PASTINYA di rumah kita masih mengekalkan tradisi penggunaan lesung batu. Pendek kata, wajib ada di dapur rumah masing-masing.

Walaupun teknologi mengisar bahan mentah telah lama wujud, namun ramai yang lebih suka menggunakan lesung batu untuk melumatkan bahan-bahan masakan terutamanya bahan tumisan seperti halia, cili bawang, kunyit dan sebagainya.

Jadi, bagaimana kaedah terbaik untuk menjaga lesung batu agar tahan lama dan tidak tercemar?

Rentetan daripada persoalan itu, SinarPlus berkongsi pandangan Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Tulisnya di Facebook, sejarah kewujudan dan penggunaan lesung batu bermula seawal ribuan tahun dahulu, bermula dari Zaman Logam (atau mungkin sebelumnya) dan tetap terus digunakan sehingga ke hari ini.

“Peralatan itu lazimnya dijumpai diperbuat daripada batuan granite monolith. Namun, ada juga diperbuat daripada tanah liat, marmar dan kayu,” katanya.

Mengulas lanjut mengapa lesung batu cenderung untuk digunakan berbanding pengisar, pakar kimia itu berkata, kaedah pemusnahan sel-sel bahan-bahan tumisan adalah berbeza antara tumbukan menggunakan alatan tradisional itu dengan daya kisaran oleh alat pengisar.

“Tanpa tambahan air dalam lesung batu akan memastikan bahan yang ditumbuk lebih lumat, sebati dan memudahkan proses tindak balas Maillard komponen gula dan protein semula jadi dalam bahan tumisan.

“Inilah sebabnya rasa masakan yang ditumbuk bahannya adalah sedikit berbeza daripada yang dikisar,” kongsinya.

Dr Fatimah turut berkongsi tip bagi menggunakan dan menjaga lesung batu. Berikut tatacaranya:

i) Bagi mengubah konsistensi bahan yang dikisar supaya lebih cair, boleh tambahkan sedikit air ke dalam bahan yang sedang ditumbuk.

ii) Alaskan bawah lesung dengan kain yang tebal bagi mengelakkan bunyi yang kuat dan geseran pada permukaan meja atau lantai ketika menumbuk bahan. Kain berfungsi menyerap bunyi dan hentakan tau!

iii) Potong bahan seperti bawang merah, halia dan kunyit yang perlu ditumbuk kepada bahagian yang kecil bagi mengelakkannya terpelanting keluar.

iv) Sebelum menggunakan lesung yang baharu dibeli, tumbuk segenggam beras putih ke dalam lesung bagi membersihkan sebarang sisa debu daripada bahan lesung itu sendiri dan bilas menggunakan air suam.

v) Gunakan saiz lesung batu yang bersesuaian dengan kapasitinya bagi mengelakkan bahan yang ditumbuk melimpah keluar.

Iklan

vi) Pastikan lesung batu dibasuh bersih selepas digunakan bagi menghilangkan bau, warna dan rasa yang melekat.

“Bagi jenis lekatan degil, lesung boleh dibasuh dengan bahan berasid seperti limau, asam jawa atau lemon.

“Selepas digunakan, telengkupkan atau keringkan permukaan dalam lesung bagi mengelakkan air bertakung,” pesannya.

Namun, jangan ambil mudah dari aspek penyimpanan.

Iklan

“Simpan di tempat yang bersesuaian bagi mengelakkan pertumbuhan kulat pada permukaan dalamnya,” ungkapnya.

Jadi, ibu-ibu sekalian tidak perlu risau lagi dengan masalah kulat lagi.

Baca juga: Duduk rumah jangan main ‘belasah’ semua makanan. Amalan diet seimbang juga jangan lupa

Ingat, sebelum menggunakannya, basuh terlebih dahulu permukaan dalam yang ingin dipakai.

“Jika ada masa terluang, tumbuk atau lenyekkan garam kasar pada permukaan lesung batu agar ia kembali rata dan memudahkan proses menumbuk dilakukan,” pesannya lagi.