KEGANASAN rumah tangga bukan masalah baharu dalam masyarakat. Sama secara fizikal, seksual, psikologi atau sosial, satu daripada tiga wanita di Malaysia adalah mangsa kekerasan ini.

Di seluruh dunia, dilaporkan seramai 243 juta wanita berusia lingkungan 15 hingga 49 tahun telah menjadi mangsa kekerasan oleh pasangan masing-masing.

Peningkatan kes keganasan rumah tangga semasa tempoh pandemik lalu yang mana majoriti pelaku adalah suami, bekas suami atau pasangan intim sendiri.

Lebih menakutkan, secara globalnya 81,000 wanita dan kanak-kanak perempuan mati dibunuh pada tahun 2020 yang mana 47,000 daripadanya dilakukan oleh pasangan intim dan ahli keluarga.

Untuk mengetahui lanjut maksud keganasan rumah tangga, berikut adalah jenis-jenis kekerasan yang dihadapi wanita:

1-Fizikal: Menyebabkan kecederaan fizikal atau menakutkan seseorang dengan ugutan mencederakan fizikal.

2-Emosi: Menekan emosi seseorang, kelakuan yang mengakibatkan seseorang itu murung, resah, sedih, dan lain-lain.

3-Sosial: Mengurung atau menahan seseorang tanpa kerelaan dan tidak membenarkan mereka berjumpa dengan keluarga atau kawan.

4-Kewangan: Merosakkan atau menggelapkan harta atau mengambil duit seseorang secara paksaan.

5-Paksaan: Memaksa seseorang melakukan sesuatu tanpa kerelaan (contoh: minum arak, ambil dadah, memakai pakaian yang mendedahkan tubuh)

6-Mengaibkan: Memalukan seseorang di hadapan pihak ketiga atau memberitahu perkara-perkara yang boleh mengaibkan kehormatan mereka kepada pihak ketiga, secara berhadapan atau atas talian.

7-Seksual: Memaksa seseorang untuk melakukan hubungan seksual atau apa-apa kelakuan seksual yang mengakibatkan tekanan.

Baca juga: Dakwa didera 3 tahun, wanita sanggup tak bercerai kerana suami terlalu tampan

 

Selain kesakitan pada fizikal, trauma emosi yang mengancam mental mangsa dan keluarga juga dibimbangi.

Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mejar Bersekutu (PA) Kasturi Bai berkata kebanyakan mangsa mengunci mulut daripada mendapatkan pertolongan atas pelbagai faktor.

Antaranya memikirkan tentang anak-anak, risau akan mencemarkan nama keluarga, sikap bergantung yang tinggi dan terikat dengan bakti dan kenangan lampau dengan pelaku.

Lebih parah lagi ialah persepsi masyarakat terhadap status janda, bimbang dilabelkan sebagai penyebab keruntuhan perkahwinan, berasa malu kerana gagal menjalankan tugas sebagai seorang isteri taat dan takut kehilangan hak penjagaan cahaya mata.

Kesan psikologi turut menghimpit mangsa tidak hanya kepada diri mereka sendiri malah kepada anak-anak dari segi emosi dan pemikiran.

“Terdapat risiko 14 kali ganda bagi seorang lelaki yang mengalami penderaan semasa kecil untuk membesar menjadi pendera.

“Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka akan berdepan dengan masalah lebih berkemungkinan menjadi mangsa keganasan pasangan intim fizikal
dan seksual pada masa hadapan,” ujarnya.

Baca juga: Lulus tuntutan fasakh, wanita mangsa dera suami hingga koma, Jahidah Nordin sah bercerai

Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mejar Bersekutu (PA) Kasturi Bai

KKM sedia memberikan perkhidmatan kepada pemandiri (survivor) keganasan terutamanya wanita dan kanak-kanak. menerusi pusat khidmat krisis bersepadu iaitu One Stop Crisis Centre (OSCC).

Perkhidmatan itu boleh didapati di semua hospital KKM di setiap daerah dan negeri yang akan memberikan rawatan sekiranya pemandiri cedera.

Ia menjadi rujukan ke tempat selamat, bantuan daripada pekerja sosial atau diberi Perintah Pelindungan Kecemasan (EPO) oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pemandiri yang dipukul, dicabul, dirogol, didera atau dihina juga boleh mendapatkan bantuan untuk membuat laporan polis, jika diingini (bagi kes keganasan rumah tangga).

Menurut Kasturi lelaki juga tidak terkecuali menjadi mangsa. Statistik KKM pada tahun 2022 mendedahkan telah menerima sebanyak 9704 kes di OSCC yang mana 84 peratus mangsa adalah wanita manakala 16 peratus lagi ialah lelaki.

Kebanyakan daripada mereka dirawat susulan daripada penderaan secara psikologikal dan fizikal.

“Ini mungkin tidak dilaporkan kepada polis terutama bagi mangsa lelaki.

“OSCC banyak menerima kes penderaan kepada suami pada musim perayaan.

“Manakala penderaan psikologi termasuk berpunca daripada masalah kewangan yang tidak terhad dilakukan oleh isteri malah keluarga mentua,” kongsinya.

 

Ujar Kasturi, mangsa cenderung untuk berasa kurang harga diri dan keyakinan, gangguan mental seperti malu, rasa bersalah dan ketakutan, pengasingan diri, kemurungan dan kecenderungan untuk membunuh diri.

Bagi kanak-kanak pula, kesannya juga bukan kepalang hingga mampu mengancam masa depan.

“Kanak-kanak mangsa penderaan akan berasa ketakutan, tidak selamat dan kebergantungan, kecewa dan sering bimbang, menghadapi masalah di sekolah seperti prestasi menurun, ponteng dan lain-lain.

“Si kecil yang terdedah kepada keganasan rumah tangga daripada awal akan memiliki kemarahan yang mendalam yang mungkin membawa kepada kelakuan ganas,” tutur Kasturi.

KKM berperanan membantu mangsa keganasan rumah tangga dengan menjalankan intervensi krisis untuk mengurangkan trauma/tekanan emosi.

Ia juga memulihkan mangsa dan keluarga ke tahap kefungsian prakrisis yang optimal selain membimbing mangsa mengenal pasti masalah dan membantu mereka agar berdaya tindak (coping skills) pada masa hadapan.

Baca juga: Depresi, bipolar, Hafidz Roshdi ke Hospital Bahagia, tak mengaku salah cedera isteri. 10 info berkaitan

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)OSCC akan memaklumkan akta-akta dan menjelaskan hak-hak mangsa serta tindakan yang boleh diambil, menyelamat dan memberi perlindungan kepada mangsa bagi mencegah keganasan daripada terus berlaku seta membantu mangsa mendapatkan tempat yang selamat atau rumah perlindungan sekiranya perlu.

Iklan

Ia dalam masa yang sama merujuk mangsa kepada agensi-agensi yang dapat membantu. Tidak hanya memberi rawatan, OSCC juga boleh mengeluarkan laporan perubatan dan menjadi saksi perbicaraan di mahkamah.

Manakala klinik kesihatan juga memainkan peranan dengan melakukan aktiviti kesedaran dan advokasi, pengesanan dan intervensi awal, merujuk ke hospital dan perkhidmatan kaunseling.

“Kepada mangsa yang tidak mampu bercakap, kami akan memberikan art theraphy yang mana di dalam lukisan yang dihasilkan dapat mengesan penderaan,”ujarnya.

Tidak hanya KKM, pelbagai agensi kerajaan turut membantu mangsa keganasan rumah tangga iaitu antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), hospital, pejabat agama dan Jabatan Bantuan Guaman.

Agensi bukan kerajaan pula ialah Women’s Aid Organization (WAO, All Women Action (AWAM), Women Crisis Centre (WCC) dan Befrienders.

Baca juga: Kejamnya! ‘Cagar’ adik ipar lunas hutang, abang ipar dalang wanita diperkosa 5 lelaki, minta jangan kunci pintu

dera sampai mati
Kredit foto: Jep Gambardella

Wanita yang menderita penderaan usah biarkan diri terus menjadi mangsa. Hubungi talian HEAL 1555 dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam untuk mendapatkan bantuan kanseling dan sokongan.

“Sebanyak 24,346 panggilan telah diterima. Daripada jumlah ini, sebanyak 15,907 (65 peratus) menerima bantuan sokongan dan emosi manakala sebanyak 8,479 (35 peratus) diberi intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

“Lebih membimbangkan, sebanyak 206 kes tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri dan cubaan bunuh diri.

“Daripada jumlah ini, 89 kes idea bunuh diri telah diberikan intervensi dan 117 kes cubaan bunuh diri telah dirujuk dengan mengaktifkan MERS999 dan mendapat kerjasama daripada PDRM dan Jabatan Kecemasan. Mereka ini berjaya dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” katanya.

Baca juga: Kisah Siti Hajar didera keluarga sampai mati, berat hanya 18kg, pelaku terlepas tali gantung, dipenjara 40 tahun

TALIAN SELAMAT WBS

Iklan

Usah menjadikan diri mangsa selamanya. Bagi pemandiri dan mangsa yang berada di Selangor boleh memanfaatkan perkhidmatan disediakan Wanita Berdaya Selangor (WBS).

Eksekutif Sokongan Krisis, Talian Selamat WBS, Nurameera Atifah Zulfahmi berkongsi lanjut berkaitan talian hotline SELamat 03-6419 5027 yang diwujudkan khusus untuk aduan keganasan rumah tangga.

Eksekutif Sokongan Krisis, Talian Selamat WBS, Nurameera Atifah Zulfahmi

Beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah malam setiap hari, ia adalah inisiatif yang diwujudkan pada November 2021 susulan peningkatan kes keganasan rumah tangga ketika pandemik Covid-19.

“Ia bukan proses touch and go sahaja, kami akan memastikan kes tersebut selesai dan pemanggil mendapat tempat perlindungan.

“Pegawai sokongan krisis akan menyediakan surat rujukan kepada agensi berserta dokumen sokongan (contohnya laporan polis dan pengenalan diri), menghubungi agensi untk mendaftar kes rujukan dan membuat tindakan susulan berdasarkan maklum balas yang diterima, jika ada,” katanya.

Menurut Nurameera, sebanyak 121 panggilan diterima dalam tempoh November 2021 hingga Ogos 2023 termasuk panggilan ancaman psikologi, ancaman fizikal, penderaan kanak-kanak, penderaan warga emas dan sebagainya.

Rujukan dan rakan kolaboratif Talian SELamat ialah bantuan kaunseling dan psikologi berdaftar, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bantuan Guaman, rumah perlindungan, PDRM.

Kasturi dan Nurameera berkongsi informasi berguna ini di seminar memerangi keganasan rumah tangga dengan kerjasama Polis Selangor.

Baca juga: Hadapi 32 pertuduhan, bapa tiri remaja perempuan berdepan hukuman penjara 830 tahun jika bersalah, 10 info berkaitan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!