Tidur pun kena ada caranya, posisi terbaik sekali boleh buat awet muda

tidur (1)
tidur (1)
A
A
A

Tidur pun kena ada caranya, posisi terbaik sekali boleh buat awet muda

TAHUKAH anda bahawa posisi tidur terbaik berkait dengan keperibadian seseorang?

Bukan hanya itu, posisi yang betul juga memberikan manfaat kepada kesihatan dalam jangka masa panjang!

Tidur ialah sebahagian besar daripada kehidupan kita dan kedudukan tidur juga memainkan peranan penting kepada kesihatan.

Ini kerana kedudukan tidur juga berperanan besar dalam menentukan kualiti tidur di samping membantu melegakan sebarang kesakitan yang dialami dengan posisi tertentu.

Selain itu, setiap cara tidur yang berlainan mempunyai faedah yang berbeza.

Sekiranya anda menghadapi masalah kesakitan atau kesihatan, anda mungkin perlu menukar posisi tidur terbaik untuk membantu menguruskannya.

Meluangkan masa untuk melatih diri secara beransur-ansur tidur dalam posisi baharu boleh menjadi rahsia dalam meningkatkan kualiti tidur anda.

Berikut ada beberapa posisi tidur terbaik yang mempunyai manfaat yang berbeza;

1. Kedudukan janin

Posisi tidur terbaik ini adalah popular dalam kalangan orang ramai dan kedudukan janin turut dikatakan mempunyai banyak faedah.

Antaranya, ia bukan hanya bagus untuk sakit belakang atau kehamilan, tidur pada posisi ini juga dapat membantu mengurangkan masalah berdengkur.

Malangnya, tidur dalam kedudukan ini juga mempunyai beberapa kelemahan.

Bagi anda yang ingin melakukan posisi tidur terbaik ini, pastikan postur badan anda agak ‘longgar’, kerana kedudukan ini boleh mengehadkan pernafasan semasa anda tidur.

Sekiranya anda mempunyai masalah dengan sakit sendi atau kekejangan, tidur dalam keadaan ini mungkin menyebabkan anda sakit pada keesokan harinya.

Baca juga 9 tahun tak sedar bawa janin dalam perut, wanita meninggal dunia tak cukup zat

2. Meniarap

Adakah anda seorang yang sukar untuk tidur? Cubalah posisi meniarap ini, pasti tidur lena!

Kedudukan ini dikatakan mampu membantu mereka yang mengalami kesukaran untuk melelapkan mata.

Di samping itu, ia juga dikatakan boleh mengurangkan masalah kegelisahan, sakit leher dan juga sakit belakang.

3. Mengiring ke sisi

Posisi tidur terbaik dalam posisi ini dikatakan memberikan manfaat bagi banyak jenis masalah kesihatan. Antaranya;

  • Masalah berdengkur

Tidur secara mengiring dapat mengurangkan tahap kebisingan bunyi seseorang individu berdengkur.

Selain itu, masalah berdengkur yang kuat boleh menjadi petanda anda mungkin mengalami apnea tidur (nafas yang terhenti buat sementara waktu ketika sedang tidur).

Tambahan itu, ia berisiko menyebabkan strok, tekanan darah tinggi, dan penyakit jantung.

Bukan sahaja dapat membantu mengurangkan berdengkur, posisi ini juga bagus untuk pencernaan anda dan bahkan dapat mengurangkan pedih ulu hati.

  • Masalah GERD

Percaya atau tidak, dengan mengenal pasti posisi terbaik tidur, ia boleh mengurangkan gejala refluks asid anda.

Tidur pada sisi kanan anda mampu menyebabkan lebih banyak asid keluar daripada kerongkong.

Selain itu, tidur di atas perut atau belakang pula menjadikan gejala GERD semakin teruk.

Untuk menurunkan risiko masalah GERD, pesakit biasanya akan tidur paling lena dengan posisi mengiring ke sebelah kiri.

Baca juga Dah cukup tidur pun, masih mengantuk. Mengapa ya? Ini sebab-sebabnya semua kena tahu

Gambar fail.

  • Masalah kegagalan jantung

Mereka yang mengalami kegagalan jantung kongestif harus mengelak daripada tidur secara terlentang dan bahagian kiri mereka.

Ini kerana denyutan jantung mereka boleh mengganggu tidur dalam postur sebegini, justeru tidur mengiring ke belah kanan adalah pilihan yang baik.

  • Masalah apnea tidur

Tidur mengiring ke sisi juga memberikan manfaat kepada penghidap apnea tidur.

Satu kajian besar mendapati bahawa kebanyakan pesakit dengan apnea tidur obstruktif (OSA) akan lebih lena dengan posisi ini.

Walau bagaimanapun, kajian yang sama mendapati bahawa mereka dengan OSA yang teruk sebenarnya merasa mengantuk pada keesokan harinya jika mereka tidur mengiring ke sisi, berbanding dengan posisi terlentang.

Oleh itu, disarankan untuk anda mendapatkan khidmat nasihat daripada doktor terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan masalah.

  • Ibu hamil

Bagi para ibu hamil yang mempunyai kesukaran untuk tidur, tidur mengiring ke belah kiri adalah posisi terbaik dan dapat memberikan manfaat kepada kesihatan.

Tidur dalam posisi ini adalah bagus buat kedua-dua ibu dan juga janin dalam perut.

Selain itu, kedudukan tidur mengiring ke kiri dapat memberikan lebih banyak darah dan juga nutrien kepada bayi dalam kandungan.

Ayat Kursi

4. Terlentang

Tidur dalam posisi ini dikatakan menawarkan manfaat kesihatan yang paling banyak.

Ia bukan sahaja melindungi tulang belakang anda, tetapi juga dapat melegakan sakit pada pinggul dan lutut.

Seperti yang dijelaskan oleh pakar, kedudukan tidur terlentang menggunakan graviti untuk memastikan badan tetap rata pada tulang belakang.

Ini sekali gus dapat membantu mengurangkan tekanan yang tidak diperlukan pada punggung atau sendi.

Selain itu, meletakkan bantal di bawah lutut anda dapat membantu menyokong lekukan semula jadi tulang belakang.

Tambahan itu, posisi ini bagus bagi mereka yang ingin kekal awet muda kerana ia membantu mencegah masalah kulit berkedut!

5. Posisi spooning

Bagi pasangan suami isteri, posisi memeluk daripada belakang dan dipeluk ini dikatakan mempunyai manfaat dalam menghasilkan hubungan yang lebih intim dan tidur berkualiti.

Ia menjadikan badan anda melepaskan bahan kimia yang disebut oxytocin yang dapat membantu mengurangkan tekanan dan stres, membuatkan pasangan berasa lebih selamat dan tidur dengan lena.

Jadi sekarang, yang mana satu cara tidur pilihan anda?

Semoga bermanfaat!

Sumber: Hello Doktor

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca