Abang Siti Sarah positif Covid-19, paras oksigen menurun, Shuib fobia lepas kehilangan isteri

A
A
A

KEHILANGAN Siti Sarah Raissudin masih segar dalam ingatan, kini abangnya Ahmad Firdous Raissuddin pula dimasukkan ke Hospital Serdang, Selangor, akibat positif Covid-19.

Menurut Shuib, tahap oksigen dalam tubuh abang iparnya semakin merosot namun masih dalam keadaan stabil.

"Sudah lapan hari abang ipar saya dikuarantin. Oksigen dia juga semakin menurun, tapi keadaan dia masih lagi stabil dan dirawat di Hospital Serdang," jelasnya.

Baru dua hari kehilangan isteri tersayang, Shuib meluahkan beliau menjadi fobia dengan virus ganas Covid-19 dan dan menasihatkan abang iparnya untuk terus mendapatkan rawatan.

"Saya jadi fobia. Apabila abang ipar saya menjalani pemeriksaan tahap kandungan oksigen antara 94 dan 95 peratus, saya cakap, tak payah tunggu lama-lama, pergi dapatkan rawatan segera.

“Saya mohon, tolong doakan abang ipar saya," katanya lapor Harian Metro.

Baca juga Siti Sarah ‘Pergi’ Setelah 65 Jam Ditidurkan, Berikut Kronologi Kehamilan Dan Jangkitan Covid-19 Dilaluinya

Selain daripada itu, Shuib baru-baru ini turut berkongsi nasihat kepada orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri.

"Apabila sudah berlaku perkara macam ini, kena ada kesedaran untuk menjaga kesihatan. Kita kena periksa diri apa diperlukan, apa vitamin yang kita kena ambil dan bagaimana nak menjaga sistem imunisasi.

"Kalau ada anggota keluarga dijangkiti Covid-19, kita kena tahu apa kita kena buat. Kena ada oksimeter. Ini benda wajib ada sekarang," tuturnya.

Malah, bapa kepada empat cahaya mata ini juga turut menasihatkan agar orang ramai tidak berlengah mengambil vaksin Covid-19.

Baca juga Covid-19: Pesakit Yang Kuarantin Di Rumah Harus Miliki Alat Pulse Oximeter. Ini Fungsi Alat Itu

"Jururawat yang bertemu saya meminta saya supaya menasihatkan semua mengenai kepentingan vaksin.

“Menurutnya, setiap hari mereka menguruskan orang yang dijangkiti, yang nyawanya diambil.

"Sekurang-kurangnya, apabila kita sudah disuntik vaksin, bukanlah kita betul-betul selamat, tetapi itu adalah usaha kita untuk mengekang jangkitan," kata Shuib menerusi siaran 'live' di Instagram baru-baru ini.

Terdahulu, Allahyarham Siti Sarah Raissudin, 36, menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5.13 pagi Isnin lalu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Allahyarham yang mendirikan rumah tangga bersama Shuib atau Shahmira Muhammad pada tahun 2011.

Pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan yang dilahirkan, Jumaat lalu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak.

Foto: Facebook Ahmad Firdous Raissuddin

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca