#SiBibirMerah: 50.17 peratus wanita layak mengundi, undi kaum Hawa berkuasa tentukan hala tuju kepimpinan negara

A
A
A

HAI wanita sekalian, jika anda beranggapan undi anda tidak mendatangkan impak kepada negara, sila ubah perspektif itu. Anda sebenarnya penentu masa depan negara ya...

Mengapa SinarPlus berkata demikian? Itu semua merujuk kepada statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia yang menunjukkan, seramai 10,622,151 juta pengundi di negara ini terdiri daripada kaum Hawa.

Data pemilih yang direkodkan hingga 9 Oktober itu memaparkan, seramai 50.17 peratus pengundi perempuan, manakala 49.83 peratus lagi ialah lelaki.

pengundi wanita

Perangkaan juga mendedahkan bahawa pengundi wanita paling ramai dicatatkan di Pulau Pinang dan Kedah.

Sebenarnya, jika Bibir Merah tak semak statistik, memang tak sangka jumlah pengundi wanita yang layak membuang undi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti lebih ramai berbanding lelaki.

Berdasarkan rekod, pilihan raya yang disifatkan paling mendebarkan dalam sejarah negara menyaksikan seramai 127 calon wanita bertanding.

pengundi wanita

Antara nama besar adalah seperti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang bertanding untuk Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Bandar Tun Razak, manakala anaknya, Nurul Izzah Anwar cuba mempertahankan kerusi di Parlimen Permatang Pauh.

Calon PH untuk Parlimen Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz yang menghidap penyakit spina bifida sejak lahir juga mencuri perhatian ramai. Dengar cerita, perjuangannya banyak menyentuh hati kaum Hawa.

pengundi wanita

Selain itu, bekas pengacara TV Alhijrah, Nurul Fadzilah Kamaluddin tiba-tiba membuat kejutan apabila mengumumkan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) untuk Parlimen Setiawangsa.

Satu lagi, nama yang cukup popular dalam pentas politik tanah air, Young Syefura Othman atau Rara sekali lagi diangkat sebagai calon DAP untuk bertanding di Parlimen Bentong, Pahang.

Baca juga PRU15: Pengundi muda pandang karisma, personaliti calon, ini 8 ciri pemimpin wajar dipilih

pengundi wanita

Tidak ketinggalan, kemunculan calon atas tiket Bebas, Cleopatra atau nama sebenar, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 28.

Wanita jelita ibarat seorang model itu mencuri perhatian lebih-lebih lagi memilih bertanding di kerusi panas, Parlimen Batu. Nama Cleopatra memang virallah sejak dua menjak ini.

pengundi wanita

Jika dicongak, secara keseluruhannya, PH mempertaruhkan seramai 39 calon wanita, diikuti Barisan Nasional (22 calon) dan PN pula mencalonkan 16 wakil wanita.

Parti baharu, Gerakan Tanah Air pula mengetengahkan 16 calon wanita. Untuk tiket bebas pula, 10 orang.

Baca juga Manifesto membela wanita buat ramai teruja, pilih yang terbaik!

APA RAKYAT MAHUKAN?

Menelusuri media sosial yang sarat dengan komen sana sini dan daripada percakapan dari mulut ke mulut, ramai sebenarnya yang keliru pemimpin mana yang mereka nak pilih?

Ada yang mengaku, tidak kisah siapa pun yang akan dipangkah. Paling penting, individu itu ialah calon daripada parti yang mereka percayai.

pengundi wanita

Pun demikian, ada yang lebih teliti. Sesetengahnya lebih melihat latar belakang calon tanpa ambil peduli bendera apa yang dikibar.

Seorang pengundi muda, Nur Nabiha Huda Kamarul Hisham, 21, ketika dihubungi berkata, beliau mempunyai kriteria yang diidamkan.

Nur Nabiha dengan tegas memberitahu, dirinya menolak wakil rakyat yang hanya tahu menabur janji kosong pada musim pilihan raya sahaja.

pengundi wanita

"Sebaliknya, saya mahu pemimpin yang mesra rakyat, jujur, amanah dan bertanggungjawab. Paling penting, boleh menyelesaikan masalah penduduk. Lagi terbaik kalau mereka dapat menyediakan sejumlah infrastruktur dan rumah untuk generasi muda," katanya.

Akui anak muda tersebut, beliau juga sesekali tidak akan memilih calon berdasarkan usia atau yang popular semata-mata.

Baca juga PRU15: 5 tip pengundi muda, jangan ‘nervous’, buat 10 langkah ini

Seorang lagi pengundi muda, Irsalina Amalin Zukimi, 25, yang mengundi buat pertama kali di Kota Bahru, Kelantan juga mahu pemimpin yang dipilih membawa perubahan di kampung halamannya.

pengundi wanita

“Saya lihat peluang kerja di kawasan saya masih rendah dan ramai anak muda terpaksa berhijrah untuk membina hidup baharu di negeri orang. Kalau boleh, calon yang dipilih boleh merancakkan ekonomi di Kelantan.

“Untuk pemilihan calon, saya mungkin akan bincang dulu dengan famili sebab mereka lebih tahu dan kenal siapa pemimpin di sana. Memang dalam hati sudah pilih siapa calon, cuma nak pastikan pilihan tersebut betul-betul bagus,” katanya.

Baca juga PRU15: 10 tawaran hebat makanan dan minuman untuk pengundi, jangan lepas peluang tebus

Bagi Haziratulsahira Haribi, 25, pula, beliau meluahkan rasa tak sabar kerana pertama kali merasai suasana mengundi di Meru, Klang.

“Kalau ditanya siapa calon yang bertanding, memang saya tidak kenal sangat mana-mana calon. Cuma nanti masa mengundi, saya kena pilih yang betul-betul boleh membela nasib rakyat.

pengundi wanita

“Sudah tentunya ciri pemimpin yang saya mahukan seperti seorang yang memperjuangkan agama dan hak Bumiputera. Pemimpin itu juga kena bersih dan bebas rasuah,” katanya yang mahu isu banjir di Meru diberikan perhatian sewajarnya.

SUARA KAUM IBU

Sementara itu, seorang penjawat awam, Tengku Suzila Tengku Ismail, 47, percaya bahawa wanita yang berdaftar sebagai pengundi mempunyai kuasa yang besar untuk memilih.

"Wanita di luar sana perlu tahu yang mereka mempunyai 'kuasa besar' dalam menentukan kepimpinan. Jika anda memilih untuk tidak pengundi, saya tak rasa pendekatan itu betul," katanya.

pengundi wanita Kredit foto: Freepik

Ditanya apa ciri-ciri pemimpin yang beliau inginkan, berikut kata-katanya: "Selain pandai menjaga kebajikan masyarakat, wakil rakyat yang bertanding diharapkan dapat membuat manifesto yang realistik, bukan berjanji sesuatu yang gah, tapi tak dapat dilaksanakan nanti. Kita sebagai pengundi tak mahu rasa tertipu dan ditipu."

Wanita tersebut itu juga berharap parti yang akan membentuk kerajaan pada Ahad ini dapat memberi penekanan terhadap isu kos sara hidup yang tinggi dan menangani stok bekalan makanan asas yang semakin mahal.

pengundi wanita

Tengku Suzila menambah, sebagai ibu, beliau juga bertanggungjawab untuk memberikan pemahaman yang betul kepada anak-anaknya yang sudah layak mengundi.

"Media sosial ada baik dan buruknya. Paling kita risau, kalau mereka mempercayai fakta yang tidak betul. Justeru, kita sebagai mak kena beri pemahaman kepada mereka," katanya.

Memiliki anak kurang upaya (OKU), membuatkan Noraini Abd Hamid, 55, mahu pemimpin yang dapat membela nasib golongan kurang bernasib baik.

pengundi wanita Kredit: Foto Freepik

"Sekarang ini saya lihat kebajikan anak OKU sudah terjaga, cuma kalau boleh diperbanyakkan lagi program bantuan supaya beban keluarga dapat diringankan dan tanda prihatin pemimpin kawasan.

"Lagi satu, perlu ada program pemantauan kesihatan mental dalam kalangan wanita kerana masalah itu sebenarnya perlu diberikan perhatian sewajarnya," katanya berharap wujudnya program kesihatan percuma berkaitan masalah wanita.

KAJI & PERHALUSI PEMIMPIN

Demikian pandangan orang ramai yang Bibir Merah wawancara. Macam-macam reaksi balas yang diberikan.

Kalau tanya Bibir Merah pun, Bibir Merah akan katakan, pangkahlah pemimpin yang tidak sekadar menabur janji manis.

Paling pantang sekali, elak wakil rakyat yang muncul di lapangan setahun sekali sahaja. Lagi teruk, operasi pejabat ibarat hidup segan mati tak mahu. Suka hati nak buka, suka hati nak tutup.

pengundi wanita

Ya, benar kadangkala susah nak memilih siapa calon terbaik. Namun, pada pandangan Bibir Merah, para wanita sekalian perlu rajin menelaah dan mengkaji siapa bakal pemimpin anda.

Jangan sekadar tanya kawan, siapa calon yang mereka akan undi, tetapi tanya diri sendiri siapa pemimpin yang anda mahu kan?

Kita kena faham, tidak kira bendera apa yang diwakili mereka, paling utama individu itu boleh bekerja demi rakyat.

Satu lagi, mesti bebas rasuah!

pengundi wanita Kredit foto: Sinar Harian

Apapun sebagai pemilih wanita, ayuh kita semua turun mengundi di saluran mengundi yang ditetapkan pada hujung minggu ini.

Rancang perjalanan dengan baik dan kalau boleh, standby payung takut-takut hujan tiba-tiba melanda pusat mengundi anda. Selamat mengundi dan pastikan semua wanita di Malaysia, jalankan tanggungjawab anda.

Ingat, satu undi boleh menentukan masa depan negara. Hidup wanita!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca