Terkilan ditipu ejen umrah, ini 10 benda wajib ambil tahu sebelum pilih pakej

BUKAN benda baru, saban tahun kita membaca berita di akhbar dan media sosial tentang penipuan pakej umrah.

Sebenarnya terdapat ramai lagi mangsa yang tidak tampil melaporkan kes seumpama ini melalui saluran yang betul kerana malu ataupun menganggap tiada rezeki untuk mengerjakan ibadah umrah.

Marah, terkilan dan kecewa semuanya ada bila ‘terkena’ namun apakan daya nasi sudahpun menjadi bubur.

Menunaikan umrah buat kali pertama pastinya memerlukan persediaan yang rapi baik dari segi mental dan juga fizikal.

Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Makkah, semestinya mahukan pakej yang terbaik supaya dapat menjalani ibadah tersebut dengan lancar tanpa sebarang permasalahan berbangkit setibanya di sana. Macam mana nak dapatkan pakej umrah terbaik?

Ini tip dan panduan untuk anda memilih pakej umrah terbaik bagi memudahkan bakal jemaah memilih ejen pelancongan yang jujur dan bertanggungjawab serta dapat menunaikan ibadah dengan hati yang tenang.

1. Semak status pendaftaran agensi

Memilih agensi yang berdaftar adalah perkara yang perlu diberi keutamaan bagi sesiapa sahaja yang ingin menggunakan pakej daripada agensi tersebut.

Ini bagi mengelakkan sebarang penipuan daripada berlaku seperti mana yang banyak terjadi kebelakangan ini di mana ada jemaah yang terpaksa menanggung kerugian akibat ditipu pihak agensi yang tidak berdaftar.

Syarat ejen pelancongan yang membawa jemaah haji dan umrah adalah mesti berstatus Sdn Bhd dan lesen pelancongan adalah dilesenkan dibawah Agensi pengembaraan (ticketing) dan Pelancongan luar negeri (outbound)

Sebelum membuat bayaran, pastikan anda membuat semakan terhadap lesen ‘outbound’ dan pengendali syarikat umrah tersebut.

Ia boleh dibuat secara online melalui laman web berikut;

  • http://www.motac.gov.my/en/check/tobtab
  • www.jawhar.gov.my/umrah

2. Background survey

Seperti mana mengenal pasti status pendaftaran agensi, bakal jemaah juga dinasihatkan untuk melakukan semakan latarbelakang agensi yang ingin digunakan.

Ini untuk memastikan agensi yang dipilih tidak pernah terlibat dengan kes-kes penipuan, disenarai hitam ataupun mempunyai masalah pengurusan Jemaah ketika menunaikan umrah ataupun haji.

Bukan itu sahaja, bakal jemaah juga boleh melawat agensi yang dipilih bagi memastikan bahawa agensi tersebut benar-benar wujud dan beroperasi secara sah.

Baca juga ‘Pergi umrah sekadar konten, berlakon cium kaabah & promosi produk.’ Dr Kamilin luah rasa bimbang!

Amalan pahala haji

3. Buat perbandingan harga pakej

Setiap agensi menawarkan harga pakej yang berbeza mengikut jenis-jenis pakej yang disediakan.

Sebagai pengguna yang bijak, kita seharusnya meneliti tawaran-tawaran yang terdapat dalam pakej tersebut bagi memastikan harga yang ditawarkan bersesuaian dengan pakej yang ditawarkan.

Semestinya kita ingin wang dikeluarkan benar-benar berbaloi dengan kemudahan yang bakal diterima.

4. Semak hotel atau penginapan yang ditawarkan

Ini juga sebahagian daripada perkara yang perlu dititikberatkan semasa memilih pakej umrah. Anda perlu tahu jarak kedudukan tempat penginapan yang dipilih dengan Masjidil Haram.

Ini bagi memudahkan anda untuk berulang-alik ke sana. Apa-apa pun, kita perlu tahu semakin dekat jarak hotel dengan Masjidil Haram maka kosnya juga mungkin bertambah.

Kerana itu, pentingnya kita melakukan survey terhadap pakej-pakej yang ditawarkan supaya kita boleh bersedia dari segi kewangan untuk mendapatkan tempat penginapan terbaik ketika menunaikan umrah.

Bukan itu sahaja, pastikan anda juga ambil tahu jenis bilik dan bilangan penghuni yang akan berkongsi tempat dengan anda. Ini adalah untuk memastikan keselesaan anda ketika berada di sana.

5. Jenis pakej full board atau ada penambahan harga

Selain kedudukan hotel yang dekat, bakal jemaah juga perlu memastikan sama ada pakej hotel yang ditawarkan agensi tersebut menyediakan pakej full board.

Apa itu full board? Full board merupakan pakej yang menyediakan kemudahan sarapan, makan tengah hari dan makan malam kepada Jemaah semasa berada di Tanah Suci nanti.

Pakej seperti ini dapat memudahkan para jemaah mendapatkan bekalan makanan tanpa perlu berjalan ke luar hotel. Akan tetapi, sekiranya para jemaah ingin mencuba menu tempatan, anda bolehlah berjalan-jalan di sekitar hotel tersebut untuk mendapatkannya.

6. Kursus haji dan umrah percuma

Bagi bakal jemaah kali pertama, sememangnya kursus ini sangat penting kerana mereka memerlukan bimbingan yang praktikal terutamanya berkaitan rukun serta larangan-larangan ketika menunaikan ibadah tersebut.

Walaupun terdapat buku-buku dan video-video berkaitan umrah, tetapi itu belum mencukupi.
Dengan adanya kursus ini, bakal jemaah dapat bertanya secara terus daripada mutawif yang berpengalaman sekiranya terdapat kekeliruan.

Iklan

7. Pengurusan visa

Proses mendapatkan visa bukanlah sesuatu yang mudah dan ianya memerlukan kecekapan pihak agensi untuk menguruskannya.

Tanpa visa, bakal jemaah tidak boleh menunaikan umrah mahupun haji. Oleh itu, pastikan anda memperoleh visa sebelum berlepas ke sana dan hanya ejen yang menawarkan pakej umrah terbaik yang kebiasaannya berpengalaman dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan arab saudi.

Baca juga Kronologi wanita terperangkap banjir, siap sedia paut dahan kelapa sawit, lakukan 10 perkara ini jika terjadi

Umrah dibenarkan secara berperingkat mulai 4 Oktober ini

8. Mutawwif berpengalaman

Mutawif adalah individu yang penting kerana anda akan bergantung kepada mereka sepanjang berada di sana.

Jadi pastikan agensi yang anda pilih mempunyai mutawif yang terlatih dan berpengalaman menguruskan jemaah.

Jika berlaku sebarang permasalahan ketika menunaikan umrah, anda boleh merujuk kepada mereka secara terus. Oleh itu, kenalpasti bakal mutawif anda sebelum memilih pakej yang diinginkan.

9. Syarikat penerbangan

Terdapat pelbagai jenis syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerbangan ke Tanah Suci. Bagi mereka yang inginkan penerbangan secara terus dari Malaysia ke Jeddah, anda bolehlah mendapatkan pakej umrah yang menggunakan perkhidmatan Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.

Iklan

Bagi bakal Jemaah yang ingin menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan yang lain, anda tidak perlu risau kerana terdapat pelbagai syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan yang sama.

Bezanya, anda akan ditransit sementara meneruskan penerbangan seterusnya. Bukan itu sahaja, harga tiket juga pastinya berbeza mengikut perkhidmatan yang ditawarkan.

Baca juga 27 tahun setia berkhidmat, majikan dipuji murah hati taja staf tunai umrah

10. Insurans dan takaful

Semurah mana pun pakej yang anda pilih, pastikan ia mempunyai perlindungan insurans ataupun takaful.

Kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan. Oleh itu, pastikan diri anda dilindungi dengan skim insurans sekiranya berdepan kes kecemasan dan kematian.

Moga setiap bakal jemaah dapat menjadikan ini sebagai panduan asas dalam memilih pakej umrah terbaik dan juga mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.

Jika tidak berhati-hati, sesiapa saja boleh menjadi mangsa penipuan.

Sumber: cutiumrah

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.