#SIBIBIRMERAH: Isu sindiket penipuan pekerjaaan di luar negara melibatkan warganegara Malaysia semakin menjadi-jadi.

Bekerja di luar negara dengan gaji lumayan setiap sebulan. Macam-macam kerja menanti, tempat tinggal disediakan dan lebih istimewa, tiket penerbangan pun diberikan. Memang menarik!

Tarikannya cukup kuat sehingga mendorong ratusan rakyat Malaysia terbang ke Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand demi mengejar impian yang tidak masuk akal.

Mereka yang sudah gelap mata ‘terkena’ sedangkan tawaran indah itu hanya sindiket penipuan.

Sedarlah, kalau ada peluang kerja selumayan itu tanpa memerlukan kelulusan, sah-sahlah anak tempatan mereka yang rebut dulu.

Menurut Kementerian Luar, jumlah keseluruhan laporan kes sindiket penipuan yang diterima sehingga 21 September lalu ialah 301 melibatkan negara Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air.

Selain itu, 34 orang sedang ditahan di depoh tahanan imigresen manakala baki 99 lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Baca juga Bayaran BKM Fasa 3, rayuan mulai 20 September, 5 info wanita perlu tahu

Gambar Fail.

Penipuan kerja di luar negara sebenarnya bukan asing, sudah banyak tahun berlaku dalam pasaran gelap buruh haram di Australia dan Korea Selatan yang didalangi rakyat Malaysia sendiri.

Ejen-ejen merekrut pekerja juga bergerak secara terbuka dalam laman media sosial selain turun ke kawasan kampung menampal iklan di di kedai runcit, masjid dan kedai kopi.

Taktik mereka sama iaitu menjanjikan kemewahan. Kononnya semua ditanggung beres selepas membayar sejumlah wang upah perkhidmatan yang boleh mencecah sehingga RM5,000 termasuk tiket penerbangan.

Iklan

Bila tiba di sana, baru tersedar ia hanya indah khabar dari rupa. Ia bukanlah semudah yang disangka lagipun mereka masuk bekerja secara haram. Jadilah mereka PATI di negara asing, di mana cabarannya menggunung dan hanya yang cekal mampu bertahan.

Justeru, Bibir Merah merayu, wanita atau orang ramai di luar sana, tak perlulah mengejar bulan bintang yang dijanjikan.

Baca juga Hati-hati wanita! Gula-gula gelatin khinzir lengkap logo halal di pasaran, berikut 5 info daripada JAKIM

Sekali ‘terjerut’, buruk padahnya. Yang kerugian diri sendiri.

Iklan

Bak kata pepatah hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.

Buat pihak berkuasa, bertindaklah. Gempur semua ejen atau scammer pekerjaan daripada Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand atau di ceruk mana planet bumi sekalipun.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.