[VIDEO] "Elok-elok tau, mummy kat sini. Nanti…” Ibu sebak lihat anak perempuan dijemput ambulans

A
A
A

BERPISAH antara ibu bapa dengan anak walaupun seketika tetap mengundang kesedihan dan kerinduan mendalam. Apatah lagi, permata hati yang masih kecil. Pastinya memerlukan pemantauan sepenuhnya di depan mata.

Namun begitu, penularan Covid-19 sememangnya tidak mengenal usia.

Baru-baru ini tular di media sosial video seorang kanak-kanak berusia enam tahun dijemput petugas kesihatan dipercayai untuk dibawa ke pusat kuarantin.

Kanak-kanak tersebut dilihat memakai gelang merah jambu dan dipercayai positif Covid-19 terpaksa berpisah dengan ahli keluarga untuk tujuan rawatan dan kuarantin.

Paling memilukan kedengaran suara ibunya mengucapkan selamat jalan dan meminta agar anaknya menjaga diri.

“Bye. Elok-elok tau, mummy kat sini. Nanti…”, kata ibu tidak mampu menghabiskan baris ayat menahan sebak.

Kanak-kanak dikenali sebagai Diana itu dihantar ke ambulans oleh ahli keluarga lain yang turut membantu membawa beg berisi barangan keperluan.

Baca juga ‘Rumah Yang Dianggap Tempat Yang Membosankan, Namun Itulah Lokasi Yang Kami Ingin Pulang.’- Doktor

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ZAYAN (@zayan.my)

Netizen yang menonton video menyedihkan berkenaan turut menzahirkan perasaan pilu dan sebak.

Sudah lebih setahun negara bergelut dengan virus terbabit dan menyaksikan puluhan ribu kanak-kanak menjadi mangsa.

Jangkitan Covid-19 kepada kanak-kanak amat membimbangkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, sebanyak 82,341 kes Covid-19 telah dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak antara 25 Januari 2020 hingga 30 Mei 2021.

Daripada jumlah itu sebanyak 19,851 kes adalah kanak-kanak dan bayi berusia kurang lima tahun.

 

KKM melahirkan kebimbangan dengan situasi penularan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak, terutamanya melibatkan bayi kurang satu tahun dan kanak-kanak di bawah lima tahun.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, peratusan tertinggi jangkitan dilihat dalam kalangan kanak-kanak umur 13 tahun sehingga kurang daripada 18 tahun (33.27 peratus).

Ia kemungkinan kanak-kanak dalam kumpulan umur itu lebih banyak bergerak dan menjalankan aktiviti luar rumah.

Sama ada mereka sedari ataupun tidak, tindakan itu membawa risiko dijangkiti Covid-19 kepada diri sendiri, adik-beradik dan ahli keluarga lain.

Justeru, KKM berharap dengan segala maklumat yang diberikan mengenai isu ini membantu menyedarkan semua pihak, terutamanya ibu bapa dan penjaga mengenai situasi penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak.

Ibu bapa perlu memainkan peranan dan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya Covid-19.

Baca juga Jangan Terima Tetamu, Seminggu Sekali Ke Pasar, Tip Self Lockdown KKM

Berikut tip KKM:

1. Pantau pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga.

2. Hanya wakil keluarga dibenarkan untuk membeli barang keperluan keluarga seperti mana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dalam perkara ini, ibu bapa sendiri perlu menjalankan tanggungjawab dan tidak membenarkan anak-anak remaja mengunjungi tempat tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi.

3. Anak-anak perlu dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri yang betul sekiranya terpaksa keluar daripada rumah atas urusan yang tidak dapat dielakkan (misalnya ke hospital/ klinik).

4. Ibu bapa yang mempunyai bayi dan kanak kanak bawah lima tahun perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal duduk di rumah, tidak membawa anak-anak ke tempat-tempat yang berisiko seperti pasar raya, pasar awam, dan tempat sesak yang lain.

Baca juga Ibu Bapa Sanggup Bawa Anak Kecil Ke Tempat Awam, Sesak Tanpa Perlindungan

Gunakan kaedah pembelian barang keperluan dalam talian bagi membantu mendapatkan keperluan seharian.

KKM menyeru semua pihak terutamanya ibu bapa agar tidak memandang enteng isu keselamatan dan kesihatan anak-anak. Sementelah mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang.

Disebabkan faktor ini mereka cenderung untuk dijangkiti virus Covid-19. Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Korang yang mempunyai cahaya mata sama-samalah melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin.

Melalui cara ini persekitaran yang lebih selamat dapat membina kelestarian generasi masa hadapan. #kitajagakita

Sumber: Zayan.my, KKM

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca