APABILA seorang kanak-kanak dilihat memiliki tubuh badan yang kecil dan rendah atau dalam istilah mudahnya bantut, ramai yang beranggapan ia berpunca daripada genetik keluarga.

Namun, perspektif tersebut mungkin tidak tepat kerana faktor-faktor lain turut menyumbang.

Kementerian Kesihatan Malaysia mendefinisikan bantut sebagai masalah tumbesaran tidak normal akibat pengambilan makanan tidak seimbang dalam diet seharian bagi satu tempoh lama.


Bagi mendapatkan pencerahan lanjut, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin.
Dr Muhammad Yazid memberitahu, di negara ini tumbesaran terbantut lazimnya dialami oleh kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah dan keadaan itu telah menunjukkan peningkatan yang ketara.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), bilangan kanak-kanak dalam kumpulan itu telah bertambah daripada 8.9 peratus pada tahun 2006 kepada 14 peratus pada tahun 2016. Jumlah peratusan yang berumur 12 hingga 23 bulan adalah sekali ganda pertambahan (8.9 kepada 17 peratus).

Sementara itu, mereka yang berusia di bawah lima tahun menokok daripada 17.5 peratus kepada 20.5 peratus dalam tempoh yang sama.
Pada tahun 2019 pula, NHMS melaporkan, peratus kanak-kanak terbantut di bawah umur lima tahun meningkat kepada 21.8 peratus.

Baca juga Video kanak-kanak ‘Rohingya’ tunjuk lagak samseng tular, undang kecaman warganet

Masalah GHD

Kepada SinarPlus, Dr Muhammad Yazid memberitahu, masih ramai lagi ibu bapa yang tidak sedar bahawa ketinggian kanak-kanak mempunyai perkaitan dengan pemakanan, kesihatan dan tumbesaran secara keseluruhan.

“Ibu bapa mungkin menganggap anak mereka pendek kerana faktor keturunan atau mengandaikan si kecil akan mencapai ketinggian sama seperti dengan rakan sebaya ketika usia remaja. Pandangan itu kurang tepat sebenarnya“ katanya.


Jelas Dr Muhammad Yazid lagi, penting untuk diketahui bahawa pertumbuhan terbantut sebahagian besarnya tidak boleh diperbaiki.
Lebih membimbangkan, kata pakar tersebut, ia bukan sahaja mengenai hal berkaitan dengan ketinggian sahaja. Malah, ia mungkin menandakan berlakunya masalah perubatan asas yang boleh membawa kesan besar terhadap kesihatan dan kesejahteraan hidup seorang anak kecil sehingga mereka dewasa.

Baca juga Ibu bapa zahir pelbagai reaksi, sekolah buka 2 minggu lepas peralihan PPN, berikut 6 info ringkas mengenainya

Kata Dr Muhammad Yazid, antara alasan yang sering dikaitkan apabila si cilik tidak membesar pada kadar normal mengikut umur mereka adalah disebabkan kekurangan hormon tumbesaran (GHD).

“GHD bukan punca lazim bagi kanak-kanak yang pendek, namun begitu, ia disyaki apabila kanak-kanak menunjukkan tahap tumbesaran lebih rendah daripada biasa,“ jelas beliau.

Impaknya, golongan itu akan menjadi jauh lebih pendek dan membesar pada tempoh yang lebih perlahan berbanding kanak-kanak lain yang sebaya atau sama jantina.

“Walaupun kependekan kanak-kanak jelas dilihat pada peringkat awal, tanda-tanda GHD sering kali diabaikan kerana mereka mempunyai perkadaran tubuh yang normal dan kelihatan biasa saja seperti rakan-rakan lain. Cuma, mereka akan lebih kecil dari segi saiz sahaja.

“Akibatnya, kanak-kanak dengan GHD sering lewat dikesan. Apabila sudah akil baligh, tiada lonjakan dalam tumbesaran atau perkembangan mereka,“ terangnya secara terperinci.

GHD memang perlu dipandang serius. Ia bukan sekadar berkisar dengan faktor ketinggian, tetapi membabitkan hormon tumbesaran yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan jisim otot dan tulang, mengurangkan tisu lemak, mempengaruhi paras lemak darah dan mengawal fungsi jantung, ungkap pakar berkenaan.

“Oleh yang demikian, kanak-kanak GHD yang tidak dirawat bukan sahaja hilang peluang untuk mencapai ketinggian dewasa berasaskan potensi genetik, tetapi mereka juga menghadapi risiko isu kesihatan seperti kemerosotan kepadatan mineral tulang, tahap kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika mereka meningkat dewasa“ terang beliau panjang lebar.

Iklan

Hormon pembesaran

Justeru, adakah terdapat solusi ampuh yang boleh menyelesaikan kemelut berkenaan? Mengikut MyHealth, rawatan bergantung kepada jenis masalah tumbesaran tersebut.

Contohnya, kekurangan hormon tiroid boleh dirawat dengan terapi hormon tiroid (berbentuk pil).

“Kanak-kanak yang menghidap penyakit-penyakit seperti kekurangan hormon pembesaran, sindrom Turner, penyakit buah pinggang dan berat badan kurang daripada usia kandungan boleh dirawat dengan suntikan hormon pembesaran.

PENYAKIT sindrom Turner boleh dirawat dengan suntikan hormon pembesaran.

“Hormon ini boleh membantu mereka mencapai ketinggian maksimum yang normal. Namun begitu, ia mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan kos yang tinggi,“ kata portal kesihatan terkenal itu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

ANEKDOT

INFORMASI berkenaan kekurangan hormon tumbesaran (GHD)

Iklan

GHD dialami apabila kelenjar pituitari tidak menghasilkan hormon tumbesaran yang secukupnya untuk merangsang pertumbuhan ketinggian badan dan membolehkan kanak-kanak membesar pada kadar yang normal.
GHD itu sendiri akan menunjukkan kegagalan pertumbuhan.

GHD adalah sebahagian daripada keadaan genetik dalam kalangan sesetengah kanak-kanak, tetapi dalam kebanyakan kes, punca kekurangan hormon tersebut adalah tidak diketahui (GHD idiopatik).

Diagnosis awal GHD amat penting untuk membolehkan kanak-kanak yang terbabit mendapat manfaat sepenuhnya daripada rawatan hormon tumbesaran.

Rawatan hormon tumbesaran boleh membantu kanak-kanak yang mengalami GHD untuk mencapai ketinggian dewasa normal, mengembalikan tahap metabolisme, meningkatkan tumbesaran badan dan mengurangkan risiko sakit jantung.

Sumber Pakar Perunding Kanan
Pediatrik dan Perunding Kanan Pediatrik Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Muhammad Yazid Jalaludin

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID