KEINDAHAN  sebuah kediaman sebenarnya adalah terlalu subjektif bagi setiap mata yang memandang. Mungkin bagi sesetengah orang, pancaindera mereka lebih tertarik dengan konsep timur tengah atau Scandinavian.

Namun, tidak kurang juga yang meminati dekorasi berpaksikan stail barat.

Bercerita tentang hiasan dalaman, SinarPlus pada kali ini ingin membincangkan tentang penggunaan dan seleksi jubin kediaman, tidak kira sama ada di ruang tamu, dapur, kamar mandi, atau di halaman rumah.

Namun, syarat asas yang perlu dititik beratkan untuk mencipta aura rumah yang indah pastinya dari segi pemilihan warna, corak dan kedudukan. Ciri-ciri itu nanti bakal mencerminkan identiti dan menyerlahkan personaliti pemilik rumah.

Seperkara, jangan terlalu kedekut untuk berbelanja membeli jubin yang berkualiti. Jubin yang mahal lazimnya memiliki ketahanan yang lama, padu, tahan lasak dan mudah dibersihkan.

Secara asasnya, terdapat tiga jenis jubin iaitu bercorak, mozek, subway dan terdiri daripada jenis ware porselin, batu PVC, konkrik, dan cork.Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, SinarPlus menemubual Pengarah Jubin Cantik, Muhammad Firdaus Jalil yang memang arif tentang dunia jubin.

Terlebih dahulu, katanya, perancangan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan berlakunya masalah ketika proses pemasangan.

Sebelum menerangkan lebih terperinci, Muhammad Firdaus berkata, corak dan warna jubin memainkan peranan penting kerana ia mewujudkan kedan ilusi pada ruang agar kelihatan lebih luas daripada keadaan fizikal sebenar.

“Pilihan terbaik yang saya syorkan adalah warna semula jadi seperti putih dan warna-warna pastel.  Seboleh-bolehnya elakkan menggunakan warna gelap seperti hitam, melainkan tersebut memiliki pencahayaan,” katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor sebelum Sekatan Pergerakan Penuh diumumkan baru-baru ini.Pun begitu, ujar ahli perniagaan itu, para pelanggan beliau nampaknya lebih berminat dengan warna keemasan untuk menghiasi kediaman masing-masing.

5 elemen asas

Kongsi Firdaus, terdapat lima elemen asas yang perlu diambil kira sebelum membeli jubin.
“Pertama kita kena pastikan lokasi (pemasangan) jubin, adakah mahu dipasang di dapur, ruang tamu, atau mana-mana ruang.”Permukaan jubin yang bakal digunakan terdiri daripada jenis licin, atau tidak licin,  bergantung kepada tempat pemasangan, Jubin yang memiliki permukaan yang licin tidak sesuai untuk dipasang di lantai bilik air, sebaliknya ia sesuai ‘digayakan’ di dinding dapur,” jelas Firdaus.

Iklan

Seterusnya adalah pemilihan konsep dekorasi yabg ingin diterapkan oleh pemilik rumah.”Mereka kena ambil kira jenis tekstur, warna dan  corak atau paten, Cara sebegini dapat membantu mereka membuat keputusan dengan memilih jubin yang bersesuaian mengikit kriteria yang diimpikan.  Pastikan tak sarat dan menyakitkan mata,” katanya.

Selain itu proses mengenali saiz jubin, sama ada ingin menggunakan jubin bersaiz besar atau kecil perlu diambil perhatian, kata Firdaus.

“Dalam hal ini , ia bergantung kepada keluasan kawasan yang diinginkan. Sekiranya ruangan dapur atau tandas agak kecil, sebaiknya pilih jubin bersaiz kecil agar kelihatan lebih menarik dan nampak lebih luas,” nasihatnya.Terakhir sekali adalah simen penutup atau grout filler yang merupakan proses lepaan simen penutup di ruang dan celah di antara jubin selepas siap dipasang pada ‘badan’ dinding.

“Terdapat pelbagai pilihan warna seperti putih, hitam dan kelabu untuk dijadikan sebagai penutup jubin. Saya sarankan agar memilih warna kontra dengan jubin bagi mempamerkan aspek minimalis,” katanya.

Iklan

Bagi SinarPlus, pemilihan jubin ini juga memerlukan kemahiran dan pengetahuan agar segala yang dirancang berhasil. Jika tidak arif, lebih baik serahkan kepada yang pakar.

Selain itu, penjagaan yang rapi dapat membuatkan jubin mampu bertahan hingga mencecah 15 tahun.

Seperkara lagi, segala yang ingin dilakukan bergantung kepada bajet kita juga. Seperti kata pepatah, ukur baju di badan sendiri.Jangan terlalu bercita-cita besar jika wang dalam tabung tidak mencukupi untuk mendapatkan jubin idaman.