UMRAH ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadah-ibadah tertentu menurut syarat-syaratnya. Hukum menunaikan ibadah umrah adalah wajib sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

Umrah juga dikenali sebagai ‘haji kecil’. Ramai dalam kalangan masyarakat kita menunaikan umrah bersama keluarga, berkongsi momen bermakna beribadah yang penuh makna.

Namun seorang lelaki, Muhammad Nabil Musthafa Kamal, 26, terpaksa menerima kenyataan bapa tersayang tidak pulang selepas mengerjakan umrah ke Tanah Suci.

Bapanya, Musthafa Kamal Abdullah, 49, dilaporkan hilang sejak hampir sebulan lalu.

Baca juga: Tinggal di Makkah, wanita kongsi cara beli air zamzam, rupanya ini sebab ia tidak lagi payau

Berikut kronologi kehilangan Ustaz Musthafa Kamal yang merupakan seorang guru agama.

1- Ustaz Musthafa Kamal tinggal di Sri Gading, Batu Pahat dan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, Johor.

2-Beliau ke Tanah Suci bersama anaknya, Muaz, 17, yang juga adik kepada Muhammad Nabil pada 6 Disember lalu dan dijangka pulang ke tanah air pada 18 Disember.

3-Menurut Muhammad Nabil, bapanya dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas adiknya menyedari bapa mereka tiada di bilik hotel di Makkah.

3-Mereka baru pulang dari Madinah dan tiba di hotel kira-kira jam 7 malam.

4- Bapa dan adiknya sempat makan sebelum jam 10 malam dan dijadualkan membuat tawaf untuk umrah wajib.

5-Ketika itu Ustaz Musthafa Kamal dan Muaz sudah memakai ihram.

6-Menurut Muhammad Nabil, ayahnya meminta Muaz pergi dulu dengan mutawif kerana mahu berehat dan sempat memberitahu akan tawaf nanti sebab kurang sihat.

7-Bagaimanapun, katanya, ketika pulang ke bilik hotel pada 12.30 tengah malam, adiknya mendapati bapa mereka tiada di bilik. Beg silang Ustaz Musthafa Kamal juga tiada.

7-Katanya, pada mulanya adiknya tidak terlalu risau bapanya keluar seorang diri kerana beliau boleh berbahasa Arab.

8- Tetapi selepas bapanya masih belum pulang hingga Subuh dan gambarnya juga tersebar di WhatsApp, mereka mengesyaki bapa dihantar ke hospital.

9-Menurut Muhammad Nabil, beliau dan adiknya percaya mungkin ayah mereka keluar seorang diri mahu pergi tawaf.

10-Pada 13 Disember, ada individu berkongsi gambar ayahnya memakai ihram tanpa beg dalam ambulans menerusi grup WhatsApp.

11-Mutawif kemudian ke hospital mencari guru agama itu tetapi namun tiada dan diberitahu sudah keluar dari hospital serta dihantar pulang ke hotel.

12-Muhammad Nabil yang bertugas di Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berkata pemeriksaan di hotel mendapati bapanya masih tiada di premis berkenaan.

13-Katanya, pada hari ketiga kehilangan bapanya ada orang awam menghantar beg silang bapanya itu di kaunter hotel.

14-Muhammad Nabil binggung memikirkan di mana ayahnya berada dan sehingga kini lelaki itu masih belum ditemui sudah hampir sebulan. Malah adiknya pulang seorang diri bersama jemaah lain tanpa si ayah.

15-Menurut Muhammad Nabil, ibunya juga sedih. Tidur malam mereka anak-beranak tidak lena, malah mereka setiap hari memikirkannya.

16-Menurutnya, di Tanah Suci ada individu yang membantu mengesan si ayah dan mereka selalu berhubung dengannya.

17-Pencarian menemui jalan buntu, Muhammad Nabil berharap pihak Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dapat bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi untuk mengesan bapanya yang hilang.

18-Beliau yakin pemeriksaan melalui kamara litar tertutup (CCTV) adalah jalan terakhir bagi mengesan jejak ayahnya.

19-Muhammad Nabil juga telah memberitahu dengan pihak agensi umrah yang menguruskan agar dapat mengusahakan pemeriksaan melalui CCTV menerusi bantuan mutawif di sana.

20-Jelas Nabil, satu laporan polis telah dibuat di Kedutaan Malaysia di Arab Saudi dan berharap sesiapa yang menemui bapanya segera menghubungi pihak berkuasa atau memaklumkan kepadanya di talian 017-7362532.

Sama-sama kita doakan Ustaz Musthafa Kamal ditemui segera.

Iklan
Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

Baca juga: 27 tahun setia berkhidmat, majikan dipuji murah hati taja staf tunai umrah

Mantan Menteri Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri turut berkongsi dan mendoakan guru itu ditemui segera. Berikut perkongsian beliau:

“Saya terbaca akan berita kehilangan Ustaz Musthafa Kamal Abdullah di Makkah. Doa dipanjatkan agar beliau kembali ditemui dengan selamat.

“Ibn Umar pernah ditanya mengenai barang yang hilang. Jawapannya adalah:

أَنَّ مَنْ ضَاعَ لَهُ شَيْءٌ فَلْيَتَوَضَّأْ وَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَشَهَّدْ وَلْيَقُلْ: “بِسْمِ اللهِ يَا هَادِيَ الضَلَالِ وَرَادَ الضَّالَّةِ اُرْدُدْ عَلَيَّ ضَالَّتِيْ بِعِزَّتِكَ وَسُلْطَانِكَ فَإِنَّهَا مِنْ عَطَائِكَ وَفَضْلِكَ”

“Bahawasanya sesiapa yang kehilangan barang, maka berwuduklah kemudian solatlah dua rakaat. Ketika tasyahhud maka berdoalah:

“Dengan nama ALLAH, Wahai Zat yang mengembalikan barang yang hilang, dan Zat yang melimpahkan hidayah sehingga selamat dari kesesatan. Kembalikanlah barangku yang hilang dengan keagungan dan kekuasaan-MU. Sesungguhnya barang tersebut adalah sebahagian dari anugerah dan pemberian-MU.”

Moga-moga dengan ikhtiar ini, beliau ditemui dengan izin-NYA.

Baca juga: Pergi umrah bersama anak kecil, wanita ini kongsi tip, persediaan ibu bapa perlu buat

Iklan

Lima tips keselamatan umrah untuk jemaah wanita

Gambar hiasan (Kredit foto: Pexels)

1) Ketika tawaf
-Memakai seluar dalam di jubah. Lebih selesa jika ia seluar tight daripada jenis kapas.
-Pakai kasut bersih khas untuk tawaf. Untuk pengetahuan anda, lantai di tempat tawaf adalah lantai jubin. Jika anda hanya memakai sarung kaki, agak tak selesa untuk berjalan kerana sedikit licin, malah kaki pun cepat sakit.

2) Ketika saie
Sama seperti tawaf, elok memakai seluar di dalam jubah dan kasut. Biasanya perjalanan saie lebih laju berbanding tawaf kerana kurang sesak.

3) Pakai niqab
Selain untuk mengelakkan diri daripada diganggu, niqab juga membantu melindungi wajah ketika panas terik dan ribut pasir (Adakala ia berlaku).

4) Pakaian
– Untuk jubah, tidak perlu membawa banyak, Anda boleh membawa empat hingga lima helai jubah dan membasuh sendiri (boleh beli sabun di sana) atau hantar ke laundry service di hotel (biasanya servis ini ditawarkan di setiap hotel).
– Anda boleh memakai blaus labuh dengan skirt dan memakai baju kurung. (Ia perlulah sopan dan tidak mengikut bentuk badan)
– Membawa mini telekung dan memakainya siap-siap dari hotel sebelum ke masjid.

5) Isu tandas
Di Makkah, tandas memang agak jauh dari tempat solat. Kalau anda tinggalkan tempat solat untuk pergi ke tandas, biasanya anda tidak akan dapat duduk semula di tempat yang sama terutamanya jika sudah hampir masuk waktu solat.

Baca juga: Wanita jika ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, jangan pakai abaya warna terang, sarat hiasan

Sumber: Sinar Harian, mkm.my, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi