PELAWAK, pelakon dan usahawan, Vicha Saywho tidak dapat menahan sebak apabila suaminya dituduh sebagai scammer selepas sebuah portal hiburan memanipulasi kenyataannya dengan mengeluarkan tajuk ‘Lelaki Nigeria penyayang, lelaki Melayu semuanya penipu’.

Disebabkan tajuk berkenaan, Vicha yang mula dikenali menerusi program Maharaja Lawak Mega 2011 mendapat kecaman dan cemuhan daripada netizen.

“Saya pada awalnya tak tahu mengenai artikel itu. Bagaimanapun ada netizen sampaikan direct message (DM) di Instagram dengan (mendakwa) saya manusia tak sedar diri, sedangkan saya membina karier dan mendapat sokongan ramai di Malaysia.

“Lepas diselidiki, saya terjumpa artikel itu. Saya terus menangis apabila ada yang tuduh suami saya seorang scammer. Apa salah dia?

“Saya tak pernah cakap orang Melayu tak bagus atau penipu. Saya sayangkan Malaysia.

“Sebenarnya dalam temubual saya cakap sewaktu bercinta dulu lima kali saya ditipu sama ada dicurangi atau tiba-tiba hilang. Mungkin jodoh saya dengan lelaki Nigeria sebab saya tidak pernah jangka suatu hari nanti saya akan berkahwin dengan lelaki Nigeria.

“Saya cerita pun macam berbual dengan kawan-kawan, tetapi tak sangka kenyataan saya itu dimanupulasi sehingga menimbulkan salah faham,” ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.

vicha
Vicha dan suaminya yang hanya dikenali sebagai Johnson sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Tambah Vicha, antara faktor utama beliau akhirnya berkongsi mengenai perkahwinan keduanya itu adalah bagi mengelak fitnah.

“Saya sering ke negeri lain atas urusan perniagaan dan suami pun ikut. Bila check in, ada yang perasan saya. Tentunya akan timbul salah faham bila saya menginap bersama lelaki dan orang tidak tahu status sebenarnya saya.

“Atas sebab itu saya kongsikan, tak sangka niat saya ada yang salah erti dan tuduh saya macam-macam pula,” katanya yang dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Michael Trevor Ayomide, 2.

Selain Michael, Vicha juga mempunyai tiga anak perempuan yang tinggal di Indonesia hasil perkahwinan terdahulu iaitu Aurael Angelina Khezya, 13, Listya Arum Tresnasih, 12, dan Michelle Averina Chalista, 9.

Usaha keras

Dalam pada itu, demi mencari rezeki halal dan memberi kehidupan yang baik buat anak-anaknya, Vicha semakin gigih dan fokus dalam bidang perniagaan, selain kerjaya seni.

Iklan

Ujar Vicha atau nama sebenarnya Refika Novianti Faturohman, selepas mengusahakan perniagaan berasaskan makanan terkenal dari negara asalnya Indonesia, kini beliau berjinak-jinak dengan perniagaan pakaian untuk individu bersaiz besar.

“Sebelum ini saya ragu-ragu untuk membawa makanan terkenal Indonesia ke Malaysia tetapi selepas mendapat sambutan yang hangat, saya rancang untuk memperkenalkan beberapa lagi makanan popular terutama daripada Tik Tok.

“Selain itu, saya juga merancang mahu cuba perniagaan fesyen untuk individu bersaiz besar dan tudung. Sekarang masih lagi dalam perancangan dan saya akan kongsi dalam masa terdekat. Insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini.

Iklan

Ditanya adakah beliau giat berniaga bagi membawa tiga cahaya matanya yang kini berada di Bandung ke Kuala Lumpur, selebriti berusia 34 tahun itu tidak menafikannya.

“Perancangan untuk membawa mereka ke sini tidak pernah berubah walaupun saya sudah berkahwin.

“Cuma buat masa sekarang, saya tidak boleh bawa mereka ke Malaysia kerana terikat dengan visa pekerja seni. Lainlah saya ada bisnes yang kuat dan boleh mohon visa untuk perniagaan, maka saya boleh bawa mereka ke sini.

“Apa pun, ketiga-tiga anak saya memahami mengapa saya tidak boleh bawa mereka sekarang. Insya-ALLAH, saya akan terus bekerja keras untuk kukuhkan kewangan saya bagi memberi kehidupan yang lebih baik buat anak-anak,” jelasnya.