Berzapin sambil menggesek violin, nama Aqmal Daniel semakin dikenali dan dilamar produksi filem

A
A
A

AQMAL DANIEL, 20, mengingatkan penulis kepada pemain violin terkemuka dunia, Vanessa Mae.

Minat kepada muzik violin menjadikan penulis sanggup bekerja separuh masa ketika sedang menuntut semata-mata mahu membeli album pemuzik kelahiran United Kingdom itu bertajuk Subject To Change dan Storm.

Sebelum itu, pada tahun 2002, Vanessa pernah hadir membuat persembahan di Kuala Lumpur.

Malangnya, disebabkan tidak mempunyai cukup wang untuk membayar tiket konsert, hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan.

Nampaknya, hanya CD Vanessa menjadi pengganti mengisi halwa telinga penulis ketika menelaah pelajaran pada waktu malam.

Mahu dijadikan cerita, beberapa bulan lalu, penulis melayari Facebook dan terjumpa sebuah video yang memaparkan Aqmal Daniel atau mesra disapa dengan Danny memainkan instrumen violin.

aqmal daniel

Beliau bukan hanya sekadar menggesek, tetapi bahasa tubuh, keasyikan, kelincahan dan riak wajah terhadap instrumental yang diperdengarkan, membuatkan penulis kagum dan terus menghayati persembahan bertenaganya yang lain.

Apabila menjengah laman Instagramnya pula, rupa-rupanya empunya badan sudah mencipta profilnya tersendiri.

Dalam kalangan pengikutnya di laman Facebook mahupun Instagram, rupa-rupanya mereka menggelarkannya pemain violin paling stailo.

aqmal daniel

Bintang media sosial yang masih muda remaja itu juga bukan calang-calang pemuzik.

Beliau sebelum ini  juga telah diberi penghormatan membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tiga perdana menteri Malaysia.

Selain berbakat besar, namanya juga turut menjadi sebutan peminat kerana dikatakan persis Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Separuh jiwa

Pada Jumaat minggu lalu, penulis mewawancara anak tunggal kepada pasangan Hashim Abu dan Mona Hiryanti Mohamad Yusof. Sebenarnya, banyak lagi portfolio dirinya yang masih belum digali media.

Terus terang penulis katakan, meskipun baru mencecah umur 20 tahun, Danny agak matang menjawab segala persoalan yang dilontarkan secara spontan.

Dengan nada bersahaja, beliau berkata, penglibatannya dalam dunia violin adalah dorongan yang tidak berbelah bagi daripada ibu tercinta.

aqmal daniel

“Violin merupakan satu alat muzik yang unik dan lain daripada lain. Bila bermain dengannya, wujud satu aura yang menenangkan,“ katanya.

Kongsi pemilik nama sebenar Mohamad Aqmal Daniel Hashim itu lagi, mempelajari alat muzik bertali seawal usia tujuh tahun tidak mudah.

Jika pada zaman kanak-kanak, rakan-rakan sebayanya sibuk bermain permainan online atau berpeluh di atas padang bola, beliau terpaksa melupakan semua itu.

"Pada mulanya memang tak senang nak kuasai violin ini. Namun, saya berusaha sebaik mungkin ditambah dorongan daripada mommy dan ayah.

aqmal daniel

"Saya perlu berkerja keras kerana ujian (kenaikan gred) dikendalikan pakar muzik luar negara termasuk dari United Kingdom," katanya yang berguru dengan seorang pemuzik lokal, Mohd Fuzi Idris.

Seperkara, kata anak muda yang tampak begitu energetik itu, pengorbanan keluarganya membuatkan dirinya cukup terkesan.

"Sebenarnya, pelaburan untuk alat muzik ini cukup besar. Apabila mereka berdua sanggup melakukan apa sahaja, itu sudah cukup mengharukan saya sebagai satu-satunya anak mereka," ujarnya.

Beliau turut mempunyai visi untuk menghadiahkan sebuah rumah baharu untuk kedua orang tuanya, selain membawa mereka menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Korea Selatan jika sudah berkerja kelak.

Baca juga Arena Iman laung semangat tidak mudah mengalah

Kata Danny kepada penulis, di antara violin dengannya, bagaikan irama dan lagu. Akuinya, jika tidak bermain violin waima dalam sehari pun, membuatkan dirinya serba tidak kena.

"Violin sudah menjadi separuh daripada jiwa saya. Selain mommy dan ayah, violin adalah cinta kedua saya. Violinlah mampu membuang segala tekanan, kesedihan dan kemarahan yang terbuku dalam jiwa. Bila menggeseknya, hati saya jadi tenang.

aqmal daniel

"Jadi, jika tidak berlatih atau menggesek violin sehari, hidup saya tidak lengkap. Lagipun, saya sudah dididik dari kecil untuk praktis setiap hari," ceritanya sambil tertawa manja.

‘Rentak‘ tersendiri

Penulis kemudian mengalih topik dengan bertanya tentang konsep persembahannya yang diperkatakan warganet.

Jikalau kita melihat sesetengah pemuzik hanya berdiri terpacak menggesek violin, berbeza sungguh dengan pendekatannya.

Bukan apa, ekspresi bersungguhnya ketika menggesek violin ditambah dengan busana yang sentiasa mengikut tema dan kadangkala dilihat turut menari disifatkan pemerhati sangat luar biasa.

aqmal daniel

Tatkala ditanya mengenai hal berkenaan, Danny berkata, semuanya dicetuskan oleh ibu dan ayahnya yang mahu beliau tampil lebih menarik dan berbeza.

"Untuk menari dan bergelek, bagi saya tiada masalah kerana dunia tarian sudah sebati dalam jiwa saya sejak kecil lagi. Alhamdulillah, saya boleh menari zapin. Pada umur 11 tahun, saya sudah menyertai program realiti televisyen.

"Apabila saya berjaya merancakkan suasana dengan cara sebegitu, saya berasa puas kerana semua penonton terhibur," kata juara Superstar Astro Ceria tahun 2012 itu.

Secara tidak langsung kata Danny, gabungan elemen tarian tradisional zapin, ditambah dengan  alunan gesekan violin dalam persembahannya menunjukkan satu keunikan yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa.

aqmal daniel

“Mudah kata, apabila kedua-dua elemen bersatu zapin dan biola), ia menyuntik satu 'iklim' yang luar biasa dan dinamik,“ katanya.

Secara matematiknya, sudah lebih sedekad anak kelahiran Johor itu mengabdikan dirinya dengan dunia muzik. Agak-agaknya berapa jumlah violin dimiliki Danny?

Dalam reaksi segera, beliau berkata, setakat ini terdapat 11 koleksi violin yang berharga bermula RM600 hingga RM16,000.

Antara kesemua alat muzik itu, terdapat satu paling disayangi iaitu violin buatan tangan dari Perancis yang dibelinya tiga tahun lalu.

Bercerita tentang idolanya, pemuda itu berkata, Tan Sri P. Ramlee, selain dua pemain violin antarabangsa, David Garrete dan Robert Mendoza sangat memberi inspirasi kepadanya.

aqmal daniel

Jangan lupa follow kami di Instagram!

"Penghayatan mereka cukup hebat, selain skil bowing and fingering yang menakjubkan. Boleh dikatakan kelajuan jari mereka lebih 100 metronom," ujarnya yang turut mahir bermain ukelele, gitar dan piano.

Menariknya lagi, Danny memberitahu SinarPlus, beliau pernah menerima jemputan untuk berduet bersama Mendoza.

"Sepatutnya, saya bergandingan dengan beliau dalam satu pertunjukan konsert yang dirancang pada hujung tahun lalu di ibu kota, namun disebabkan pandemik Covid-19, semua yang dirancang terpaksa ditunda," katanya yang terpaksa memperlahankan aktiviti muzik dan hanya aktif menghasilkan video untuk Instagram termasuk mengadakan produk rebiu.

Masa depan

Meskipun kecintaannya dalam arena muzik tidak boleh dibendung, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru tetap mengutamakan pelajarannya.

Beliau kini merupakan mahasiswa Diploma Pengajian Perniagaan di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) yang berkolaboratif dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

aqmal daniel

Seiring dengan pencapaiannya, Tokoh Murid Negeri Johor 2019 dan penerima Biasiswa Menteri Besar Johor itu turut dilantik sebagai Ikon KYPJ agar dapat menjadi role model kepada anak muda yang sebaya dengannya.

"Saya cukup bangga diberikan pengiktirafan ini dan berusaha sebaik mungkin membawa nama dan mempromosikan KYPJ kerana institusi itu terbuka kepada semua lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dengan pelbagai pilihan kursus menarik," kata beliau.

Pasti ramai tertanya-tanya, mengapa Danny tidak memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang muzik yang sejajar dengan minatnya?

aqmal daniel

Sambil tersenyum, Ikon Karakter Murid Johor 2019 itu bagaikan sudah bersedia dengan jawapan yang konkrit. Terangnya, beliau dan keluarga sudah memiliki syarikat sendiri.

"Justeru, keutamaan saya kini lebih cenderung untuk mendalami ilmu pengurusan dan kewangan bagi memantapkan lagi bisnes sedia ada.

"Dapatlah saya bantu mommy dan ayah mengembangkan lagi sumber pendapatan, bukan sekadar jadi pemuzik saja," katanya yang turut menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di institusi muzik terkemuka di Singapura selepas tamat belajar di KYPJ nanti.

aqmal daniel

Perbualan kami yang lebih sejam itu kemudian membongkar sisi lain dirinya. Rupa-rupanya Danny turut berbakat dalam lakonan. Telemovie pertamanya berjudul Violin Hatiku arahan Thorpe Ali sudahpun ditayangkan di RTM pada 10 Mei lalu.

Beliau juga diundang membintangi satu lagi telefilem, Sandiwara Biola Ayah di samping pelakon hebat, Zahiril Adzim.

Sebelum menutup tirai bicara, penulis cuba menyelongkar impiannya yang lain. Siapa selebriti yang beliau ingin iringi pada persembahan pentas jika diberi kesempatan?

“Jawapan saya ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Jamal Abdillah. Jika diberi ruang itu, saya ingin mengubah persepsi bahawa pemuzik bukan sekadar mengiringi persembahan, malah mampu lebih menonjol dengan skil bermain instrumen yang memukau dan membelai jiwa,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca