ADA orang wajib mulakan harinya dengan minum secawan kopi dan ada juga yang memilih untuk minum kopi pada siang hari untuk menghilangkan rasa mengantuk.

Pun demikian, pernah tak anda terfikir bilakah waktu yang paling sesuai untuk minum kopi?

Menjawab persoalan di atas, SinarPlus kongsikan pandangan daripada Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang.

Dr Ahmad Samhan.

Katanya, ritma biologi atau biological rhythms dalam badan kita memainkan peranan penting bagi tindak balas terhadap pengambilan unsur-unsur dadah seperti kafein.

“Istilah ini dipanggil kronofarmakologi (chronopharmacology) yang mana hipotalamus di dalam otak manusia bertindak sebagai ‘jam’ yang mengawal ritma biologi berkenaan,” tulisnya menerusi entri Facebooknya.

Memperincikan lebih mendalam mengenai keadaan itu, perlu diketahui bahawa di dalam hipotalamus, terdapatnya nukleus hipotalamus atau suprachiasmatic nucleus yang mempunyai pelbagai fungsi di dalam badan.

Antaranya mengawal kitaran tidur dan jaga, penggunaan tenaga, homeostasis gula dan mengawal hormon dalam badan, jelas pegawai perubatan itu.

“Antara kandungan hormon yang dikawal itu adalah kortisol iaitu ia paling aktif sekitar jam 8 pagi hingga 9 pagi.


“Jadi, ini bermakna, pengambilan kafein pada waktu ini adalah sangat tidak sesuai kerana secara biologinya pada waktu itu badan telah menghasilkan hormon kortisol secara maksima,” jelasnya.

Artikel berkaitan: Air kopi tidak sesuai buat kanak-kanak, berikut 6 kesan buruk kepada mereka

Iklan

Oleh yang demikian, pesan pakar itu, kita tidak perlu lagi menambahkan kandungan kafein dalam badan kerana tahap kewaspadaan telah terhasil secara semula jadi pada waktu tersebut.

Nasihat Dr Samhan kepada semua, jika kita hendak menikmati kopi, waktu terbaiknya adalah antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 5 petang kerana tahap hormon kortisol dalam badan sudah mulai menurun.

Sementara itu, menurut kajian yang dilakukan oleh Steven Miller dari University of Health Sciences di Bethesda mendapati setiap orang memang memiliki putaran dan peredaran yang berbeza-beza.

Iklan


Cadangan beliau pula, waktu yang paling tepat untuk minum kopi adalah semasa pengeluaran hormon kortisol mula menurun atau dikenali sebagai istilah coffee break.

“Ia adalah antara jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi, jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari dan pada jam 5 petang,” beritahu beliau.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca terutamanya kepada peminat kopi.