STESEN televisyen Awesome TV menafikan dakwaan pengacara Azwan Ali yang masih belum menerima baki bayaran tugasnya sebagai hos Mic On! musim kedua.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, pihaknya memandang serius pertuduhan tersebut kerana pembayaran penuh untuk tempoh 10 minggu telah pun dibuat pada hari sama beliau digugurkan pada 8 Mac lalu.

“Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melanggar etika kerja terutamanya yang melibatkan program-program terbitan kami kerana mereka seharusnya memahami amanah dan tanggungjawab yang datang bersama dengan lantikan mereka.

“Pihak Awesome TV juga memandang serius akan pertuduhan tersebut kerana pembayaran penuh untuk 10 minggu telahpun dibuat pada hari yang sama beliau digugurkan iaitu pada Selasa, 8 Mac 2022 walaupun beliau cuma melunaskan komitmen sebagai hos untuk tempoh 6 minggu sahaja.

“Surat pemberitahuan rasmi mengenai penamatan khidmat beliau juga telah dikeluarkan pada hari yang sama.

“Kami beranggapan isu bayaran untuk program Mic On! sudah pun selesai dan tidak mahu memanjangkan lagi hal ini.

Iklan

“Fokus utama kami sekarang adalah untuk menghabiskan program Mic On! yang masih berbaki empat minggu lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

AZWAN ALI
Azwan didakwa melanggar etika kerja sehingga digugurkan sebagai hos Mic On!

Azwan atau lebih dikenali dengan panggilan Diva AA digugurkan serta-merta sebagai pengacara Mic On! musim kedua pada Selalu lalu.

Iklan

Dalam pada itu, pihak produksi juga turut merancang membawa masuk khidmat hos jemputan untuk digandingkan bersama hos sedia ada, Issey Fazlisham, bagi memeriahkan lagi konsert mingguan Mic On!.

Mic On! bersiaran pada setiap hari Jumaat, 9 malam menerusi saluran Awesome TV di platform Astro 123 dan MyTV 112.