Waktu terbaik untuk nasihati anak, ibu wajib amal rebut manfaatnya
WAKTU anak-anak masih kecil adalah masa terbaik ibu bapa mula didikan yang sempurna. Tegur mana yang perilaku salah atau sebaliknya.
Mendidik anak bukanlah tugas yang mudah, apatah lagi untuk mendisiplinkan mereka. Proses tersebut memang memerlukan kesabaran.
Pun begitu, sikap anak-anak yang pelbagai ragam adakalanya membuatkan ibu bapa hilang sabar.
Kadang sebagai ibu yang sibuk menguruskan rumah, emosi kita mudah terjejas dengan kelakuan anak-anak hingga meninggikan suara kepada mereka. Ramai yang menyesal kerana melukakan hati insan tersayang.
Namun kita tetap perlu usaha untuk memohon maaf atas kesalahan kita dan menasihati anak jika mereka melakukan kesilapan.
Terdapat beberapa waktu yang sangat baik untuk dimanfaatkan bagi menyampaikan nasihat buat ahli keluarga, seperti;
1. Di dalam kenderaan
Sebenarnya, waktu bersama anak di dalam kenderaan adalah waktu yang terbaik untuk berbicara dari hati ke hati.
Hal ini pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada Ibnu Abbas RA yang masih kecil ketika itu, daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata yang bermaksud;
"Nabi SAW diberi hadiah seekor baghal (sejenis haiwan hasil kacukan antara kuda dan keldai) oleh Kisra. Baginda menungganginya dengan tali kekang dari serabut. Baginda memboncengkanku di belakangnya. Kemudian Baginda berjalan. Tidak lama, Baginda menoleh dan memanggil, “Hai anak kecil.” Aku jawab “Labbaika, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Jagalah agama Allah nescaya Dia menjagamu…”
(HR Hakim, hadis gharib).
Situasi seperti ini tetap relevan dan boleh diaplikasi oleh kita sebagai ibu Bapa terhadap anak-anak di zaman sekarang.
Di dalam kenderaan, ibu bapa boleh perlahankan radio dan mula bercerita kisah-kisah yang mengandungi teladan kepada anak-anak.
Jika anak sudah remaja, banyakkan buka ruang untuk mereka berkongsi cerita atau perasaan, kerana pada usia ini mereka sangat teruja mempelajari tentang kehidupan, perasaan sedih, kecewa, kagum, bercita-cita dan lain-lain.
Pemandangan mereka hanya tertumpu ke hadapan dan fokus mereka hanya terhad kepada suasana tertutup di dalam kereta. Hal ini memudahkan mereka fokus kepada apa yang diperkatakan oleh ibu bapa.
Baca juga Anak geser gigi semasa tidur bukan petanda tidak baik, rupanya disebabkan tiga faktor ini
2. Ketika di meja makan
Sewaktu di meja makan, kebiasaannya ahli keluarga akan mengambil peluang untuk bergilir berkongsi cerita masing-masing dengan teruja.
Sebenarnya ibu bapa boleh manfaatkan peluang untuk sampaikan nasihat dalam nada yang lebih santai.
Namun, harus diingati agar tidak menegur sampai menjatuhkan air muka mereka.
3. Selepas solat
Suasana selepas solat berjemaah bersama keluarga terasa sangat hening. Ibu bapa boleh gunakan saat bersalaman untuk berbicara dengan anak-anak tentang nasihat, teguran atau apa sahaja perkongsian untuk kehidupan anak-anak.
Sesekali pujilah anak-anak atas apa jua pencapaian mereka. Beritahu mereka bahawa kita bangga mempunyai anak yang baik, soleh, lemah lembut dan mendengar kata seperti mereka.
Pujian yang diberikan oleh ibu bapa antara motivasi terbaik buat anak-anak. Subhanallah.
Baca juga Ada sebab mengapa anak-anak tak dengar cakap ibu dan bapa. Ketahui punca-puncanya
4. Sebelum tidur
Waktu sebelum tidur adalah waktu yang sangat tenang. Ketika itu otak anak sudah bersedia untuk rehat dan berada dalam keadaan separa sedar.
Ibu bapa boleh berbisik lembut ke telinga anak tentang nasihat-nasihat baik yang mereka ingin sampaikan.
Ketika ini juga merupakan waktu yang sangat istimewa buat ibu bapa yang sibuk bekerja seharian kerana mereka dapat benar-benar menatap wajah anak tersayang.
Biasanya si anak sudah letih apabila memasuki waktu tidur, maka mereka secara sukarela akan menadah apa sahaja yang disampaikan oleh ibu bapa. Peluang ini sangat baik dimanfaatkan untuk apa jua nasihat buat si anak.
Ibu dan ayah, jika kita sering mengeluh tentang anak-anak, sama ada kelakuan, bakat, pencapaian atau apa sahaja kekurangan mereka, ingatlah bahawa di luar sana;
- Ada yang dah nikah lama belum ada anak.
- Ada yang sampai tua tak ada anak.
- Ada yang nak sangat nikah belum bertemu jodohnya, apatah lagi ada anak.
- Ada yang ada anak semuanya sakit kronik.
- Ada yang ada satu sahaja anak dan anak itu meninggal dunia.
- Ada yang meninggal kerana melahirkan anak.
Dan pelbagai lagi kisah dengan 'anak' yang merupakan AMANAH penting buat kita sebagai ibu bapa. Subhanallah, Allahuakbar.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang