PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley akhirnya meninggalkan pentas Gegar Vaganza Kelapan (GV8) apabila diumumkan tersingkir pada konsert minggu keempat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Ahad.

Sepanjang empat minggu GV8 berlangsung, Fazley yang popular dengan lagu Asmara Ini dilihat gagal menampilkan persembahan yang memikat hati juri sehingga sentiasa berada pada kedudukan tiga terbawah.

Menerusi konsert yang menampilkan tema Berdiri Bulu Romaku, Fazley tampil menyanyikan lagu Mahligai Syahdu, nyanyian asal Datuk Hattan.

Bagaimanapun persembahan tersebut kurang menyerlah dan hanya mendapat markah sebanyak 50 peratus (%), sekali gus berada di kedudukan tercorot.

“Kepada mereka yang nak tengok saya berhenti menyanyi dan memasak, jemput datang ke bistro saya,” ucap Fazley ringkas selepas diumumkan tersingkir.

Sementara itu Adibah Noor yang tampil dengan persembahan memukau menerusi lagu Jika, nyanyian asal Melly Goeslaw menerima Anugerah Bintang Paling Power apabila mengungguli carta teratas pada minggu ini dengan markah 78.10%, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.

Anugerah Digi Next level dimenangi oleh Shidee, manakala Anugerah Cuckoo pula menjadi milik Sa.Ya.

Kesemua peserta diadili menerusi format penjurian seratus peratus oleh barisan juri profesional yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang selaku juri tetap, manakala Datuk Sri Shah Rezza sebagai juri jemputan.

Selain Adibah Noor, konsert minggu kelima diteruskan dengan kemaraan Nikki Palikat, Suki Low, Aweera, Shidee, Aliff Aziz, Azan Scan, Sa.Ya, Ani Mayuni, Bandi Amuk dan Upiak Isil.

Iklan

GV8 dihoskan pasangan pengacara serasi, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), setiap Ahad, jam 9 malam bermula 21 November lalu.

Iklan

Kedudukan peserta dan markah penuh konsert minggu keempat

  1. Adibah Noor (Jika/Melly Goeslaw) – 78.10%
  2. Nikki Palikat(Zombie/The Cranberries) – 76.60%
  3. Suki Low(Jampi/Hael Husaini) – 75%
  4. Aweera(Bila Cinta/Gio) – 72%
  5. Shidee(Hati Yang terluka/Broery Marantika) – 69.10%
  6. Aliff Aziz(Jika kau Rasa getarnya/Slam) – 68.40%
  7. Azan Scan(Dir/Rahim Maarof) – 68.10%
  8. Ya(Getaran Jiwa/Tan Sri P. Ramlee) – 64.80%
  9. Ani Mayuni(Lebih Indah/Datuk Seri Siti Nurhaliza) – 57.80%
  10. Bandi Amuk(Satu Kesan Abadi/Iklim) – 55.50%
  11. Upiak Isil(Cinta Sejati/Bunga Citra Lestari) – 50.50%
  12. Fazley Yaacob (Mahligai Syahdu/Hattan) – 50%

 

(FOTO: Azrul Rafie – Astro)