BERMULA 21 Jun lalu, Malaysia sudahpun memasuki fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dijangkakan sehingga September depan, 60 peratus rakyat Malaysia sudah menerima dua dos lengkap vaksin tersebut.

Namun, bagi wanita hamil, mungkin akan berlegar-legar dalam fikiran mereka mengenai keperluan menerima suntikan tersebut.

Apakah perlu atau sebaliknya?

Menurut Pusat Kawalan and Pencegahan Penyakit, wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 didapati lebih cenderung untuk mengalami komplikasi pernafasan yang memerlukan rawatan intensif berbanding wanita yang tidak hamil.

Satu kajian yang diterbitkan di dalam jurnal perubatan JAMA Paediatrics pula mendapati wanita yang dijangkiti wabak itu lebih berisiko untuk meninggal dunia, melahirkan bayi pramatang dan mengalami praeklampsia.

Pada masa sama, terdapat beberapa artikel penyelidikan serupa yang mendorong para pegawai kesihatan awam sedunia untuk mengesyorkan vaksin Covid-19 kepada wanita hamil bagi melindungi mereka dan bayi yang mereka kandung.

Meskipun mengetahui mereka terdedah kepada bahaya dijangkiti, ada sesetengah wanita hamil (termasuklah mereka yang merancang untuk hamil) masih berbelah-bahagi apabila berhadapan dengan persoalan tentang keperluan untuk divaksin.

Kepada ibu hamil sekalian, data semasa daripada vaksin messenger asid ribonukleik (mRNA-Pfizer) mengenai vaksinasi wabak pandemik itu ke atas wanita hamil tidak menunjukkan sebarang isu keselamatan kepada wanita yang sudah disuntik vaksin atau bayi mereka.

Mengulas lanjut, Pengarah Perubatan IMU Healthcare yang juga Profesor Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan di International Medical University, Prof Dr Nazimah Idris berkongsi pendapat beliau mengenai perihal tersebut.

Dr Nazimah.

“Sekiranya ibu dijangkiti semasa hamil, berkemungkinan besar meraka akan mengalami jangkitan yang paling serius.

“Buktinya, ada laporan yang menyatakan jika ibu hamil dijangkiti wabak itu semasa trimester ketiga kandungan, risiko kematian adalah sangat tinggi.

“Oleh itu, saya sangat mengesyorkan supaya ibu mengambil suntikan vaksin semasa hamil, terutamanya jika berada dalam kumpulan berisiko tinggi iaitu wanita yang berusia 35 tahun ke atas, mempunyai berat badan yang lebih tinggi, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi serta kerap terdedah kepada orang ramai dalam aktiviti seharian,” jelasnya.

Ujar pakar itu lagi, jika ibu hamil bukan dalam kategori tersebut, maka mereka mempunyai pilihan untuk menangguhkan pengambilan vaksin iaitu selepas melahirkan anak dan itu bergantung kepada keputusan perbincangan penilaian risiko bersama doktor.

Berikut soalan popular yang sering diutarakan oleh ilmu hamil dan akan dijawab oleh Dr Nazimah:

Apakah vaksin boleh memberi kesan kepada kehamilan?

Merujuk kepada kesan sampingan suntikan vaksin kepada wanita hamil, Dr Nazimah menjelaskan bahawa tiada ada bezanya dengan kesan yang dialami wanita yang tidak hamil.

“Anda akan mendapat kesan sampingan yang sama seperti wanita yang tidak hamil iaitu rasa lenguh, mual dan demam,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi beberapa berita positif mengenai vaksin dan bayi.

“Vaksin itu tidak akan menjejaskan bayi. Ia bukanlah satu bawaan yang boleh dipindahkan ibu kepada bayi semasa hamil.

“Apabila ibu disuntik vaksin, ia akan memberi kesan baik kepada bayi. Semua vaksin berfungsi dengan cara memicu badan kita untuk menghasilkan antibodi (menerusi susu ibu) yang akan dipindahkan kepada bayi dan seterusnya bayi juga akan mendapat perlindungan,” katanya.

Dr Nazimah turut menasihati mereka yang merancang untuk mendapatkan suntikan, berunding dengan doktor obstetrik supaya penilaian dapat dibuat terlebih dahulu.

“Ibu hamil disarankan untuk menerima vaksin semasa usia kandungan di antara minggu ke-14 hingga minggu ke-28 supaya mereka mendapat perlindungan terbaik daripada penyakit yang lebih serius semasa trimester ketiga.

“Jika kandungan kini berada pada tahap trimester ketiga pula, Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan ibu hamil masih boleh menerima vaksin sehingga usia kandungan pada minggu ke-33,” beritahunya.

Apakah garis panduan yang sama turut terpakai kepada wanita yang cuba untuk hamil?

Jawabnya, sudah tentu.

“Saya mencadangkan supaya ibu-ibu melengkapkan dahulu dos vaksinasi sebelum merancang untuk hamil kerana mereka sudahpun dilindungi,” katanya.

Pun demikian, ujar Dr Nazimah, usah khuatir jika para ibu mendapati mereka hamil seusai menerima dos pertama vaksin tersebut.

Iklan

“Jangan bimbang. Teruskan kehamilan itu kerana vaksinasi ketika trimester pertama tidak meningkatkan risiko keguguran,” ungkap Dr Nazimah.

Merujuk kepada kesan vaksinasi terhadap tahap kesuburan seseorang, beliau memberikan fakta biologi yang mudah sebagai penjelasan.

“Kemampuan ibu untuk hamil adalah bergantung kepada proses semula jadi kitaran hormon iaitu apabila ovari menerima isyarat daripada otak.

“Sebenarnya, vaksinasi Covid-19 tidak menjejaskan proses itu atau peluang untuk hamil dalam apa cara sekalipun,” ujarnya.

Vaksin yang mana sesuai untuk ibu hamil?

Katanya, buat masa ini, ada tiga vaksinasi di Malaysia iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

“Ketika ini, disyorkan supaya Pzifer diberikan kepada wanita hamil dan ibu yang menyusukan pula boleh diberikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca.

“Bagi memastikan ibu hamil mendapat vaksin yang paling sesuai dan tepat, anda perlu kemaskini maklumat mengenai status anda di aplikasi MySejahtera. Janji temu vaksinasi anda nanti akan berdasarkan vaksin yang sesuai untuk anda di Pusat Pemberian Vaksin yang ditetapkan,” beritahu pakar itu.

Dalam pada itu, kongsi Dr Nazimah, pakar-pakar kesihatan sedunia mengesyorkan vaksin Pzifer untuk wanita hamil kerana banyak kajian telah dibuat ke atas mereka.

“Oleh itu, sudah ada data keselamatan yang membolehkan cadangan itu dibuat. Bagi dua vaksin lagi (Sinovac dan AstraZeneca), kajian masih berjalan,” jelasnya.

Perlukah bimbang sekiranya sudah mengambil suntikan vaksin AstraZeneca dan kemudian mendapati diri hamil?

Iklan

Kata beliau, tidak sama sekali.

“Vaksin itu sendiri tidak menjejaskan kehamilan.

“Dunia perubatan berpengalaman luas berkaitan vaksinasi termasuklah vaksinasi semasa kehamilan. Mereka ada pengetahuan mengenai bagaimana ia boleh mempengaruhi ibu hamil dan kehamilan. Jadi, biarpun ibu-ibu hamil menerima vaksin jenis yang lain, ia bukanlah sesuatu yang patut dibimbangi,” ujar beliau.

Hakikatnya, vaksinasi adalah pilihan peribadi.

Artikel berkaitan: Ibu hamil, menyusu badan segera update Mysejahtera untuk janji temu vaksin Covid-19

Namun begitu, maklum Dr Nazimah, apabila berhadapan dengan Covid-19 dan hakikat bahawa wanita hamil diketahui mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi berkaitan virus korona, maka isu mengenai mendapatkan perlindungan secukupnya menjadi kritikal.

Terbaharu, Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin memaklumkan ketiga-tiga vaksin di Malaysia sesuai diberikan kepada golongan ibu mengandung berdasarkan panduan yang dikemas kini KKM.

Pun demikian, vaksin jenis Pfizer masih kekal disyorkan kepada ibu hamil manakala AstraZeneca dan Sinovac kini telah diklasifikasikan sebagai bersesuaian buat golongan itu.