalami rambut gugur atau halus, kulit kering dan kuku yang tidak rata. Namun, kekurangan diet protein bukan satu-satunya punca. Berbincanglah dengan doktor anda.

4. Keletihan
Kajian menunjukkan jika protein tidak mencukupi, masalah kepada otot yang juga mengawal pergerakan dan postur badan akan terjadi. Kekurangan protein juga boleh menyebabkan anaemia yang mana anda kekurangan oksigen dan menjadi letih.

5. Lapar
Gejala yang paling kerap berlaku apabila tubuh kekurangan protein ialah lapar. Protein memberikan tenaga selain dari karbohidrat dan lemak.

Jika sering makan banyak dan ingin makan sajian utama makanan berat, anda mungkin perlukan protein. Kajian menunjukkan protein membantu dalam memberikan rasa kenyang lebih panjang.

Iklan

6. Luka lambat sembuh
Seseorang yang kekurangan protein apabila mengalami luka akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh. Jika terseliuh atau sakit-sakit badan, ia juga lama untuk hilang. Hal ini kerana tubuh tidak cukup menghasilkan kolagen. Bagi penyembuhan luka dan menghentikan darah, anda memerlukan protein.

7.Selalu jatuh sakit
Asid amino diperlukan dalam darah untuk sistem ketahanan badan. Ia yang menghasilkan antibodi bagi mengaktifkan sel darah putih untuk melawan virus, bakteria dan toksin. Protein juga penting untuk proses pencernaan.

Adakah anda mengalami tanda-tanda ini? Dapatkan konsultasi daripada pegawai perubatan.

Iklan

Dalam pada itu, pastikan pengambilan makanan seimbang mengikut Piramid Makanan Malaysia bagi memastikan tubuh memperoleh protein secukupnya.

Baca juga: Bukan faktor keturunan atau genetik jadi punca anak terbantut. Ini sebab-sebab lainnya

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI