PELAKSANAAN kawalan pergerakan meliputi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu yang on, off telah menyebabkan ramai pihak terpaksa duduk di rumah atau mengubah perancangan.

Dalam industri seni sendiri, kebanyakan penggiat terpaksa melakukan kerja secara maya dan tidak kurang juga yang masih terkais-kais mencari punca pendapatan lantaran kekangan ruang pekerjaan

Seperti yang dilaporkan media, pada 28 Jun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam bentuk kemudahan pembiayaan dan sokongan bantuan kewangan bagi membantu lebih 8,000 penggiat seni yang kini terkesan dengan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan itu antaranya meliputi insentif penghasilan karya dan kandungan digital, peluang kerjaya, program peningkatan kemahiran, caruman perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta perolehan produk bagi tujuan produksi di televisyen, radio serta penciptaan lagu.

Perdana Menteri berkata ketika dalam Pengumuman Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Walaupun kerajaan telah membuat pengumuman bantuan, namun sebagai anak seni, terdapat sekumpulan anak seni yang telah mengambil inisiatif mereka sendiri untuk membantu anak seni yang lain. Semangat kekitaan ini sangat diperlukan sesuai dengan tagline #kitajagakita #kitabantukita.

Justeru tidak hairanlah sejak beberapa hari lalu, media sosial dipenuhi dengan poster Solidariti Anak Seni dan Apa Khabar Anak Seni? Difahamkan ini merupakan kempen bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan bertanya khabar antara pekerja Industri Kreatif (IK) dalam suasana sukar ketika ini.

 

Harus diingat bahawa anak seni bukan sahaja golongan artis seperti penyanyi, pelakon, pengacara, penyampai radio yang sering kita baca kisah tentang hidup mereka yang glamor. Hakikat sebenarnya skop anak seni lebih besar daripada itu.

Anak seni termasuklah mereka yang berada di belakang tabir seperti pengarah, penulis skrip, juru mekap, juru lampu, juru teknik, juru audio, ahli muzik dan semua yang terlibat di dalam pembikinan satu-satu produk seni.

Oleh itu, jangan kita pukul sama rata dengan mengatakan bahawa semua artis hidup mewah, mempunyai bisnes, terima royalti, kontrak sebagai duta, IG review dan sebagainya.
Apa yang kita saksikan itu hanyalah sebahagian sahaja. Ya betul, ada yang masih hidup senang, rumah besar, kereta mewah. Itu adalah rezeki mereka ketika zaman sebelum pandemik.

Baca juga #SiBibirMerah: Nak Sedekah Tak Perlu Tunjuk Wajah, Diam-Diam Sudah…

Namun apa yang kita terlupa atau tidak perasan adalah pekerja IK di belakang tabir ini. Mereka mendapat gaji berdasarkan job. Jika ada job, maka adalah gajinya. Jika job semakin lama berkurangan maka tiadalah punca pendapatan.

Iklan

Menurut sukarelawan Solidariti Anak Seni yang juga merupakan penulis skrip, Azrie Izham Hamzah, beliau memberitahu bahawa kempen yang dijalankan oleh rakan-rakannya ini adalah sumbangan ikhlas daripada anak seni untuk anak seni.

Jelasnya, anak seni mempunyai lingkungannya sendiri. Oleh itu, mereka lebih mengetahui siapa yang lebih memerlukan bantuan dan pertolongan bagaimana yang diharapkan.

Prinsip mereka adalah tidak membawa kamera – datang, serah sumbangan dan balik. Ini kerana mereka tidak mahu anak seni yang lain terus dijadikan bahan untuk tujuan promosi.

Sementara itu, bagi Pengarah Urusan Zeel Production Sdn Bhd (ZPSB) Fadzil Teh pula, walaupun ketika ini penggambaran tidak dibenarkan namun dia tidak akan membiarkan krewnya dalam kesusahan.

Iklan

Beliau akan memberi wang pendahuluan kepada semua krew di bawah jagaannya supaya tidak ada yang kelaparan.

Pun begitu, sebenarnya matlamat #ApaKhabarAnakSeni ini bukanlah meminta bantuan. Sebaliknya keutamaan mereka mahu diberi peluang untuk kembali bekerja dengan segera supaya dapat meneruskan kehidupan tanpa mengharap bantuan sesiapa.

Berikan penggiat seni ini vaksin, tetapkan SOP dan mereka akan patuhi sepanjang menjalani aktiviti seni. Mudah-mudahan agar urusan ini dapat dipercepatkan dan semua orang dapat kembali bekerja semula seperti sedia kala mengikut garis panduan.

Setiap hari layan KDrama boring juga. Bibir Merah dah rindukan hiburan hasil anak tempatan. Korang?

Bibir Merah