KREDIBILITI cef selebriti Anis Nabilah tidak perlu dipertikaikan lagi. Bukan sahaja berjaya mencipta nama di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa menerusi kepakarannya dalam bidang kulinari.

Ternyata pengalaman selama 15 tahun dalam bidang itu meletakkan Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin, di kelas tersendiri selain mampu menempatkan dirinya sebaris dengan kebanyakan cef terkenal dalam dan luar negara.

Terbaru, wanita berusia 36 tahun itu sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila memenangi dua anugerah di The Gourmand Awards: World Cookbook Awards 2022 di Umea, Sweden.

Meluahkan rasa syukur atas kejayan itu, Anis sama sekali tidak menjangka terpilih menerima dua anugerah di acara berprestij itu.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan memang tidak menyangka langsung. Sebenarnya saya tahu dicalonkan untuk satu kategori iaitu Books by Celebrity Chef untuk buku resipi saya, Comfort Food by Anis Nabilah for Thermomix.

“Saya bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori itu. Pada masa sama, saya dimaklumkan tentang satu lagi kemenangan dalam kategori Best Food Show di Asia Tenggara.

”Saya sangat terkejut dan sampai sekarang pun, masih mencuba untuk menerima kemenangan ini. Macam tidak percaya sebab saya sepertinya tidak menghantar apa-apa penyertaan untuk pencalonan tersebut, tiba-tiba sahaja mereka anugerahkan kemenangan itu kepada saya,” katanya.

Seiring dengan pengalaman dan kematangannya dalam bidang kulinari, Anis berkata orang ramai dan pelbagai pihak sudah sudah meletakkan kepercayaan kepada dirinya biarpun kredibilitinya sebelum ini pernah dipersoalkan hanya kerana dirinya cef wanita.

“Saya rasa kebelakangan ini cabaran seperti itu sudah semakin kurang. Bukan tiada langsung tetapi ia sudah semakin berkurangan. Saya berasakan sepanjang 15 tahun dalam industri ini, orang sudah pun mengenal, memahami dan menghargai kerja dan kredibiliti saya.

“Tidak dinafikan masih ada lagi segelintir pihak yang menganggap lebih mudah untuk ‘menjual’ cef lelaki, namun saya harap perkara ini akan berubah.

“Alhamdulillah sekarang ini, orang ramai sudah tidak tanyakan kepada saya soalan berkenaan cef mana lagi bagus, cef lelaki atau cef perempuan. Sudah banyak kali saya menjelaskan bahawa soalan sebegitu sudah tidak relevan,” katanya.

Masak untuk Ratu Elizabeth

Menyimpan angan-angan menyediakan masakan istimewa untuk Ratu Elizabeth, Anis berkata, sekiranya perkara tersebut menjadi kenyataan, dia mahu memasak makaan Melayu.

Iklan

“Kalau diberi peluang untuk menyediakan masakan kepada seseorang, saya mahu masak untuk Ratu Elizabeth. Saya teringin untuk masak dalam dapur Istana Buckingham. I

“Ia akan menjadi satu cabaran buat saya kerana Ratu Elizabeth tidak gemar makan bawang putih dan itu pula merupakan bahan kegemaran saya dalam masakan.

“Jadi saya akan masak makanan Melayu yang tidak ada bawang putih. Mungkin saya akan memasak rendang, masak lemak atau asam laksa,” katanya.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharu kerjayanya, Anis berkata, kejayaan memenangi dua anugerah di Sweden itu juga membuatkan semangatnya semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan buku masakan baharu.

Iklan

“Saya memang ada perancangan untuk menulis buku resipi baharu. Ada beberapa tema dalam fikiran, tetapi mungkin dalam masa terdekat saya akan keluarkan buku resipi kegemaran saya yang mudah..

“Saya juga idamkan untuk menerbitkan program masakan saya sendiri. Saya rindu sebenarnya untuk memasak dalam rancangan televisyen. Seingat saya, kali terakhir adalah pada tahun lepas. Saya harap akan ada lagi banyak rancangan televisyen kelak,” akuinya.

Dalam pada itu, Anis yang turut dinobatkan sebagai Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards pada April lalu juga berhasrat untuk keluar mengembara dan belajar lebih banyak perkara berkaitan bidang kulinari.

“Pada masa sekarang, saya ingin belajar masakan tradisional Jepun atau Korea. Dalam masa sama, saya juga berharap saya boleh mengajar orang di luar negara cara-cara masakan Malaysia,” katanya.