SIDEBURN adalah rambut yang tumbuh pada tulang berhampiran telinga. Bergantung kepada genetik dan keturunan, ada yang memiliki sideburn yang lebat. Persoalannya, adakah sideburn wanita perlu ditarik untuk dibasuh ketika berwuduk terutama bagi yang berambut panjang?

Berikut penjelasan daripada Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

SOALAN: Assalamualaikum. Adakah perempuan wajib menarik sideburn dan membasuhnya semasa membasuh muka ketika wuduk? Bolehkah ustaz ulas berkaitan isu ini kerana ramai yang tidak tahu mengenainya. Adakah sah wuduknya?

Dalam menjawab persoalan di atas, dikongsikan firman ALLAH SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuh kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.” (Surah al-Maidah: 6)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: ‘وُجُوهَكُمْ’ adalah bentuk jamak daripada ‘الوَجْهُ’ (muka). Batasan muka secara garis menegak dari atas ke bawah adalah antara mula tempat tumbuhnya rambut kepala hingga ke hujung pangkal dua rahang atau bahagian bawah janggut. Sementara secara garis melintang atau mendatar adalah antara dua telinga, kiri dan kanan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/421)

Kredit foto: Freepik

Berkenaan batasan muka, para ulama mengemukakan definisi dari sudut istilah dengan beberapa pandangan seperti berikut:

1-Muka adalah di antara tempat mula tumbuh rambut pada atas dahi kepala pada kebiasaannya hingga ke bawah dagu secara panjang, dan antara dua cuping telinga secara lebar. (Lihat Umdat al-Salik, halaman 12; al-Durr al-Mukhtar dan Hasyiah Ibn Abidin 1/65-66, al-Syarh al-Saghir 1/104, Mughni al-Muhtaj, 1/20, al-Mahalli ala Matn al-Minhaj, 1/48 dan al-Mughni 1/114-115)

2-Muka adalah bahagian tempat mula tumbuh rambut pada dahi hingga ke rahang. Ia adalah ke hujung dagu secara panjangnya dan antara cuping telinga secara lebar. (Lihat al-Umm, 1/40)

3-Muka adalah bahagian di antara tempat tumbuhnya rambut pada kebiasaannya sehingga dua tulang rahang yang di situ tumbuhnya gigi yang bawah. Berhimpun permulaannya pada dagu dan berakhir di telinga, secara panjangnya. Lebarnya adalah di antara dua telinga. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 31)

4-Bahagian muka secara menegak adalah daripada tempat tumbuh rambut hingga bahagian bawah dagu, manakala secara melintang pula adalah daripada bahagian telinga ke telinga. Justeru, wajib membasuh kesemua yang ada pada bahagian muka termasuk luar dan dalam seperti bulu kening, misai dan janggut kecuali janggut yang tebal (yang tidak nampak bahagian dalamnya. Maka memadailah membasuh bahagian luar sahaja). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/54)

Baca juga: Waktu berdoa paling mustajab hari Jumaat, ibu-ibu jangan lupa gunakan sebaiknya

Kredit foto: Freepik

Berdasarkan definisi di atas, maka timbul persoalan tentang beberapa perkara berkaitan dengan sideburns dan rambut atau bulu yang terdapat pada muka.

Mengenai maudhi’ al-tahzif (موضع التحذيف) iaitu tempat tumbuhnya rambut halus antara sideburns dan pelipis (bahagian kepala di antara dahi dengan telinga).

Dalam hal ini terdapat beberapa pandangan. Abu al-Abbas berpendapat, sideburns termasuk dalam muka kerana ia turun ke bahagian muka.

Abu Ishak pula berpendapat sideburns termasuk bahagian kepala kerana ALLAH menciptakan ia daripada kepala. Maka ia tidak dikira muka. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 1/38)

Jumhur ulama mengesahkan ia termasuk bahagian kepala dan bertepatan dengan pandangan mazhab Syafie tentang had/batas definisi kepala.

Pengarang kitab Kasysyaf al-Qina’ daripada mazhab Hanbali juga memberi pendapat yang sama yang mana sideburns termasuk dalam anggota kepala. (Lihat al-Majmu’, 1/416) Ini juga dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin (1/52).

Iklan

Mengenai al-‘izar (الْعِذَارَ) iaitu rambut yang tumbuh pada tulang berhampiran telinga (sideburns) juga wajib dibasuh. (Lihat al-Tanbih fi Fiqh al-Syafie, hlm. 15; Tuhfat al-Muhtaj, 1/173)

Mengenai al-sudghan (الصُّدْغَانِ) iaitu kedua pelipis (di sebelah telinga dan bersatu dengan kedua sideburns dari atas) menurut pendapat yang asal, ia tidak termasuk wajah.

Jika rambut tersebut turun atau sebahagiannya menutupi dahi, maka ia wajib dibasuh selama mana dalam ruang lingkup definisi muka seperti yang disebutkan.

Tetapi, mengikut pendapat yang daif, ia tidak wajib dibasuh melainkan jika memenuhi keseluruhan bahagian. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/51)

Berdasarkan kenyataan di atas, maka difahami bahawa rambut yang berada di kawasan muka sahaja wajib dibasuh sebagaimana pandangan muktamad dalam mazhab Syafie.

Menurut Ustazah Asmak Husin, jika rambut pada bahagian sideburns wanita tidak dibasuh, maka ia tidak menjadi masalah ia termasuk dalam kategori sunat.

Semoga penjelasan ini dapat merungkai kekeliruan berkaitan sideburn wanita dalam menyempurnakan wuduk.

Iklan

Baca juga: Sah atau tidak solat berimamkan seorang perokok, ini kata Dr Zulkifli Al-Bakri

Sumber: Maktabah Albakri, Ustazah Asmak Husin

Kredit foto utama: Freepik

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube, Tiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang